Memaparkan catatan dengan label Cerita Bunga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cerita Bunga. Papar semua catatan

Ekor Kucing Dijadikan Hiasan?

Biar betul Mak Yah ... mana logiknya ekor kucing tu kita potong pastu jadikan hiasan!

Itulah kata-kata yang terhambur daripada mulut anak buah Kak Yah yang bernama N bila Kak Yah kata yang ekor kucing pun orang buat hiasan. Memang patut pun ... budak ni belum pun lepas UPSR ... manalah dia tau sangat tentang bunga-bunga.

Bukan ekor kucing betul-betul tu. Ni pokok ekor kucing. Tu ada kat taman Mak Yah tu. Pergi tengok. Yang warna merah berjuntai-juntai tulah bunga ekor kucing!

N dan adiknya M datang bercuti hujung minggu di rumah Kak Yah baru-baru ni. Dia panggil Kak Yah ni: Mak Yah.

Oh yang niiii ... haahlah Mak Yah, sebijik macam ekor kucing betul. Cantiklah Mak Yah!

Eh, Mak Yah memang cantik. Dah kuar kat satkhabar dah! (Kak Yah buat lawak, hehe ..).

Bukan Mak Yahlah ... bunga ni yang cantik. Apalah Mak Yah ni. (Hai, marah nampak!)

Ekor Kucing
Ekor Kucing Yang Kak Yah Tanam: Bunganya Cantik ... Tapi Daunnya ...

Okaylah. Tentu korang tak kuasa nak dengar kisah anak buah Kak Yah tu, kan?

Baiklah, mari kita citer pulak pasal bunga ekor kucing.

Pokok bunga ekor kucing atau nama saintifiknya Acalypha hispida adalah sejenis tanam hiasan yang berasal dari pulau-pulau yang beriklim tropika di Lautan Pasifik. Sekarang pokok ini banyak didapati di negara-negara seperti Hawai, Amerika Utara, Mexico, Belize dan juga Amerika Syarikat. Dalam bahasa Inggeris, tanaman ini dikenali sebagai red hot cat's tail (ekor kucing merah menyala), fox tail (ekor musang), Philipines Medusa (Medusa Filipina) dan Chennile Plant (Pokok Chennile).


 Acalypha hispida
Dari Dekat


Cantik ditanam sebagai hiasan di halaman rumah dan di dalam rumah. Dibiakkan melalui biji benih ataupun boleh juga menggunakan keratan batang. Bila cukup matang, pokoknya boleh mencecah ketinggian sehingga hampir 3 meter (tinggi tu!). Macam manapun, kita harus berhati-hati dengan pokok ini kerana semua bahagian pokok ini adalah beracun jika dimakan oleh haiwan! Selain merah, bunga ekor kucing juga ada yang bewarna ungu dan coklat.


Ekor Kucing
Amboi, Lebatnya Bunga!


Dari segi perubatan, daunnya boleh digunakan untuk merawat mengubati penyakit kusta. Air rebusan daun dan bunganya boleh digunakan untuk merawat luka dan ulser; juga sebagai pencuci perut serta merawat penyakit kelamin. Kulit batangnya yang direbus boleh merawat kahak serta mengurangkan serangan asma. Daun dan bunganya juga digunakan bagi merawat cirit-birit.

Acalypha hispida
Yang Ni Jenis Kurussss ... hehe ...



Lilyku Berbunga Lagi

Seronoknya pagi ini. Pokok lily (adik-beradik bunga bakung) berbunga lagi. Mula-mula yang warna pink. Pastu yang merah pulak. Hi, seronoknya! Korang tengok gambar-gambar kat bawah ni, cantik, kan?


Lily
Inilah 3 Kuntum Lily Yang Kak Yah Nampak Tu..

