Pages

Lagi-Lagi Begonia…


“Apa ni, bang.. asyik-asyik begonia jer. Ni ha, dapat lagi satu order. Begonia jugak!” Kak Yah termengomel selepas menerima order benih bunga begonia.

“Hai? Dapat order pun merungut? Patutnya bersyukur bila dapat rezeki..” Cik Abang menjawab pantas seolah-olah memang sudah disediakan jawapannya terlebih dulu.

“Bukan tak bersyukur, bang.. tapi peliklah ramai sangat yang sukakan begonia ni. Kenapa ye?”

“Alah.. takkan awak tak tau wahai Cik Yah Jom Tanam Bunga. Awak kan pakar bunga.”

Baik Kak Yah diam. Kalau tidak nanti panjang pulak “khutbah” orang tua tu.
Cantik, Kan? Ini Begonia Pink

Sebenarnya memang Kak Yah tau kenapa ramai yang minat sangat kat bunga begonia ni. Tapi saja nak bercakap dan saja nak dengar komen Cik Abang yang sentiasa ada saja jawapannya tu, hehe…(Jangan marah ye bang!).

“Apa pulak tu ha? Kalau nak cakap tu biarlah kuat sikit barulah orang dengar!”

Ha, kan betul Kak Yah kata tadi. Dah kena komen lagi. Orang cakap dalam hati pun dia dengar ke? Orang ke apa ni? Hi hi hi….

Begonia Oren Berkilau Macam Emas!

Berbalik pada bunga tadi.

Kalau korang nak tau, begonia atau resam batu ini adalah sejenis tumbuhan yang dari beberapa segi adalah sejenis dengan pokok labu, timun dan tembikai. Nama begonia itu pula berasal daripada nama seorang pakar tumbuhan Perancis iaitu Michel Begon (1638-1710).

Begonia Scarlet (Merah Menyala)

Bunga ini mempunyai banyak spesis; melebihi 1500 yang diketahui setakat ini. Daripada jumlah ini ia digolongkan kepada 3 kumpulan utama iaitu  Tuberous, Semperflorens, dan Perennials. Semperflorens adalah jenis yang paling popular. 

Begonia Tuberhybrida (Foto Wikipedia)

Pokok begonia ada bermacam-macam rupa. Ada yang berbatang lembut seperti tumbuhan renek; ada yang berbatang keras seperti tebu dan ada juga yang akarnya berubi seperti ubi kayu dan beberapa bentuk yang lain.

Begonia Pendula (Foto Wikipedia)

Pokok begonia mengeluarkan bunga sepanjang tahun. Bunganya pula, ada beberapa warna iaitu pink (merah samar), scarlet (merah menyala), putih dan kuning. (Sila lihat gambar-gambar yang dipaparkan di sini).

Begonia Sparreana (Foto Wikipedia)

Dari segi penanamannya, begonia dibiakkan sama ada melalui biji benih atau keratan batang/daun. Lebih mudah membiakkannya melalui keratan batang atau daun sekiranya kita telah ada pokok begonia. Biji benih akan mula bercambah selepas kira-kira 3 minggu disemai. Kebanyakan spesis begonia memerlukan cuaca sederhana panas dan tanah yang tidak menakung air. Pokoknya mudah hidup dan mudah dijaga.  Siram dengan air yang banyak tetapi pastikan air itu tidak bertakung di atas tanah atau di dalam pasu.. Bubuh baja serbaguna sekali dalam sebulan. Untuk mendapatkan pokok yang rimbun dengan daun dan bunga, buangkan bunga-bunga dan daun-daun yang layu dan pangkaslah daun-daunnya apabila perlu.

Begonia Pelbagai Warna (Foto Wikipedia)

Pokok bunga begonia ini sesuai dijadikan hiasan dalam rumah atau digantung di beranda atau anjung rumah. Jangan risau sekiranya daun jadi layu dan gugur kerana selepas beberapa minggu ia akan normal semula apabila telah dapat menyesuaikan dirinya dengan cuaca di rumah. Bagaimanapun, pastikan ia diletak di tempat yang diterangi cahaya matahari (bukan panas terik).

Begonia Corallena Hybrid (Foto Wikipedia)