Pages

Bunga Manja

Bunga Manja? Tak pernah dengar pun. Ada ke bunga yang bernama Manja?

Jawapannya tak ada. Bunga ni Kak Yah panggil bunga "manja" sebab susah nak jaga dan sensitif sangat. Tak boleh lebih sangat dan tak boleh kurang sangat. Semuanya kena cukup-cukup je. Ngam-ngam je. Baik dari segi bajanya, air siramannya mahupun cahaya mataharinya. Semuanya kena cukup. Kalau tak, pokoknya tak subur, tak berbunga atau kalau berbunga pun, bunganya tak segar, tak cantik dan kadang-kadang tak jadi warna yang sepatutnya (patutnya bunga merah tapi yang keluar bunga kuning, hehehe...).

Peminat-peminat bunga ni pasti dah tau bunga apa yang Kak Yah maksudkan. Ya! Betul tu... bunga ros atau bunga mawar. Pandai.... selesai.... (hehehe... macam kata Ustaz Don yang popular tu).

Bunga Ros Oren


Oleh yang demikian, pada kali ini Kak Yah nak turunkan sikit ilmu Kak Yah yang memang sikit tu kepada sesiapa yang berminat nak tau macam mana nak jaga bunga manja ni. Dah sedia? Okay mari kita mulakan ...

  • Pastikan tanah yang mengandungi campuran tanah kompos yang terdiri daripada sabut kelapa, pasir, sekam dan tanah bakar. Tanah mestilah digembur selalu tetapi jangan terlalu dalam kerana perbuatan ini boleh merosakkan akarnya.

  •  Sebelum mula menanam pulak, pastikan kawasannya bersih daripada batu-batu kecil kerana akar si manja ni sangat sensitif juga kepada benda-benda ni.

  • Jangan ditanam berselang seli dengan pokok atau tumbuhan lain supaya akarnya tidak berselirat dengan akar pokok lain kerana akarnya yang sensitif itu tidak boleh bersaing dengan pokok lain (manjalah katakan...). Kalau kita nak buat taman ros, pastikan ros sahajalah yang kita tanam kat taman tu, jangan dicampur aduk dengan bunga-bunga yang lain.

  • Hendaklah disiram dua kali sehari, pagi dan petang. Air yang disiram itu mestilah sampai ke atas bukannya hanya semburan biasa yang hanya terkena kepada daun sahaja. Bagi pokok mawar yang ditanam di dalam pasu, air perlu membasahi tanah bagi membolehkan akar mendapat air secukupnya.

  • Hendaklah dibaja dan disiram dengan ubat semburan seminggu sekali. Baja khas ini hendaklah terdiri daripada isi ikan, kulit udang, sayuran, serbuk soya dan ekstrak kelapa sawit. Ini adalah untuk mengelakkan serangan virus dan fungus. Hasilnya nanti, daun akan menjadi lebih segar.

Daun Ros

  •  Jangan menggunakan baja kimia atau baja kumbahan seperti tahi ayam dan tahi kambing kerana baja-baja seperti ini tidak membantu menyihatkan pokok sebaliknya mengurangkan jangka hayat pokok ros kerana baja-baja ini panas dan membawa pelbagai virus yang boleh mencacatkan daun dan bunga.

  • Pastikan pokok ros itu mendapat cahaya matahari selama kira-kira 6 jam sehari. 

  •  Akhir sekali, pokok hendaklah dicantas setiap kali selepas bunga gugur dan dahan yang dicantas perlulah sepanjang enam ruas daripada tangkai bunga yang gugur itu atau kira-kira 15.2 sentimeter. Tujuannya ialah supaya pokok akan lebih cepat berbunga. Setiap dahan yang dicantas akan cepat mengeluarkan tunas baru yang turut mengeluarkan kudup bunga.

Kudup Ros


 Setakat itu saja yang Kak Yah tau dan itulah tip-tip yang Kak Yah amalkan kat pokok-pokok bunga ros yang Kak Yah tanam. Kalau ada pakar-pakar bunga ros yang nak kongsi pengalaman, bolehlah respons kat ruangan komen blog ni. Kak Yah sangat-sangat mengalu-alukannya!


Ros Jenis Rubiginosa

Lagi tentang bunga ros (bunga mawar) di sini.

(Foto-Foto Daripada Wikipedia)