Memaparkan catatan dengan label Tanaman Hiasan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tanaman Hiasan. Papar semua catatan

Cara Menanam Pokok Bunga Matahari



Penanaman pokok bunga matahari boleh dilakukan dengan menggunakan biji bunganya. Dapatkan biji benih daripada kedai menjual biji benih atau pasaraya. Pastikan yang anda beli itu bukannya KUACI BUNGA MATAHARI sebab kalau kuaci yang ditanam sampai bila-bila pun tidak akan tumbuh! 😄

Sebelum biji-biji itu disemai, terlebih dahulu biji-biji tersebut hendaklah dijemur di bawah cahaya matahari.Tujuannya ialah untuk membunuh kulat atau bakteria yang mungkin ada pada biji bunga matahari tersebut.

Untuk penyemaian pula, kita memerlukan tanah sebagai media tanaman. Pilih tanah yang gembur dan sebaik-baiknya yang telah dicampur dengan baja kompos. Percampuran tersebut dapat menambah nutrien yang sangat diperlukan untuk biji matahari tumbuh menjadi anak benih.Jangan lupa untuk membasahkan tanah tersebut dengan sedikit air.

Setelah anak benih tumbuh setinggi sekitar tiga hingga lima cm dengan beberapa helai daun, maka barulah dipindahkan ke dalam pasu besar yang mengandungi tanah gembur tadi atau boleh juga ditanam terus ka atas tanah. Tetapi, sebelum ditanam di atas tanah, tapaknya perlulah dicangkul terlebih dahulu untuk mengurangkan kandungan hamanya.

Jika ditanam di atas batas,jarakkan beberapa cm antara satu anak benih dengan anak benih yang lain.Tujuannya ialah supaya anak-anak pokok tersebut mempunyai ruang yang cukup untuk tumbuh dengan subur.

Bunga matahari biasanya berbunga ketika sudah mencapai usia kurang lebih kurang dua bulan. Hampir semua pokok bunga matahari akan menghadap ke arah sumber cahaya matahari pagi ketika berbunga.

Selepas kira-kira 2 bulan, pokok bunga ini haruslah diberi baja secara teratur supaya tanaman tersebut dapat tumbuh subur dan jauh dari hama penyakit. Selepas kira-kira 3 bulan pula, biasanya tunas bunga mulai tumbuh  pada tanaman tersebut.Untuk memperoleh bunga yang baik, potonglah tunas-tunas bunga yang dianggap kurang baik sepanjang tempoh pertumbuhannya. Siramlah dua kali sehari supaya bunga matahari yang kita tanam itu berkembang dengan cepat dan cantik.

Ini gambar bunga matahari yang Kak Yah tanam. Untuk membaca kisahnya sila klik di sini.

Cenderawasih - Secantik Namanya!

Bunga cenderawasih adalah salah satu daripada bunga-bunga yang tercantik di dunia. Berasal dari Afrika Selatan tetapi banyak didapati di negara-negara Asia terutamanya di negara China. Selain itu banyak juga ditanam di Bangladesh dan Mexico.

Cenderawasih

Bunga ini juga dikenali dengan nama strelitzia, birds of paradise dan bunga bangau.

Ada 4 jenis spesis yang utama iaitu Strelitzia caudata, Strelitzia nicolai, Strelitzia juncea, Strelitzia reginae tetapi hanya Strelitzia reginae yang sesuai ditanam di dalam rumah (tetapi lambat berbunga).

Cenderawasih boleh berbunga beberapa kali dalam setahun.


Bunga ini dibiakkan melalui dua cara iaitu biji benih dan akar atau ubinya.

Pokok bunga ini memerlukan cahaya matahari yang banyak tetapi bukan panas terik (walaupun ada sesetengah spesis bunga ini boleh tahan panas terik).

Tanahnya mestilah sentiasa lembap kerana tumbuhan ini memerlukan air sepanjang tahun. Tetapi pastikan airnya tidak bertakung. Pada peringkat awal pertumbuhannya, selalulah menyiramnya supaya akarnya cepat berkembang dan menjadi lebih kuat.


Jika ditanam di dalam pasu, campurkan tanahnya dengan tanah gambut. Jangan lupa menukar pasu kepada saiz yang lebih besar dari semasa ke semasa supaya tumbuhan ini mempunyai ruang yang cukup untuk bertumbuh dengan subur.

Baja pula mestilah daripada jenis yang "slow release" (meresap secara beransur-ansur) atau jika menggunakan baja cecair hendaklah diberi dua minggu sekali.