Sebenarnya dah lama Kak Yah tak tengok pokok lily tu sebab sibuk dengan pokok-pokok bunga yang lain. Maklumlah kat taman yang kecik ni, walaupun kawasannya terhad, tapi banyak jugaklah jenis bunga yang Kak Yah tanam. Tapi taklah sebanyak sebelum musim kemarau awal tahun ni (masa tu banyak pokok bunga Kak Yah yang jadi arwah, huhu ..). Bila dah asyik dengan yang lain maka terabailah si lily tu ... hinggalah pagi tadi, tiba-tiba jer Kak Yah terpandang tiga kuntum bunga pink di celah-celah rimbunan pokok-pokok lain.

"Eh, itu cik lily tu," Kak Yah bercakap sorang-sorang dari jauh. Bila didekati, betullah sangkaan Kak Yah tu.


Pink Lily
Lily Pink Jugak

"Bang! Lily dah berbunga!" Kak Yah menjerit sebab nak share rasa seronok tu dengan suami Kak Yah.

"Ha? Geli kat dalam telinga? Apa benda yang masuk dalam telinga tu. Meh sini abang tengok, " Balas cik abang yang tengah nak masuk ke dalam kereta (nak ke kedailah tu!).

Masyallah ... pekak pulak orang tua ni.


Lily Merah
Ini Lily Warna Merah

"Bukanlah bang. Ni ha, pokok bunga lily ni ... dah berbunga semula! Apalah abang ni, orang cakap lain, dia dengar lain pulak. Abang tu agaknya yang ada benda masuk telinga; sebab tulah tak dengar, hihihi ..."

"Ohhh.. Ingatkan apa tadi. Baguslah tu. Jangan lupa snap gambar yer; abang nak ke kedai jap," Cik abang pun berlalu keluar dengan keretanya.

"Huh, orang nak share ngan dia, keluar pulak dia ..." Kak Yah merungut separuh merajuk.

Kak Yah pun carilah semua pokok lily yang pernah Kak Yah tanam di seluruh kawasan taman.Rupa-rupanya semua dah berbunga semula. Ada yang baru nak kembang dan ada yang dah kembang betul. Seronoknya! Cepat-cepat Kak Yah ambil kamera lalu men"snap" banyak-banyak gambar "diorang". Pastu terus mengadap komputer. Apa lagi Kak Yah pun tulislah entry yang korang tengah baca ni ...


 Red Lily
Ini Lily Warna Merah Dari Dekat

Takpalah tu. Tak dapat kongsi ngan husband, biar Kak Yah kongsi ngan korang. Boleh, kan?

Kalau korang nak tau, antara petua macam mana nak jadikan bunga lily yang kita tanam tu subur dan cantik ialah:-

Pertama, lily suka kepada cahaya matahari yang banyak. Tapi bukan panas terik. Jadi, pastikan ia ditanam di kawasan yang macam tu. Kalau panas terik tak dapat dielakkan, gunakan plastik atau jaring untuk mengurangkan teriknya.

Kedua, pastikan tanahnya tidak menakung air. Kalau selepas hujan, ada air bertakung yang lambat kering kat situ, maknanya tak sesuailah untuk si lily ni. Untuk mengatasi masalah ini, tanam jer lily di kawasan cerun di mana air tak kan bertakung punyer, hehe ..

Ketiga, kalau pokoknya kurang subur, boleh bubuh baja tapi pastikan yang kandungan NPKnya sama banyak. Kalau takder, baja tahi ayam pun boleh. Tak perlu selalu dibaja; cukuplah lebih kurang sebulan sekali jer. Jangan terlebih baja; nanti pokoknya terpaksa ditupang (disokong dengan kayu atau buluh) sebab tak larat nak berdiri! Tapi awas masa mencucukkan kayu tupang tu; jangan sampai tercucuk bebawang atau ubinya yang ada kat dalam tanah, takut-takut mati pulak pokoknya.

