Orkid Tsunami

 "Sabar... sabar... janganlah cepat naik angin, Yah. Yah dah lama tanam bunga, kan? Kalau ada masalah sekalipun  tentang bunga,Yah dapat selesaikan dengan baik dan tak cepat putus asa dan tak marah-marah macam sekarang ni", respon cik abang apabila melihat Kak Yah merungut-rungut sorang diri.



"Jangan marah-marah, tak elok sangat perangai macam tu. Kita kena banyak sabar, kalau Yah penat, berehatlah dulu.Yah nak makan apa? Boleh abang buatkan, nak minum apa? Boleh abang tuangkan". Cik abang cuba memujuk.

"Hisy! Abang ni tak faham Yah lah..." Kak Yah terus meragam.

"Kalau Yah tak citer, macam mana abang nak tolong  selesaikan problem  Yah tu!", kata cik abang.

"Haik budak ni, degil jugak rupanya! Sakit betul hati Yah ni bang!" Kak Yah mula nak bagitau punca kemarahan Kak Yah tu.

"Ok. Ceciter kat abang apa masalahnya."



Kak Yah pun citerlah ...

"Tadi Yah tengok-tengok bunga kat nursery yang baru tu. Tetiba ada sorang pompuan ni, asyik citer tentang bunga orkid dia je dengan kawannya. Yah selisih dengan dia, dia  tak senyum pun. Pompuan ni citer bunga orkid dia sekarang ni dah kembang-kembang bunganya dan dah melambak-lambak."

"Pendek kata, rumah saya tu dah berbau harum sentiasa dan colourful pulak tu. Oh, bangganya saya sebab tanaman  orkid saya dah menjadi. Success! Success! Dengan megahnya pompuan tu berkata-kata tanpa pedulikan orang sekeliling. Menyampah!"

"Bila Yah dengar cerita pompuan tu, Yah rasa tergugatlah. Cuba abang ambil tahu, selama ni mana ada Yah tanam bunga orkid kat rumah kita ni? Asyik tanam bunga yang biasa-biasa je. Pokok orkid mana ada?"


"Oh...itulah problemnya! Yah, Yah... Kenapa Yah tak beli benih pokok orkid tu? Kalau Yah beli dari dulu dah tentu pokok orkid tu berbunga macam pompuan tu punyakan? Tak sangka pulak cik Yah kita ni cemburu jugak rupanya. Macam ni lah Yah, besok kita cari  bunga orkid yang Yah suka tu, kita beli dan Yah rawat  pokok tu elok-elok ye?"

"Bukan itu masalahnya bang!"

"Haik! naik angin jugak lagi. Betul-betul besar Tsunami kali ni, hehehe..." Cik abang masih belum faham.


"Yah tak tau tanam pokok bunga orkid tu!!! Tapi Yah nak tanam jugak!!!", tegas Kak Yah.

"Kalau tak tau, belajarlah dulu...!!! Kat internet tu kan banyak info tentang cara menanam orkid. Nak dalam BM ke BI ke, malahan dalam bahasa Hindi pun ada, hehehe..."

"Huhuhu..." Kak Yah merajuk duduk sorang-sorang kat taman mini .

"Hari nak hujan lebat ni, masuklah ke dalam Cik Yah hoi...! Buat apa duduk sorang-sorang kat situ. Kang banjir kang, hanyut pulak isteri abang yang tercinta tu. Besoklah kita cari pokok orkid tu, ye?" Cik abang terus memujuk.



"Hiiii...geramnya!..."

Macam tu rupanya kalau orang obses dengan bunga. Memang pelik tapi itulah kenyataannya.

Bunga Aneh Binti Pelik

Biasanya kalau disebut bunga, sudah pasti kita akan membayangkan bunga-bunga yang cantik-cantik dan berwarna-warni, kan? Tapi kalau korang nak tau (itupun kalau belum tahulah) selain daripada bunga yang cantik-cantik tu ada banyak bunga yang aneh-aneh rupanya. (Kepada yang tak biasa guna perkataan aneh, aneh maksudnya pelik, jarang jumpa, hehehe).

Kak Yah terjumpa gambar-gambar kat bawah ni masa Kak Yah "bersembang" dengan Uncle Google tentang bunga-bunga yang terdapat di seluruh dunia. Lihatlah betapa anehnya bunga-bunga ni ...

Yang lain macam je bentuknya ni, Kak Yah tak tau apa namaya.

Yang ni Bleeding Plant (Tumbuhan Berdarah) namanya. Tak nampak pulak kat mana darahnya, kan?

Blue Wild Flower ni walaupun aneh tapi cantik jugak.

Bunga ni banyak perkataan yang dia tahu sebab nama dia Bunga Kamus (Dictionary Plant)!.

Ada nampak macam ribut tak? Yang ni namanya Bunga Ribut Ais (Ice Storm Flowers)

Kenal tak? Ini Bunga Lavender
Mexican Hat (Topi Orang Mexico), hahaha!
Yang last sekali ni, Bunga Poppy yang sedang berkembang.

Kalau nak tengok bunga-bunga lain yang pelik-pelik, bolehlah klik kat sini je.

Puding Keladi "Botox"

Ye! Betul tu, ada...memang ada pokok tu. Kalau korang nak tau, semalam Kak Yah pergi lagi ke nursery tempat biasa tulah. Masa Kak Yah masuk je Kak Yah ternampak pokok tu . Amboi, cantiknya pokok tu. Berwarna-warni tu sudah tentulah. Tapi yang pelik tu, kenapa nampak macam kena suntik je pokok-pokok ni. Nampak macam serupa je dengan pokok yang Kak Yah tanam. Kak Yah pun belek-belek pulak daunnya: ternyata memang serupa dengan koleksi pokok-pokok yang Kak Yah ada.  Tapi... Kak Yah masih tak puas hati lagi, sebab dedaun pokok ni  lebar-lebar, warnanya pulak terang-terang dan daunnya tu  selain lebar, nampak berkilat-kilat pulak tu!. Itu pun Kak Yah masih tak puas hati lagi. Kenapa  pokok tu gemuk-gemuk? ( Lihatlah gambar-gambar di bawah ni yang Kak Yah petik dari www.siamcroton.com ).  Jadi Kak Yah pun tanya kat Kay ( taukeh nursery tu ).
 
 
Wow! Daun Lebar-Lebar; Warna Merah Sangat!
Cantiknya Puding Hybrid Ni!
Pokok Keladi Siam

Setelah dijelaskannya pada Kak Yah ...

Oh...patutlah pokok-pokok puding dan pokok keladi tu  nampak sangat berbeza dengan yang Kak Yah punya. Hahaha.... Korang nak tau kenapa Kak Yah ketawa besar? Rupa-rupanya pokok-pokok tu dah diupgradekan terlebih dahulu bakanya. Baka yang baik inilah yang terjual di pasaran. Patutlah cantik. Hai, ingatkan orang je nak cantik; pokok ni pun nak jugak. Baru tau pokok puding dan pokok keladi ni cantik sebab diorang pakai 'Botox'(?), hahaha...  Taukeh tu kata, pokok puding dan keladi ni diimport dari  negara Siam. Bakanya semua bagus-bagus belaka tapi harga agak tinggi jugaklah.

Hmhmhm... Patutlah yang Kak Yah tanam ni tak berapa nak cantik, daunnya pun tak lebar dan pokoknya pun tak gemuk-gemuk walaupun diletakkan di tempat yang banyak cahaya matahari. Walhal kita semua tahu yang pokok puding ni sangat memerlukan cahaya matahari yang cukup  untuk ia mengeluarkan warna  yang cerah dan terang. Kalau tanam di tempat yang terlindung dari cahaya matahari, nanti daunnya nampak lebih hijau dan malap tak berwarna-warni. Selain  itu, pokok puding ni memang mudah untuk ditanam, hanya memerlukan keratan batangnya saja. Biasanya Kak Yah tanam buat bunga pagar je sebab pokok ni sangat kuat dan mempunyai usia yang panjang. Pokok ni boleh hidup sendiri dan tak perlu rawatan rapi.


Keladi Kita
Puding Kak Yah: Daunnya  Tak Lebar Pun
Warnanya Tak Cerah

Lain pulak ceritanya dengan pokok keladi. Pokok Keladi ni pulak tak sesuai didedahkan sangat kat cahaya matahari. Sekiranya diperlakukan demikian, daunnya akan melecur macam terbakar. Jadi tempatkannya di kawasan yang terlindung tetapi masih menerima cahaya matahari. Mungkin sebab itulah pokok puding dari negara Siam tu lebih menarik dibandingkan dengan  Kak Yah punya. Kak Yah bagi baja tahi ayam je, dah tentulah tak boleh nak bersaing dengan  diorang. Berkualiti dan harganya tinggi!  Kalau macam tu, pasni Kak Yah nak cuba rawat pokok puding dan pokok keladi tu supaya nampak lebih  menarik dan lebih seksi warnanya. Hahaha... Akan menjadi yang terbaik punya! 'Made In Malaysia'. Hahaha...

Group Bunga

Hujung tahun semua orang pun tahu, kan? Dengan cuti sekolahnyalah,  dengan hujannyalah, yang buat majlis kahwinnyalah, pergi holidaylah; pendek kata semua aktiviti hujung tahun tu dah menjadi kemestian. Jadi, memandangkan hujung tahun ni cuaca asyik hujan je, lebih baik kita tukar aktiviti.

"What's up, What's up... dapur tak berasap." Hehehe...

Apa tidaknya, kalau dah duduk mengadap komputer sepanjang masa. Bangun pagi je dah onkan komputer. Sebab nak keluar pun tak berapa selesa. Nak masuk pasaraya lagi tak selesa; sejuk sangat. Jadi langkah yang terbaik ialah berFacebooklah, hahaha....

Sekarang ni Kak Yah dah join dengan Group Suri Suka Tanam Bunga kat Facebook tau! Best  dan syok giler...! Bukan saja dapat ramai kawan tapi kita boleh dapat info tentang bunga-bunga yang kita tak tahu nama dan cara nak tanam serta penjagaannya. Masing-masing ahli group tu suka bunga; jadi macam-macam jenis bungalah yang kita dapat tau. Tapi dalam banyak-banyak bunga tu, Kak Yah tengok, ramai  sangat yang sukakan bunga ros, bunga kertas, bunga orkid, bunga jasmin, pokok puding dan  juga pokok keladi. Tetapi yang bestnya, kebanyakan dari diorang tu cuma tau tanam je bunga-bunga tu tapi tak tau namanya. Macam Kak Yah jugaklah; tak semua bunga yang Kak Yah tau namanya. Tapi dengan adanya group tanam bunga ni sedikit sebanyak dapat membantu Kak Yah untuk mencari info yang lebih tentang  bunga-bunga tu.

Aglaonema
 Pokok Keladi 
Bunga Mawar (Rose) Berwarna-Warni
Pink Bougainvillea (Bunga Kertas Merah Jambu)
Bunga Jasmin
Pokok Puding Cili Kering
Orkid Yang Cantik

( Selamat pagi puan, ada apa-apa yang boleh saya bantu? Talian percuma telah disediakan, tapi anak benih dan benih pokok bunga kena belilah! Hahaha...)

"Senyum sorang-sorang nampak?" ( Eh, cik abang dah datang ).

"Yah tak nak pergi nursery bunga ke hari ni?" tanya cik abang. "Sejak dua tiga hari ni tak ajak-ajak abang  pun. Nak cari bunga baru ke, apa ke! Nak tambah pasu ke, beli tanah ke?" ( Ambik berat nampak)? "Oh! patutlah, Cik Yah kita dah melekat kat komputer rupanya."
Patutlah dia kata What's up, What's up tadi. Barulah faham. Hmm ... memang tak berasaplah dapur nampaknya ni!

"Hai bunga-bunga tu dah memikat hati Yah ni bang. Cantik dan berwarna-warni pulak tu! Wow memang syok! Join group ni: bestlah bang!"

"Ye! Memang best tu Yah, abang pun tak melarang!" (Haik! Lain macam je bunyinya tu! Takut-takut nanti ada suri lain yang bertakhta di hati. Dah tentunya cantik, manis dan wangi jugaklah tu! Huhuhu...

Pesanan dari Kak Yah untuk kawan-kawan yang obses dengan bunga. Kalau tanam bunga, kita tanam dan jaga betul-betul sampai hidup subur, tapi jangan lupa nak ke dapur, hahaha...

Pokok Bunga Red Button Ginger

Sekarang ni susah nak kita ramalkan sama ada hujan turun tak henti-henti atau pun sekejap hujan sekejap tidak. Kita nak buat program pun mesti kena fikirkan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang ni. Tambahan pula dah hujung tahun ni, biasanya kebanyakan negeri di pantai timur akan banjir. Tapi melihat pada keadaan sekarang ni, nampaknya bukan di pantai timur je akan banjir, tapi nampak gayanya di semua negeri; itu yang membimbangkan kita semua. Tambahan lagi nak cuti sekolah. Banjir tu satu hal, yang tak lalu nak kita fikirkan ni ialah kanak-kanak yang tak tau apa itu banjir atau bah. Mereka tentu syok sangat kalau dapat main air, tak kiralah kat mana-mana; berenang ikut sedap dia je! Ibu bapa berhati-hatilah dengan anak masing-masing ye. Bila hujan macam ni je Kak Yah mesti risau dan tak henti-henti memohon pada Allah, selamatkanlah kami dari dilanda bencana ini. Serik rasanya dah 2 kali kena banjir besar yang melanda Hulu Langat tahun lepas. Cukuplah rasanya; harap-harap tak ada lagi kejadian yang serupa itu berulang kembali.

Pokok Bunga Red Button Ginger

Tetapi walaupun hujan masih tak berhenti, Kak Yah tetap merawat bunga-bunga kesayangan tu. Kak Yah pun kena awal-awal lagi bersedia untuk menghadapi banjir nanti. Semua bunga-bunga yang Kak Yah tanam di atas tanah tu, yang mana sesuai dan yang tak sesuai pun, Kak Yah pindahkan ke dalam pasu. Langkah berjaga-jaga ni sangat perlu. Sekali air bah sekali pantai berubah. Itu yang Kak Yah takutkan. Sekali air banjir habislah taman mini Kak Yah. Tetapi ada jugak bunga-bunga yang boleh bertahan seperti bunga raya, bunga lidah jin, bunga pagar, bunga kertas dan bayak lagilah. Bunga-bunga yang boleh bertahan tu sebab mempunyai batang yang keras dan sesetengah tu mempunyai akar yang kuat.

Bagi bunga yang satu ini pulak, tanam di atas tanah pun boleh di dalam pasu lagi naik serinya. Masalahnya, Kak Yah dah tanam bunga ni di atas tanah dan dah hidup subur. Dulu masa Kak Yah beli kat nursery tu sikit je. Sekarang ni Kak Yah  terpaksalah cabut semula dan tanam pulak dalam pasu yang besar. Ramai yang cari bunga ni. Namanya Red Button Ginger (Costus Woodsonii). Kalau tak diselamatkan, takut-takut nanti tak dapat benihnya lagi; itu yang sayang tu! ( Ada orang kata bunga ni  sejenis ubat yang boleh menyembuhkan pesakit yang mati  pucuk ). Sejauh mana kebenaran tentang info tu, tak pulak Kak Yah tau. Kak Yah ni tukang rawat bunga, bukan rawat orang...hahaha...

Bunga Pucuk Merah

Bunga ni memang kuat. Bunganya saja tegak semacam dan mempunyai warna yang merah, kekuning-kuningan dan oren. Kalau akarnya dipenuhi banyak air pun tak mati-mati. Kalau ditanam kat tanah lagi kembang menjadi-jadi. Sejak Kak Yah dapat beli bunga ni, dah Kak Yah tanam pun sampai hari ni tak mati-mati. Memang tak rugi tanam bunga ni. Tapi nama Melayunya apa agaknya ye? Kak Yah panggil dengan nama "bunga pucuk merah". Kalau sesiapa ada info tentang namanya dalam bahasa melayu tolonglah bagi tau ye...!

Allah selamat kan kami...