Selepas berbunga selama setahun atau dua tahun, barulah boleh dipecah-pecahkan kepada kumpulan-kumpulan kecil untuk dipindahkan ke pasu-pasu lain atau ditanam terus ke atas tanah.  Dengan cara ini, pokok cenderawasih ini akan mengeluarkan lebih banyak bunga.


Cenderawasih burung di awan,
Sarang nuri dilindungi daun,
Rindu kasih bukan buatan,
Jarak sehari rasa setahun.


Bunga Punya Warna, Akar Dapat Nama!

Nama saintifiknya Allamanda cathartica manakala nama biasa ialah Bunga Akar Kuning, Bunga Loceng, Bunga Trompet Emas atau Bunga Buttercup. Berasal dari Amerika Selatan iaitu di sekitar Mexico hinggalah ke Argentina. Nama Allamanda diambil daripada nama seorang pakar tumbuh-tumbuhan Switzerland yang bernama Frederic-Louis Allamand.

Allamanda
Ini Bunga Allamanda Kuning Yang Kak Yah Tanam

Pada mulanya pokok bunga Allamanda ini hanya ditemui di tebing-tebing sungai dan di kawasan-kawasan yang mendapat cahaya matahari dan air yang mencukupi. tetapi sekarang ini Allamanda boleh ditemui di merata-rata tempat di kawasan tropika seperti di sepanjang parit-parit di tepi jalan dan juga di kawasan-kawasan tanah lapang yang terbiar.

Pink Allamanda
Yang Warna Pink Ini Pun Kak Yah Tanam Juga

Pokok bunga ini dibiakkan melalui keratan batang dan  setakat ini 15 spesis tumbuhan ini telah dikenalpasti. Antara spesis-spesis yang popular ialah Allamanda cathartica, Allamanda blanchetii, Allamanda angustifolia, Allamanda polyantha dan Allamanda schottii. Sungguhpun kebanyakan spesis menghasilkan bunga yang bewarna kuning namun ada juga yang mengeluarkan bunga bewarna pink (merah jambu).

Allamanda schottii
Allamanda schottii

Allamanda yang biasa dijadikan tanaman hiasan terdiri daripada 2 jenis. Pertama, jenis menjalar/memanjat manakala kedua ialah jenis belukar. Di Malaysia, jenis belukar lebih banyak ditanam berbanding jenis yang pertama itu.

Buah Allamanda schottii

Tumbuhan ini senang ditanam dan dijaga. Semasa menanamnya, campurkan sedikit baja tahi ayam/lembu ke dalam tanah yang digunakan. Jarakkan kira-kira 3 ke 4 kaki di antara satu pokok dengan yang lain kerana Allamanda mudah merimbun dan melebar. Pangkas daun-daunnya untuk mendapatkan bentuk pokok yang dikehendaki. Siram selalu tetapi pastikan air siraman itu betul-betul kering barulah disiram lagi. Untuk mendapatkan pokok dan bunga yang cantik, gunakan pula baja biji penggalak bunga dan daun tiga atau empat bulan sekali.

Allamanda cathartica
Allamanda cathartica

Getah pokok bunga ini bewarna putih dan mengandungi racun. Oleh itu pastikan anda memakai sarung tangan semasa mengendalikan tumbuhan ini.

Di segi perubatan, tumbuhan ini telah digunakan secara tradisional sebagai penawar kepada penyakit-penyakit seperti penyakit kuning dan malaria.

Allamanda blanchetii
Allamanda blanchetii


Bunga Mentega

Pernah dengar nama bunga ni? Bunga Mentega atau Bunga Jepun. Bunga Jepun mungkin ramai yang tahu tapi jangan silap pulak bunga ni tak sama dengan Bunga Ros Jepun. Di Malaysia ni mungkin orang jarang sebut bunga mentega tapi kalau di Indonesia sana, itulah nama yang mereka beri kepada bunga Jepun. Kalau ada yang masih kurang jelas, sebenarnya bunga ini juga dikenali sebagai Bunga Oleander. Tentang bunga inilah yang Kak yah nak citer kali ni.

Oleander yang banyak ditanam di negara kita ni ialah daripada spesis Nerium Oleander. Berasal dari Asia Barat (sekitar kawasan Mediteranean), bunga ini sekarang boleh ditemui di merata tempat di kawasan yang beriklim tropika dan separa tropika termasuklah Malaysia dan negara-negara lain di Asia Tenggara. Untuk mengetahui macam mana rupabentuk bunga ni, sila lihat gambar-gambar di bawah.