Keempat, rajin-rajinlah membuang bunga-bunga dan daun-daun yang layu untuk menggalakkan pertumbuhan bunga-bunga dan daun-daun yang baru. (Berapa banyak bunga dan daun, da ...).

Akhir sekali, rajin-rajinlah jugak membelek kat celah-celah daun lily ni sebab selalu ada si merah (sejenis serangga perosak) yang akan merosakkan pokok bunga ini. Kalau ada si merah, buanglah dan kalau korang jenis yang brutal tu, picit ajerlah kasi mati menatang tu, hehe ... Kalau tak jumpa si merah tapi ada najis dia yang warna hitam-hitam tu, bersihkan dengan air. Kalau banyak sangat geng merah tu, sembur jerlah dengan racun serangga (insecticide) yang boleh dibeli di nursery bunga yang berdekatan dengan rumah korang. Tak dapat nak beli? Buat jer sendiri macam Kak Yah (baca caranya kat sini).



Lily
Ini Lily yang Belum Berbunga lagi


"Pon! Pon!"

Terkejut Kak Yah. Rupa-rupanya "my hubby" dah balik. Okaylah, lain kali Kak Yah citer lagi. Kak Yah nak tengok apa yang abang belikan untuk isteri dia yang giler bunga ni, hehe ..

P.S. Kalau nak baca lagi kisah cik lily ni, sila klik kat sini.


Bunga Pun Turut Gembira


Alhamdulillah petang ini hujan turun semula setelah lebih sebulan kawasan tempat tinggal Kak Yah ini kering kontang tidak dibasahi air hujan. Walau bagaimanapun, Kak Yah sangat-sangat bersyukur kerana bekalan air di kawasan ini belum dicatu lagi. Anak sulung KakYah yang duduk di Cheras, KL hari-hari merungut kerana air hanya ada setiap dua hari sekali. Bayangkanlah kesusahannya; ditambah pulak dengan kehadiran dua orang anak yang masih kecil.


Di pihak KakYah pulak, walaupun bekalan air sentiasa ada namun kesusahannya pulak ialah memastikan semua pokok bunga yang Kak Yah tanam itu mendapat air yang secukupnya untuk mengganti "top up" air hujan. Maka dapatlah Kak Yah menyelamatkan kebanyakan daripada bunga-bunga tersebut. Yang lain-lain itu habis kering, layu, mengerekot dan mati, huhuhu ...


Pokok-pokok bunga yang masih bertahan itu termasuklah bunga matahari, petunia, zinnia, cosmos, marigold, mexican sunfower, bunga kertas, balung ayam, vinca dan balsam. Beberapa jenis bunga yang lain pulak, walaupun masih hidup namun keadaannya amat menyedihkan, huhuhu ...


Sepanjang musim panas dan kering ini, terpaksalah Kak Yah dan suami bertungkus-lumus melakukan apa yang patut demi menyelamatkan "anak-anak" kesayangan kami itu. Mana yang patut dipindahkan, kami pindahkan. Mana yang patut dibaja, kami bajakan. Mana yang patut disiram lebih, kami lebihkan air siramannya. Begitulah seterusnya. Di samping itu kami juga memohon kepada Allah SWT agar cuaca dipulihkan. Alhamdulillah, hari ini berkat doa kita semua, hujan turun semula!


Semasa hujan turun itu, Kak Yah dan "abang" ke luar ke beranda untuk "menonton" suasana di taman mini kami. Seronoknya Kak Yah melihat pokok-pokok bunga kami disirami air hujan. Seolah-olah Kak Yah dapat mendengar suara tanaman-tanaman itu mengucapkan syukur kepada Allah SWT dan melihat mereka dengan gembiranya menadah air hujan itu dengan daun dan bunga masing-masing!


Keesokan harinya, sebaik saja matahari mula bersinar, Kak Yah pun ke luar ke taman dengan membawa kamera dan mengambil gambar bunga-bunga yang dah mula berseri semula itu. Tengoklah sendiri betapa "gembira"nya bunga-bunga tersebut dalam gambar-gambar yang ditampalkan di entry ini.


