Pages

Hati-Hati Dengan Pokok Ati-Ati


Kenapa pulak nak kena hati-hati dengan pokok ati-ati-ati? Sebab ada sesetengah spesis tumbuhan ini mengandungi bahan yang boleh mengkhayalkan jika dimakan!

Tapi jangan bimbang; kebanyakan spesis yang terdapat di Malaysia ni tidak berbahaya. Jadi bolehlah ditanam di sekitar kawasan rumah sebagai tanaman hiasan yang cantik berwarna-warni.


Ati-ati atau coleus dalam bahasa Inggeris dan solenostemon nama saintifiknya adalah sejenis tumbuhan yang banyak tumbuh di kawasan tropika seperti di Afrika, Asia, Australia, Kepulauan Melayu, Filipina dan Hindia Barat.


Ada 5 spesis utama pokok ati-ati ini iaitu Solenostemon autarky, S. rotundifolius, S. scutellarioides, S. shirensis dan S. pumilus. 



Spesis yang banyak didapati di negara kita ialah S. scutellarioides (Coleus blumei ).
Jenis ini biasanya mempunyai daun yang bergerigi dan warna yang terang yang biasanya bercampur pada sehelai daun. Kuning dan hijau, merah dan hijau dan sebagainya. Spesies yang paling menarik pula ialah Coleus blumei dan Coleus hybridus dan ia mudah ditanam menggunakan keratan batang muda.


Pokok ati-ati sesuai ditanam di kawasan yang bertanah gembur dan lembap tetapi tidak menakung air dan boleh tumbuh sehingga setinggi setengah ke dua meter. Pokok ini tahan panas dan akan menghasilkan daun-daun yang berwarna terang dan cantik jika mendapat cahaya yang cukup tetapi akan mati jika kekurangan air seperti pada musim kemarau.



Membiakkan ati-ati sangatlah mudah. Keratlah batangnya pada bahagian yang mempunyai daun dan rendam di dalam air sehingga berakar. Tak perlu ditambah bahan penggalak akar. Selepas itu cucukkanlah ke tanah atau boleh juga ditanam di dalam pasu.


Kita boleh juga membiakkan tanaman ini menggunakan biji benih. Cuma taburkan sahaja ke atas tanah dan tekan-tekan sedikit dengan tangan. Jangan dilindung kerana biji benih ini memerlukan cahaya matahari untuk tumbuh. Lembapkan tanah itu dengan menyembur sedikit air setiap hari. Biasanya anak pokok akan muncul selepas 2 minggu.


Baja kimia yang tinggi kandungan nitrogen perlu dibekalkan sekurang-kurangnya dua minggu sekali untuk mendapatkan daun yang cantik. Selepas berbunga, pangkaslah dahan bunganya bagi menggalakkan pertumbuhan daun baru.

File:Solenostemon scutellarioides 002.jpg
Solenostemon scutellarioidesColeus blumei  (Foto Wikipedia)

Berikut ialah langkah demi langkah cara menyemai pokok ati-ati yang Kak Yah petik daripada akhbar My Metro.

Sediakan bahan-bahan:

-Pokok ati-ati
-Tanah bakar (untuk menyimpan air)
-Tanah kompos (untuk rongga akar)
-Pasu
-Kapur pertanian (untuk mengelakkan tanah masam)
-Air secukupnya
-Peralatan berkebun.

Langkah 1

-Campurkan tanah bakar dengan tanah kompos dan kapur pertanian.

-Ia membabitkan satu beg tanah bakar dan dua beg tanah kompos.

-Masukkan ke dalam pasu baru.

Langkah 2

-Ambil batang atau daun ati-ati yang sihat.

Langkah 3

-Ruas perlu ditanam ke dalam tanah untuk mempercepatkan proses pembiakan.

-Padatkan tanah untuk menyokong tumbesarannya.

Langkah 4

-Basahkan atau siram pokok ati-ati itu.

Langkah 5

-Dalam masa seminggu pokok ati-ati itu biasanya sudah mengeluarkan akar.

-Bagaimanapun dalam masa dua minggu seterusnya ia perlu dipindahkan ke tempat kekal untuk menggalakkan pembiakannya.