Si Kembang Gurun

Hari-hari pokok ni berbunga dan hidup subur sepanjang masa. Setiap hari dia kembang dan setiap hari jugak bunga ni gugur ke tanah. Hari-hari jugaklah Kak Yah kutip bunganya tu. Pelik betullah. Biasanya Kak Yah kutip dan simpan dalam bakul kecil, dan esok hari kutip lagi. Sampai hari ni dah hampir penuh bakul tu dengan bunga. Sebab nak dibuang sayang, bunganya terlalu cantik: ungu warnanya. Kak Yah cuma dapat tanam yang warna ungu saja. Sebenarnya ada juga warna yang lain seperti putih dan pink dan biru gelap. Bunga ni sangat senang nak jaga.

Desert Petunia ( Petunia Gurun )

Mula-mula dulu Kak Yah mintak bunga ni kat orang asli yang tinggal di Hulu Pangsun tu. Masa tu Kak Yah jalan-jalan sambil tengok pokok-pokok bunga yang ada kat kawasan diorang tu. Kak Yah ternampaklah ada banyak bunga  warna ungu yang ditanam kat rumah seorang budak (anak Orang Asli).

"Hai, buat apa tu dik?" Kak Yah menyapa.

"Tak buat apa-apa. Aku cuma bersihkan kawasan bunga-bunga ni aje! Kenapa kak?"

"Cantiklah bunga tu; apa namanya?" 

Cantik Ditanam Berkelompok

"Entah, aku pun tak tau! Aku tanam aje! Kalau kakak mau, ambillah." Macam dia tau lak keinginan Kak Yah.

"Bunga ni senang sangat nak hidup. Kakak patahkan je batang pokok ni, lepas tu cucuk je ke tanah, nanti hiduplah dia. Tak payah nak dijaga sangat, nanti dia hidup sendiri. Tapi kalau hujan tak turun-turun, kenalah kakak siram dia, kalau tak nanti matilah, hehehe..." Dia menjelaskan dengan panjang lebar macam seorang pakar bunga.

Kak Yah pun ambillah sedikit dan bawak pulang.

Sejak hari tu sehingga kini bunga yang ditanam tu tak mati-mati dan hidup subur selalu. Kak Yah bagi pokok bunga tu baja tahi ayam, lagi menjadi-jadi. Pokok bunga ni tumbuh tak tinggi sangat pun; lebih kurang 1 meter. Oleh sebab bunga ni senang nak hidup, campaklah kat mana pun dia akan hidup jugak. Cuaca panas atau hujan pun tak kisah, hidup semacam je! (Nampaknya kena buat kajian tentang bunga ni, sebab hidup tak kisah).Tapi yang pelik tu kenapa namanya Desert Petunia (Petunia Gurun). Nampaknya pasni Kak Yah kena tanya Abang Prof, hahaha...(berusaha sekuatnya untuk dapatkan info tentang bunga ni). Maklum sajalah, sekarang nilah masanya nak ambil tau semua benda-benda, terutama bab-bab bunga ni, hehehe... (jangan selalu buat tak kisah, nanti hidup serba serbi susah, tau tak pe!).

Maklumat dari Bang Prof menyatakan bahawa bunga ni didapati hidup di kawasan gurun maka sebab itulah dia boleh tahan dengan apa jugak cuaca yang ada. Berbunga pulak sepanjang tahun. Patutlah asyik berbunga dan gugur dan kemudian berbunga lagi.Betul-betul hebat dan kuat pertahanannya. Patutlah bila dicampak ke longkang pun boleh hidup. Kalau di gurun bunga ni boleh hidup subur, inikan pulak di dalam longkang! (ada aku kisah!).

Tengok Tu, Si Lebah Dah Masuk!

Oh ye, bunga ni sangat digemari oleh serangga-serangga seperti lebah, kumbang dan rama-rama. Patutlah setiap kali Kak Yah nak kutip bunga ni ada saja kumbang yang datang hinggap lalu masuk ke dalam lubang bunga tu. ( Bunga ni ada lubang di tengah-tengahnya.) Bau bunga tu yang menyebabkan kumbang tu masuk ke dalam. Barulah Kak Yah tau tentang bunga ni. Sesiapa yang nak tanam bunga ni, cubalah tanam berbaris atau berkelompok-kelompok. Setelah bunga ni hidup subur, ia akan kelihatan sangat cantik dan memikat hati anda sampai bila-bila. Kecantikannya akan kekal sepanjang tahun sepertimana namanya: Si Kembang Gurun
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...