Kawan-kawan pencinta bunga di luar sana, kalau ada cerita atau pengalaman menanam dan menjaga bunga pada musim kemarau itu, bolehlah berkongsi dengan Kak Yah. Tulislah di ruangan "ulasan" di bawah ini, atau kalau ceritanya panjang dan menarik, boleh juga Kak Yah jadikan  post entry di blog ini!



Bunga Kembang Pukul Empat

Di rumah Kak Yah pukul 3.30 petang.

Hai, cepatlah sikit jam ni. Lambat sangatlah ... orang nak tengok dia kembang!

Kak Yah merungut sorang-sorang.

Cik Yah hoi, apa yang dirungutkan tu. Kan sumernya abang dah belikan semalam. Ikan ada, ayam ada, daging pun ada, kan? Sayur pun abang dah belikan. Buah-buahan pun dah ada dua tiga jenis tu ... nak apa lagi ...

Suara saper lagi tu. Husband  Kak Yahlah tu. Tak tau hujung pangkal nak menyampuk, hihi ...

Bukan itulah, bang. Yah tengah tunggu bunga yang baru tu kembang! Katanya bunga tu kembang pada pukul empat petang. Ini yang Yah tengah tunggu ni. Lambat sangat nak pukul empat. Orang dah siap ngan kamera sekali ni.

Ooo camtu ... ingatkan apa tadi. kalau camtu lebih baik Yah keluar ke taman sekarang. lagi lima minit jer lagi. Tunggu kat depan pokok bunga tu.

Betul jugak tu.

Kak Yah pun pergilah dekat dengan pokok bunga tu lalu duduk mencangkung sambil memegang kamera.

Memang betul pun. Tepat jer pukul empat, bunga-bunga kat pokok tu pun mula berkembang perlahan-lahan, lepas satu, satu.

Wow, cantiknya! Apa lagi, Kak Yah pun snaplah banyak-banyak gambarnya. Salah satu daripadanya ada kat bawah ni. Korang tengoklah sendiri. Cantik, kan?


Mirabilis jalapa
Inilah Bunga Kembang Pukul Empat Yang Kak Yah Tanam

Itu masa mula-mula Kak Yah belajar tanam bunga. Sekarang dah melambak-lambak pokok bunga ni di taman mini Kak Yah. Dah tak terjaga pulak.

Kalau korang nak tau, bunga kembang pukul empat ni berasal dari Amerika Selatan dan suka sangat dengan cahaya matahari yang banyak. Nama botaninya ialah Mirabilis jalapa,

Uniknya pokok bunga ni, pada satu pokok tu boleh ada bunga yang berbagai warna (macam dalam gambar di bawah ni). Satu lagi sifat peliknya ialah warna bunganya boleh berubah-ubah. Bunga putih misalnya boleh bertukar menjadi bunga ungu!


Kembang Pukul Empat - Putih Kuning


Tumbuhan ini membiak melalui biji benih dan dan sangat mudah merebak banyak sekiranya tidak dijaga pertumbuhannya. Biji benihnya tu hendaklah direndam dulu dalam air sebelum disemai supaya lebih cepat bercambah.


Kembang Pukul Empat - Pelbagai Warna Pada Sebatang Pokok


Bila dah cukup matang, pokoknya boleh mencecah hampir 1 meter tingginya. Pokok bunga ini hidup lebih subur di kawasan yang berhampiran dengan laut.

Bunga kembang pukul empat ini biasanya berkembang mulai pukul empat (hehe ...) atau sekitar lewat tengahari dan hanya kuncup semula pada waktu pagi. Sepanjang malam pulak, bunga ini mengeluarkan bau yang sangat harum. Keesokan harinya bunga yang baru pulak mengambil giliran untuk kembang.


