Pages

Bunga Dahlia Aneka Warna


Bunga dahlia adalah sejenis bunga yang sangat cantik yang berasal dari Mexico. Nama dahlia itu berasal daripada nama seorang pakar botani Sweden yang bernama Anders Dahl.

Dahlia Kuning Oren

Bunga ini mempunyai lebih daripada 30 spesis yang beraneka rupa dan warna. Antara spesis yang terkenal ialah Dahlia 'Adelaide Fontane', Dahlia 'Appleblossom', Dahlia 'Arabian Night', Dahlia 'Art Deco' dan Dahlia 'Aurora's Kiss'.

Di Malaysia, bunga ini hidup subur di kawasan-kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands. Spesis yang biasa ditanam di negara kita ini ialah Dahlia coccine dan Dahlia juarezii.

Dahlia Merah Jambu

Bunga ini dibiakkan melalui ubi dan keratan batang tetapi lebih mudah tumbuh melalui ubi. Ada juga spesis yang membiak melalui biji benih. Biasanya selepas habis berbunga, pokok bunga ini akan mati meninggalkan ubi-ubi di dalam tanah. Korek dan keluarkan ubi-ubi itu dan bersihkan dengan air. Selepas itu, semburkan racun kulat ke atasnya dan jemur selama beberapa hari. Setelah betul-betul kering, bolehlah ditanam semula sama ada di dalam pasu atau di atas tanah.

Dahlia Putih

Dahlia memerlukan tanah yang lembap tetapi tidak menakung air. Baja kimia yang boleh digunakan ialah dari jenis NPK. Cahaya matahari juga mestilah banyak iaitu sekurang-kurangnya 6 jam sehari untuk mendapatkan bunga-bunga yang cantik warnanya. Semasa mula berbunga, pokok dahlia perlu dicantas pada bahagian pucuk-pucuknya.

Dahlia Ungu

Tumbuhan ini sangat digemari oleh siput babi dan ulat beluncas. Oleh itu pastikan taman bunga anda tidak dihuni oleh haiwan-haiwan ini. Selain itu, pokok bunga dahlia ini mudah dijangkiti kulat. Gunakan racun kulat untuk mengatasi masalah ini.

Dahlia Pompom
Dahlia Calit
Dahlia Kuning
Dahlia Purple White
Dahlia Magenta