Nerium Oleander
Nerium Oleander atau Bunga Jepun atau Bunga Mentega

Cantik, kan? Tapi awas, seluruh bahagian pokok bunga ini mengandungi racun yang berbahaya kepada manusia dan haiwan yang memakannya. Namun kesannya lebih kuat pada haiwan. Boleh jadi pening, muntah-muntah dan cirit-birit kita dibuatnya. Asap dari daun-daun dan ranting-rantingnya yang kita bakar pun boleh menyebabkan kita pening jika terhidu!


White Nerium Oleander
Ini Oleander Putih ( Maaf, Gambar Kabur Sikit)


Pokok oleander boleh tumbuh merimbun macam belukar hingga setinggi 6 meter iaitu menyamai hampir 20 kaki. Tinggi tu! Jadi, kalau nak menanamnya pilihlah kawasan yang sesuai dengan ketinggiannya itu. Kalau tidak, mungkin boleh terkena kabel elektrik atau telefon. Walau bagaimanapun, ketinggiannya boleh kita hadkan dengan pemangkasan. Bunganya ada tiga warna iaitu merah, putih dan pink (merah jambu) dan tumbuh secara sejambak-sejambak. Ada juga yang bewarna oren tetapi itu dari spesis yang dikacuk bukan yang ori. Cantik juga jika ditanam sebagai pokok pagar (yang tinggi, hehe ..) untuk mengepung kawasan rumah.


Pink Nerium Oleander
Ini Oleander Pink - Pun Cantik Juga!

Untuk menanam pokok bunga ini kita boleh gunakan biji benih atau keratan batang tetapi lebih mudah jika menggunakan keratan batang. Cuma pastikan keratan batang itu berakar. Atau kalau nak lagi senang, beli jer anak pokok yang dah siap dengan pasunya sekali.


Nerium Oleander Bud
Putik Bunga Oleander Putih


Oleander suka kepada tanah yang agak kering dan berpasir sedikit. Kawasan itu mestilah disinari matahari sepanjang hari (kalau tak hujanlah!). Pada peringkat awal pertumbuhannya, tanaman ini perlu disiram setiap hari tetapi apabila telah membesar dengan mantap, bolehlah dijarangkan sedikit menyiramnya. Pastikan tanahnya tidak digenangi air.


Red Nerium Oleander Bud
Putik Bunga Oleander Merah


Di segi pembajaan pulak, tanaman ini tidak memerlukan baja sekiranya ditanam di tanah yang subur. Kalau tanah tak subur, bolehlah dibubuh baja NPK.

Rimbunannya perlu dipangkas atau dicantas selalu untuk menggalakkan pertumbuhan dan mengawal ketinggiannya. Pastikan dahan atau ranting yang hendak dibuang itu dipotong pada bahagian selepas 3 buku tunas (tempat daun tumbuh). Daun-daun baru akan keluar diikuti dengan jambak-jambak bunga yang cantik sekali!


Nerium Oleander Seeds
Beginilah Rupa Biji Benih Oleander



Nak Order Biji Benih Nerium Oleander Dari USA? 
Klik Pada Gambar-Gambar Ini

Ekor Kucing Dijadikan Hiasan?

Biar betul Mak Yah ... mana logiknya ekor kucing tu kita potong pastu jadikan hiasan!

Itulah kata-kata yang terhambur daripada mulut anak buah Kak Yah yang bernama N bila Kak Yah kata yang ekor kucing pun orang buat hiasan. Memang patut pun ... budak ni belum pun lepas UPSR ... manalah dia tau sangat tentang bunga-bunga.

Bukan ekor kucing betul-betul tu. Ni pokok ekor kucing. Tu ada kat taman Mak Yah tu. Pergi tengok. Yang warna merah berjuntai-juntai tulah bunga ekor kucing!

N dan adiknya M datang bercuti hujung minggu di rumah Kak Yah baru-baru ni. Dia panggil Kak Yah ni: Mak Yah.

Oh yang niiii ... haahlah Mak Yah, sebijik macam ekor kucing betul. Cantiklah Mak Yah!

Eh, Mak Yah memang cantik. Dah kuar kat satkhabar dah! (Kak Yah buat lawak, hehe ..).

Bukan Mak Yahlah ... bunga ni yang cantik. Apalah Mak Yah ni. (Hai, marah nampak!)

Ekor Kucing
Ekor Kucing Yang Kak Yah Tanam: Bunganya Cantik ... Tapi Daunnya ...