Yang Ini Putih Pink. Cantik Jugak, Kan?


Dari segi kegunaannya pulak, bunga ini boleh dijadikan pewarna makanan seperti dalam pembuatan kuih dan jeli.. Daunnya boleh dimasak dan dimakan sekiranya kita menggemari rasanya.


Yang Ini Pulak, Semua Putih!


Dari segi perubatan pulak, akarnya boleh dijadikan penawar penyakit kulit yang berair atau bernanah. Ada yang percaya, akar ini jika direbus dan diamalkan meminum air rebusan ini boleh menambah kekuatan tenaga lelaki.

(Psst ... jangan bagitau cik abang, nanti habis pokok bunga Kak Yah ni dicabutnya! Hehe ...).

Macam Nilah Rupa Biji Benih Kembang Pukul Empat





Bunga Hari Jadi

Hari ni hari jadi Kak Yah. Enam Januari.

Selamat hari jadi, Yah!

Pagi-pagi lagi Kak Yah dah dapat birthday wish daripada suami Kak Yah. Pastu dia cium dahi Kak Yah. Uii, seronoknya!

Terima kasih, bang! Jawab Kak Yah dengan gembira (sambil manja-manja dan malu-malu macam kucing, hehe ..).

Jap lagi, abang kasi hadiah, okay?, kata cik abang lagi.

Wow! Dua kali seronok. Tak sabar nak tau apa hadiah yang abang nak bagi tu. Tapi kenalah sabar jugak sebab orang yang nak bagi, terpulanglah pada dia bila dia nak bagi, kan?

Tak lama lepas tu, anak-anak Kak Yah pulak wish kat mak diorang ni. Tiga kali seronok!

Bukak pulak Facebook, mencurah-curah happy birthday wish daripada kengkawan. Empat kali seronok! Tu belum tengok Twitter, Instagram, WhatsApp dan macam-macam lagi tu ...

Apapun, Kak Yah ucapkan banyak-banyak terima kasih kepada yang sudi mengucapkan selamat hari jadi kepada orang tua macam Kak Yah ni dan mendoakan kebaikan untuk Kak Yah. Semoga doa korang tu dimakbulkan Allah, Amin ....

Citer pasal hari jadi ni, Kak Yah teringat pulak budaya mat saleh (dan minah saleh) yang berkait rapat dengan bunga. Di Britain misalnya, kalau seseorang tu lahir dalam bulan Januari macam Kak Yah ni, dia akan dihadiahkan sejambak bunga "carnation". Kalau bulan Febuari, dia dapat bunga "violet" pulak. Begitulah seterusnya untuk bulan-bulan yang lain. Pendeknya, satu bulan, satu jenis bunga. Kalau korang nak tau bunga apa untuk bulan-bulan yang lain tu, sila tengok gambar-gambar bunga kat bawah ni. Kak Yah dah tuliskan kat caption gambar-gambar tu.

Carnation (Januari)

Violet (Febuari)

Daffodil (Mac)

Sweet Pea (April)
Lily of the Valley (Mei)
Rose (Jun)
Lakspur (Julai)
Poppy (Ogos)
Forget-Me-Not (September)
Limonium (October)
Chrysenthamum (November)
Narcissus (Disember)

Kepada kengkawan yang menyambut hari jadi pada hari ini, Kak Yah ucapkan "Selamat Hari Jadi, Semoga Hidup Korang Diberkati Allah, Amin ..."

*(Photos:Wikipedia)

Bunga Jagung

Bunga jagung? Biar betul Kak Yah. Tak payahlah nak citer kat kitorang tentang bunga yang tak cantik ni. Yelah, takkan Kak Yah tak pernah tengok bunga jagung kat pokok jagung tu. KakYah kan asal dari kampung. Orang kampung tentu kenal bunga jagung tu, kan?

Op! Stop dulu dik ... tak payahlah adik nak bebel panjang-panjang. