Bunga Kembang Pukul Empat

Di rumah Kak Yah pukul 3.30 petang.

Hai, cepatlah sikit jam ni. Lambat sangatlah ... orang nak tengok dia kembang!

Kak Yah merungut sorang-sorang.

Cik Yah hoi, apa yang dirungutkan tu. Kan sumernya abang dah belikan semalam. Ikan ada, ayam ada, daging pun ada, kan? Sayur pun abang dah belikan. Buah-buahan pun dah ada dua tiga jenis tu ... nak apa lagi ...

Suara saper lagi tu. Husband  Kak Yahlah tu. Tak tau hujung pangkal nak menyampuk, hihi ...

Bukan itulah, bang. Yah tengah tunggu bunga yang baru tu kembang! Katanya bunga tu kembang pada pukul empat petang. Ini yang Yah tengah tunggu ni. Lambat sangat nak pukul empat. Orang dah siap ngan kamera sekali ni.

Ooo camtu ... ingatkan apa tadi. kalau camtu lebih baik Yah keluar ke taman sekarang. lagi lima minit jer lagi. Tunggu kat depan pokok bunga tu.

Betul jugak tu.

Kak Yah pun pergilah dekat dengan pokok bunga tu lalu duduk mencangkung sambil memegang kamera.

Memang betul pun. Tepat jer pukul empat, bunga-bunga kat pokok tu pun mula berkembang perlahan-lahan, lepas satu, satu.

Wow, cantiknya! Apa lagi, Kak Yah pun snaplah banyak-banyak gambarnya. Salah satu daripadanya ada kat bawah ni. Korang tengoklah sendiri. Cantik, kan?


Mirabilis jalapa
Inilah Bunga Kembang Pukul Empat Yang Kak Yah Tanam

Itu masa mula-mula Kak Yah belajar tanam bunga. Sekarang dah melambak-lambak pokok bunga ni di taman mini Kak Yah. Dah tak terjaga pulak.

Kalau korang nak tau, bunga kembang pukul empat ni berasal dari Amerika Selatan dan suka sangat dengan cahaya matahari yang banyak. Nama botaninya ialah Mirabilis jalapa,

Uniknya pokok bunga ni, pada satu pokok tu boleh ada bunga yang berbagai warna (macam dalam gambar di bawah ni). Satu lagi sifat peliknya ialah warna bunganya boleh berubah-ubah. Bunga putih misalnya boleh bertukar menjadi bunga ungu!


Kembang Pukul Empat - Putih Kuning


Tumbuhan ini membiak melalui biji benih dan dan sangat mudah merebak banyak sekiranya tidak dijaga pertumbuhannya. Biji benihnya tu hendaklah direndam dulu dalam air sebelum disemai supaya lebih cepat bercambah.


Kembang Pukul Empat - Pelbagai Warna Pada Sebatang Pokok


Bila dah cukup matang, pokoknya boleh mencecah hampir 1 meter tingginya. Pokok bunga ini hidup lebih subur di kawasan yang berhampiran dengan laut.

Bunga kembang pukul empat ini biasanya berkembang mulai pukul empat (hehe ...) atau sekitar lewat tengahari dan hanya kuncup semula pada waktu pagi. Sepanjang malam pulak, bunga ini mengeluarkan bau yang sangat harum. Keesokan harinya bunga yang baru pulak mengambil giliran untuk kembang.


Yang Ini Putih Pink. Cantik Jugak, Kan?


Dari segi kegunaannya pulak, bunga ini boleh dijadikan pewarna makanan seperti dalam pembuatan kuih dan jeli.. Daunnya boleh dimasak dan dimakan sekiranya kita menggemari rasanya.


Yang Ini Pulak, Semua Putih!


Dari segi perubatan pulak, akarnya boleh dijadikan penawar penyakit kulit yang berair atau bernanah. Ada yang percaya, akar ini jika direbus dan diamalkan meminum air rebusan ini boleh menambah kekuatan tenaga lelaki.