Okaylah. Tentu korang tak kuasa nak dengar kisah anak buah Kak Yah tu, kan?

Baiklah, mari kita citer pulak pasal bunga ekor kucing.

Pokok bunga ekor kucing atau nama saintifiknya Acalypha hispida adalah sejenis tanam hiasan yang berasal dari pulau-pulau yang beriklim tropika di Lautan Pasifik. Sekarang pokok ini banyak didapati di negara-negara seperti Hawai, Amerika Utara, Mexico, Belize dan juga Amerika Syarikat. Dalam bahasa Inggeris, tanaman ini dikenali sebagai red hot cat's tail (ekor kucing merah menyala), fox tail (ekor musang), Philipines Medusa (Medusa Filipina) dan Chennile Plant (Pokok Chennile).


 Acalypha hispida
Dari Dekat


Cantik ditanam sebagai hiasan di halaman rumah dan di dalam rumah. Dibiakkan melalui biji benih ataupun boleh juga menggunakan keratan batang. Bila cukup matang, pokoknya boleh mencecah ketinggian sehingga hampir 3 meter (tinggi tu!). Macam manapun, kita harus berhati-hati dengan pokok ini kerana semua bahagian pokok ini adalah beracun jika dimakan oleh haiwan! Selain merah, bunga ekor kucing juga ada yang bewarna ungu dan coklat.


Ekor Kucing
Amboi, Lebatnya Bunga!


Dari segi perubatan, daunnya boleh digunakan untuk merawat mengubati penyakit kusta. Air rebusan daun dan bunganya boleh digunakan untuk merawat luka dan ulser; juga sebagai pencuci perut serta merawat penyakit kelamin. Kulit batangnya yang direbus boleh merawat kahak serta mengurangkan serangan asma. Daun dan bunganya juga digunakan bagi merawat cirit-birit.

Acalypha hispida
Yang Ni Jenis Kurussss ... hehe ...



Bunga Cina

Sempena Tahun Baru Cina ni, Kak Yah nak citer tentang bunga Cina.  Sebut jer bunga Cina, Kak Yah teringat sebuah lagu kanak-kanak yang berjudul "Buai Laju-Laju". Korang pun tentu masih ingat lagu ni, kan? Yang tak ingat tu, maknanya korang tu bukan dari generasi Kak Yah; korang generasi selepas kami, generasi video games, hehe ..

Salah satu rangkap dalam lagu tu berbunyi begini:

Buai laju-laju,
Sampai pokok sena;
Apa dalam baju,
Sekuntum bunga Cina.


Apapun Kak Yah bukanlah nak citer panjang tentang lagu ni. Macam yang Kak Yah dah kata mula-mula tadi, Kak Yah nak citer tentang bunga Cina.

Kepada sesiapa yang belum kenal bunga Cina, silalah tengok gambar kat bawah ni. Inilah rupanya bunga Cina tu.

Gardenia jasminoides
Bunga Cina/Melur (Gardenia augusta/jasminoides)

Pasti ada yang cakap: Ini bunga Melur! Memang betul tu. Bunga Cina juga dikenali sebagai bunga Melur. Dalam istilah sainsnya disebut Gardenia augusta/jasminoides. Jasmine tu melurlah! Di Indonesia, bunga ini dikenali sebagai Melati atau Melur Cina.

Untuk pengetahuan korang sumer, bunga Cina ni ialah sejenis tumbuhan berbunga yang berasal dari negara Asia dan banyak didapati tumbuh secara liar di India, Jepun, Vietnam, Taiwan dan Myanmar. Di negara China, tumbuhan ini telah ditanam sejak lebih seribu tahun yang lalu dan hanya mula dibawa ke England  dan ditanam sebagai tanaman hiasan pada pertengahan kurun ke 18. Selepas itu banyaklah spesies baru bunga Cina hasil kacukan dan sebagainya.


Tumbuh Meliar di Kawasan Pergunungan Asia


Bunga ini berwarna putih, sangat harum baunya dan mekar sepanjang tahun . Daunnya pula hijau berkilat. Pokok bunga ini sesuai juga dijadikan sebagai pokok pagar. Sesuai ditanam di kawasan yang menerima banyak cahaya matahari dan mempunyai saliran air yang baik serta tanah yang agak berasid. Kalau kekurangan asid, daunnya akan berwarna kuning. (Tips: Untuk mengatasi masalah ini, campurkan sedikit cuka makan atau jus limau segar ke dalam air siraman dan semburkan ke atas tanah di sekeliling pokok bunga ini.)


