Bunga Seribu Nama


Tak pernah dengar? Macam mana kalau bunga seri pagi, biasa dengar, kan? Itulah yang Kak Yah panggil "bunga seribu nama". Kenapa? Sebab seri pagi atau morning glory dalam bahasa Inggeris itu adalah nama yang diberi kepada 1000 spesis tumbuhan berbunga dari keluarga Convolvulaceae. Antara spesis tersebut ialah Calystegia, Convolvulus, Ipomoea, Merremia, Rivea, Astripomoea, Operculina, Stictocardia, Argyreia dan Lepistemon. 


Seri Pagi Ungu

Kebanyakan bunga seri pagi kembang sepenuhnya pada waktu pagi dan memerlukan cahaya matahari sepanjang hari. Namun ada juga bunga jenis ini, seperti Ipomoea muricata, yang kembang pada waktu malam.


Seri Pagi Putih

Pokok bunga ini dibiakkan melalui dua cara iaitu biji benih dan keratan batang, Supaya lebih cepat bercambah, biji benih (yang dibeli) hendaklah direndam di dalam air suam semalaman sebelum disemai.


Biji Benih Bunga Seri Pagi

                          
Kebanyakan pokok seri pagi membiak sendiri melalui biji benih dan jika tidak dikawal boleh merebak dengan banyaknya secara menjalar. Di sesetengah negara, pokok bunga ini ditanam di sebelah luar dinding rumah untuk menyejukkan rumah tersebut!


... Untuk Menyejukkan Rumah

Bunga seri pagi mula dikenali ramai di negara China kerana khasiat perubatan biji benihnya yang boleh dijadikan ubat sembelit. Selepas dibawa ke negara Jepun, barulah bunga ini ditanam sebagai tanaman hiasan. Di sana jugalah mulanya bunga ini dikembangbiak dan dikacuk menjadi pelbagai variasi seperti Dajuro, Brocade of the Dawn dan Moon in the Dusk yang terkenal di kalangan pencinta bunga itu.


Seri Pagi Pink

Seri Pagi Bergulung


Sebenarnya, sayur kangkung yang kita makan itu juga adalah sejenis pokok seri pagi iaitu daripada spesis Ipomoea aquatica.

Kangkung (Ipomoea aquatica)

( Sumber Foto: Wikipedia )

Order biji benih seri pagi (morning glory) dari USA:



Bunga Turki?

Bukan "Turki" tapi "Teluki" ...

Sebenarnya Kak Yah sendiri pun tak ada pengalaman menanam atau menjaga bunga teluki. Bukan tak mahu tanam tapi pokok bunga ini hanya hidup subur di kawasan yang sederhana sejuk. Tapi memandangkan ramai yang bertanya Kak Yah tentang bunga ini maka kali ini Kak Yah kongsikan info yang dikumpul melalui Paklong Google dan Pakngah Yahoo untuk makluman kita bersama.

Dalam bahasa Inggeris pokok bunga teluki dikenali sebagai "Carnation" dan mempunyai nama sains Dianthus caryophyllus. Pokok bunga ini adalah sejenis pokok bunga iklim sederhana yang berasal dari kawasan Mediteranean.

Teluki / Carnation
Pokok Bunga Teluki

Penanaman bunga teluki di Malaysia adalah tertumpu di kawasan dataran tinggi seperti di Cameron Highlands yang iklimnya menyerupai iklim hawa sederhana (suhu maksimum sekitar 21 °C). Di kawasan seperti ini, pokok bunga teluki boleh ditanam sepanjang tahun.

Carnations
Bunga Teluki Dari Dekat

Pokok bunga teluki disukai ramai pencinta bunga kerana mempunyai bunganya yang berwarna-warni dan terang.

Pokok bunga teluki tergolong dalam famili Caryophllaceae. Terdapat dua jenis iaitu jenis satu bunga pada setiap tangkai dan jenis spray iaitu banyak bunga pada setiap tangkai.

