Bunga ini juga dikenali dengan nama strelitzia, birds of paradise dan bunga bangau.
Ada 4 jenis spesis yang utama iaitu Strelitzia caudata, Strelitzia nicolai, Strelitzia juncea, Strelitzia reginae tetapi hanya Strelitzia reginae yang sesuai ditanam di dalam rumah (tetapi lambat berbunga).
Cenderawasih boleh berbunga beberapa kali dalam setahun.
Bunga ini dibiakkan melalui dua cara iaitu biji benih dan akar atau ubinya.
Pokok bunga ini memerlukan cahaya matahari yang banyak tetapi bukan panas terik (walaupun ada sesetengah spesis bunga ini boleh tahan panas terik).
Tanahnya mestilah sentiasa lembap kerana tumbuhan ini memerlukan air sepanjang tahun. Tetapi pastikan airnya tidak bertakung. Pada peringkat awal pertumbuhannya, selalulah menyiramnya supaya akarnya cepat berkembang dan menjadi lebih kuat.
Jika ditanam di dalam pasu, campurkan tanahnya dengan tanah gambut. Jangan lupa menukar pasu kepada saiz yang lebih besar dari semasa ke semasa supaya tumbuhan ini mempunyai ruang yang cukup untuk bertumbuh dengan subur.
Baja pula mestilah daripada jenis yang "slow release" (meresap secara beransur-ansur) atau jika menggunakan baja cecair hendaklah diberi dua minggu sekali.
Selepas berbunga selama setahun atau dua tahun, barulah boleh dipecah-pecahkan kepada kumpulan-kumpulan kecil untuk dipindahkan ke pasu-pasu lain atau ditanam terus ke atas tanah. Dengan cara ini, pokok cenderawasih ini akan mengeluarkan lebih banyak bunga.
Cenderawasih burung di awan,
Sarang nuri dilindungi daun,
Rindu kasih bukan buatan,
Jarak sehari rasa setahun.