(Psst ... jangan bagitau cik abang, nanti habis pokok bunga Kak Yah ni dicabutnya! Hehe ...).

Macam Nilah Rupa Biji Benih Kembang Pukul Empat





Bunga Cina

Sempena Tahun Baru Cina ni, Kak Yah nak citer tentang bunga Cina.  Sebut jer bunga Cina, Kak Yah teringat sebuah lagu kanak-kanak yang berjudul "Buai Laju-Laju". Korang pun tentu masih ingat lagu ni, kan? Yang tak ingat tu, maknanya korang tu bukan dari generasi Kak Yah; korang generasi selepas kami, generasi video games, hehe ..

Salah satu rangkap dalam lagu tu berbunyi begini:

Buai laju-laju,
Sampai pokok sena;
Apa dalam baju,
Sekuntum bunga Cina.


Apapun Kak Yah bukanlah nak citer panjang tentang lagu ni. Macam yang Kak Yah dah kata mula-mula tadi, Kak Yah nak citer tentang bunga Cina.

Kepada sesiapa yang belum kenal bunga Cina, silalah tengok gambar kat bawah ni. Inilah rupanya bunga Cina tu.

Gardenia jasminoides
Bunga Cina/Melur (Gardenia augusta/jasminoides)

Pasti ada yang cakap: Ini bunga Melur! Memang betul tu. Bunga Cina juga dikenali sebagai bunga Melur. Dalam istilah sainsnya disebut Gardenia augusta/jasminoides. Jasmine tu melurlah! Di Indonesia, bunga ini dikenali sebagai Melati atau Melur Cina.

Untuk pengetahuan korang sumer, bunga Cina ni ialah sejenis tumbuhan berbunga yang berasal dari negara Asia dan banyak didapati tumbuh secara liar di India, Jepun, Vietnam, Taiwan dan Myanmar. Di negara China, tumbuhan ini telah ditanam sejak lebih seribu tahun yang lalu dan hanya mula dibawa ke England  dan ditanam sebagai tanaman hiasan pada pertengahan kurun ke 18. Selepas itu banyaklah spesies baru bunga Cina hasil kacukan dan sebagainya.


Tumbuh Meliar di Kawasan Pergunungan Asia


Bunga ini berwarna putih, sangat harum baunya dan mekar sepanjang tahun . Daunnya pula hijau berkilat. Pokok bunga ini sesuai juga dijadikan sebagai pokok pagar. Sesuai ditanam di kawasan yang menerima banyak cahaya matahari dan mempunyai saliran air yang baik serta tanah yang agak berasid. Kalau kekurangan asid, daunnya akan berwarna kuning. (Tips: Untuk mengatasi masalah ini, campurkan sedikit cuka makan atau jus limau segar ke dalam air siraman dan semburkan ke atas tanah di sekeliling pokok bunga ini.)


Sejenis Bunga Cina / Melur
Sejenis Variasi Bunga Cina/Melur

Pokok bunga Cina ini membiak secara keratan batang. Rendam dulu keratan batang yang agak tua di dalam air suam sebelum ditanam ke dalam tanah. Siram setiap hari untuk pertumbuhan akarnya.Tunas baru akan muncul selepas lebih kurang 6 minggu.

Bunga Cina digunakan sebagai kalung di kalangan penduduk Kepulauan Polynesia. Di Korea pula, buahnya digunakan dalam pembuatan pencelup kuning untuk makanan dan pakaian. Masyarakat di negara China menggunakan bunga ini dalam perubatan tradsional mereka. Bunga ini dkatakan boleh menyembuhkan penyakit sendi. Di Malaysia, daun pokok ini digunakan untuk menambah air susu ibu.Caranya ialah dengan menggiling daun tersebut hingga halus dan menampalnya di sekeliling payudara pada waktu pagi sebelum mandi. Cuci dahulu sebelum menyusukan bayi.


(Gambar-Gambar: Wikipedia)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...