Teluki Ungu
Bunga Teluki Ungu

Pokok bunga ini boleh hidup selama 18 hingga 20 bulan dan boleh mencapai ketinggian sehingga 2 meter. Pokoknya tumbuh menegak maka kerana itu perlu diikat kepada penyokong. Garis pusat batang pokok bunga teluki boleh mencapai sehingga 1 cm dan biasanya membengkak pada buku atau ruasnya.

Teluki Putih
Bunga Teluki Putih

Pokok ini memerlukan tanah yang tidak menakung air dan kawasan yang terdedah kepada cahaya matahari yang banyak.

Teluki Merah Hati
Bunga Teluki Maroon

Di kalangan orang Barat, bunga teluki melambangkan kasih sayang, ketakjuban dan kecemerlangan. Mereka memakai kuntuman bunga ini semasa menyambut Hari Ibu dan semasa meraikan majlis perkahwinan. Ada juga yang menganggap bunga ini sebagai lambang kecelakaan dan kesedihan.


Bunga Pun Turut Gembira


Alhamdulillah petang ini hujan turun semula setelah lebih sebulan kawasan tempat tinggal Kak Yah ini kering kontang tidak dibasahi air hujan. Walau bagaimanapun, Kak Yah sangat-sangat bersyukur kerana bekalan air di kawasan ini belum dicatu lagi. Anak sulung KakYah yang duduk di Cheras, KL hari-hari merungut kerana air hanya ada setiap dua hari sekali. Bayangkanlah kesusahannya; ditambah pulak dengan kehadiran dua orang anak yang masih kecil.


Di pihak KakYah pulak, walaupun bekalan air sentiasa ada namun kesusahannya pulak ialah memastikan semua pokok bunga yang Kak Yah tanam itu mendapat air yang secukupnya untuk mengganti "top up" air hujan. Maka dapatlah Kak Yah menyelamatkan kebanyakan daripada bunga-bunga tersebut. Yang lain-lain itu habis kering, layu, mengerekot dan mati, huhuhu ...


Pokok-pokok bunga yang masih bertahan itu termasuklah bunga matahari, petunia, zinnia, cosmos, marigold, mexican sunfower, bunga kertas, balung ayam, vinca dan balsam. Beberapa jenis bunga yang lain pulak, walaupun masih hidup namun keadaannya amat menyedihkan, huhuhu ...


Sepanjang musim panas dan kering ini, terpaksalah Kak Yah dan suami bertungkus-lumus melakukan apa yang patut demi menyelamatkan "anak-anak" kesayangan kami itu. Mana yang patut dipindahkan, kami pindahkan. Mana yang patut dibaja, kami bajakan. Mana yang patut disiram lebih, kami lebihkan air siramannya. Begitulah seterusnya. Di samping itu kami juga memohon kepada Allah SWT agar cuaca dipulihkan. Alhamdulillah, hari ini berkat doa kita semua, hujan turun semula!


Semasa hujan turun itu, Kak Yah dan "abang" ke luar ke beranda untuk "menonton" suasana di taman mini kami. Seronoknya Kak Yah melihat pokok-pokok bunga kami disirami air hujan. Seolah-olah Kak Yah dapat mendengar suara tanaman-tanaman itu mengucapkan syukur kepada Allah SWT dan melihat mereka dengan gembiranya menadah air hujan itu dengan daun dan bunga masing-masing!


Keesokan harinya, sebaik saja matahari mula bersinar, Kak Yah pun ke luar ke taman dengan membawa kamera dan mengambil gambar bunga-bunga yang dah mula berseri semula itu. Tengoklah sendiri betapa "gembira"nya bunga-bunga tersebut dalam gambar-gambar yang ditampalkan di entry ini.


Kawan-kawan pencinta bunga di luar sana, kalau ada cerita atau pengalaman menanam dan menjaga bunga pada musim kemarau itu, bolehlah berkongsi dengan Kak Yah. Tulislah di ruangan "ulasan" di bawah ini, atau kalau ceritanya panjang dan menarik, boleh juga Kak Yah jadikan  post entry di blog ini!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...