Bunga Balung Ayam


"Wow, merahnya!"

"Berkilat macam baldu!"

"Cantik kan, bang?"

"Haah. Cantik betul!"

Itulah petikan dialog di antara Kak Yah dengan cik abang semasa kami menjenguk taman bunga kami pagi semalam dan terpandangkan bunga balung ayam yang Kak Yah tanam. Lihatlah gambarnya di bawah ini.

Inilah Bunga Balung Ayam Tu. Cantik, Kan?
http://jomtanambunga.blogspot.com
Dengan Pokoknya Sekali

Jadi, kali ini elok rasanya kalau Kak Yah citerkan sikit tentang bunga balung ayam ini untuk sesiapa yang belum kenal bunga ini.

Bunga balung ayam mendapat namanya daripada bentuknya yang menyerupai balung ayam jantan (macam dalam gambar di bawah). Bunga yang nama saintifiknya Celosia ini tergolong di dalam keluarga Amaranthaceae dan spesis yang banyak ditanam di kawasan Asia  adalah berasal dari England.

Balung Ayam Jantan (Yang Bewarna Merah Tu)

Perkataan "celosia" pula berasal daripada perkataan Greek "kelos" yang bererti "terbakar" (mungkin disebabkan warna bunganya itu kelihatan seperti api yang sedang membakar). Dalam bahasa Inggeris ia dipanggil "cockscombs" dan "woolflowers".

Spesis bunga balung ayam ada lebih kurang 60 tetapi yang popular ialah Celosia argentea, Celosia cristata  dan Celosia spicata. Spesis yang biasa dijadikan tanaman hiasan adalah Celosia cristata dan ia banyak ditanam di negara China.

Bunga yang tidak wangi ini boleh didapati dalam pelbagai warna yang cerah-cerah seperti merah, kuning, merah jambu dan warna emas. Pokok balung ayam boleh berbunga selama 8 hingga 10 minggu.

Celosia cristata (Foto Wikipedia)
Celosia spicata (Foto Wikipedia)
Celosia argentea (Foto Wikipedia)

Di Indonesia dan India, daun pokok balung ayam ini dimakan sebagai sejenis sayur-sayuran. Rasanya seakan-akan rasa sayur bayam.

Cara Menanam

Balung ayam dibiakkan melalui biji benih yang disemai di kawasan teduh dan dipindahkan setelah tumbuh menjadi anak pokok. Tanam pada jarak 8 hingga 12 inci antara satu sama lain di atas tanah yang tidak bertakung air dan mendapat cahaya matahari yang banyak. Tanah yang sesuai baginya ialah tanah yang terdiri daripada campuran lumpur, tanah liat, sedikit pasir dan bahan-bahan organik seperti tahi ayam.

Walaupun pokok bunga ini tahan panas namun jika terdedah lama kepada cahaya matahari yang terik boleh menyebabkan bunganya menjadi layu.

Jangan basahkan bunganya untuk mengelak dari dijangkiti kulat (fungi).

Bubuh baja kepada tanahnya kira-kira 3 atau 4 minggu sekali. Sekiranya dijaga dengan baik, pokok ini boleh tumbuh sehingga 4 kaki tingginya.

Pokok bunga ini tidak berapa digemari serangga-serangga perosak. Walau bagaimanapun, jika diserang juga, gunakan racun serangga.

Khasiat Perubatan

Balung ayam digunakan sebagai penawar jangkitan cacing (terutama sekali cacing pita), sakit mulut dan sakit mata. Bijinya boleh mengubat sakit dada manakala bunganya adalah penawar cirit-birit. Daunnya pula boleh digunakan untuk merawat kudis dan bisul.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...