Sejenis Bunga Cina / Melur
Sejenis Variasi Bunga Cina/Melur

Pokok bunga Cina ini membiak secara keratan batang. Rendam dulu keratan batang yang agak tua di dalam air suam sebelum ditanam ke dalam tanah. Siram setiap hari untuk pertumbuhan akarnya.Tunas baru akan muncul selepas lebih kurang 6 minggu.

Bunga Cina digunakan sebagai kalung di kalangan penduduk Kepulauan Polynesia. Di Korea pula, buahnya digunakan dalam pembuatan pencelup kuning untuk makanan dan pakaian. Masyarakat di negara China menggunakan bunga ini dalam perubatan tradsional mereka. Bunga ini dkatakan boleh menyembuhkan penyakit sendi. Di Malaysia, daun pokok ini digunakan untuk menambah air susu ibu.Caranya ialah dengan menggiling daun tersebut hingga halus dan menampalnya di sekeliling payudara pada waktu pagi sebelum mandi. Cuci dahulu sebelum menyusukan bayi.


(Gambar-Gambar: Wikipedia)


Pokok Lidah Mak Mentua

Pasti ramai yang tak tahu macam mana rupa pokok Lidah Mak Mentua ni, kan? Kalau pokok ular, tahu tak? Mungkin ada yang tahu dan mungkin juga tidak. Nama saintifiknya "sansevieria". Ha, dah ada yang kata kalau pokok tu saya taulah! Ya, itulah pokok yang kita kenal sebagai lidah jin.

Kali ni Kak Yah nak tulis sikit tentang lidah jin ni sebab ramai kawan-kawan kat fb, twitter dan kat luar sana yang tanya kenapa asyik tulis tentang pokok bunga jer, tulislah juga tentang tanaman hiasan yang lain macam pokok keladi ke, pokok lidah buaya ke, clathea ke dan macam-macam lagi yang "sewaktu" denganya. Maka kali ni silalah baca tentang lidah jin ...

Di negara Barat selain dikenali dengan nama Lidah Mak Mentua (Mother-In-Law's Tongue) dan Pokok Ular (Snake Plant), tumbuhan ini juga dipanggil Lidah Syaitan/Hantu (Devil's Tongue) dan "bow string hemp".

Pokok lidah jin ini berasal dari benua Afrika dan ada banyak spesis iaitu lebih daripada 70 jenis. Antaranya ialah Sansevieria cylindrica, Sansevieria ehrenbergii, Sansevieria eilensis, Sansevieria kirkii, Sansevieria pinguicula, Sansevieria trifasciata dan Sansevieria stuckyi. Spesis yang paling digemari ramai sebagai tanaman hiasan ialah spesis Sansevieria trifasciata. Untuk mengenali bagaimana rupa bentuk spesis-spesis ini, sila lihat gambar-gambar di bawah ini.


Sansevieria
Sansevieria cylindrica

Sansevieria
Sansevieria pinguicula

Sansevieria
Sansevieria eilensis

Sansevieria
Sansevieria kirkii

Sansevieria
Sansevieria stuckyi

Sansevieria
Sansevieria trifasciata (Snake Plant / Mother-In-Law's Tongue)

Tanaman ini sesuai dijadikan tanaman pagaran atau ditanam berasingan serta boleh juga ditanam di dalam pasu cantik dan diletakkan di dalam rumah (pastikan kedudukannya hampir dengan pintu atau tingkap untuk mendapatkan cahaya matahari).

Pokok lidah jin lebih subur jika ditanam di kawasan yang redup tetapi mendapat cahaya terang yang banyak. Tanahnya pula hendaklah tidak menakung air seperti tanah yang bercampur pasir atau batu-batu kecil. Tidak perlu menyiramnya selalu kerana akarnya akan reput jika berlebihan air. Pokok ini boleh hidup bertahun-tahun lamanya.

Pembiakannya juga sangat mudah iaitu melalui keratan daunnya. Cuma cucukkan sahaja bahagian bawah keratan daun itu ke tanah. Atau boleh juga dilakukan dengan memisah-misahkan daun-daun dari rumpun pokok asalnya kepada kumpulan-kumpulan kecil dan menanam semula di tempat atau pasu-pasu yang lain.

Sebagai tanaman hiasan, untuk kelihatan lebih cantik, daunnya hendaklah disembur dengan air dan dilap supaya bersih dan berkilat.

Dari segi perubatan tradisional pula, daun lidah jin boleh digunakan sebagai pembalut luka.

Sansevieria
Pokok Lidah Jin Yang Kak Yah Tanam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...