Pages

Bunga Vinca Gagah Perkasa

Lama gak Kak Yah tak update blog ni. Bukan apa; sibuk melayan customer yang nak order biji benih dan anak pokok melalui Facebook tu. Apa lagi; asyik mengadap fb jelah hari-hari sampai tak sempat nak menulis kat blog ni. Apapun syukurlah hari ni Kak Yah ada masa sikit untuk menulis.

-Tapi nak tulis tentang apa ha? 

-Hai, takkan tak tau pulak. Ni kan ke blog bunga, dah tentulah nak tak nak kena tulis tentang bunga! 

-Okaylah ... tapi bunga apa yer? 

-La ... itupun tak tau jugak. Kan ke ramai yang tanya pasal bunga vinca. Ha, tulis jelah citer bunga vinca

-Haah yer. Kalau camtu, Kak Yah tulislah sikit tentang bunga yang gagah perkasa ni. 

-Ha? Gagah perkasa? Apa yang gagahnya bunga vinca ni. Kan ke dia lembik macam bunga-bunga yang lain tu? 

-Yer ... tapi bunga vinca ni tahan lasak malahan musim kemarau pun dia boleh hidup. Tak ke gagah tu?

-Oooo camtu ...

Baiklah. Cukuplah sesi soal jawab kemusykilan agama eh eh kemusykilan bunga maksud Kak Yah; terysasyul....hehehe...

Bunga vinca atau dipanggil juga periwinkle (yang sejenis dengan Catharanthus)  berasal dari Afrika dan Asia Barat. Ada 6 spesis utama iaitu Vinca herbacea, V.pubescens, V.erecta, V.difformis, V.major dan V.minor. Spesis yang popular ialah Vinca major dan minor.

Vinca major (Foto Wikipedia)

Pokok bunga ini merupakan tumbuhan merayap. Akar akan tumbuh pada bahagian batang yang menyentuh tanah membolehkannya membiak dengan cepat. Sebab itulah bunga ini sesuai dijadikan tanaman litup tanah (groundcover) di taman-taman bunga atau boleh juga ditanam di dalam pasu yang lebar atau luas.

Vinca minor (Foto Wikipedia)

Selain itu, tumbuhan ini juga membiak melalui biji benih yang terpelanting keluar apabila buahnya telah cukup ranum dan kering. Biji benih inilah yang digunakan untuk menanam pokok bunga vinca di kawasan rumah atau dalam pasu.

Vinca difformis (Foto Wikipedia)

Pokok bunga vinca boleh berbunga sepanjang tahun dan biasanya berwarna ungu (violet) walaupun adakalanya putih atau biru muda atau merah atau warna aprikot.

Vinca herbacea (Foto Wikipedia)

Vinca mudah ditanam dan mudah juga dijaga. Ia tahan panas dan tidak memerlukan air yang banyak. Siram sekali-sekala dan baja dengan baja biji atau yang dicampur air sekitar sebulan sekali. Pastikan air tidak bertakung di tempat ia tumbuh itu.

Vinca Yang Kak Yah Tanam 

Dari segi perubatan, beberapa jenis spesis seperti Vinca rosea yang banyak mengandungi alkaloid boleh dijadikan penawar leukemia dan kanser .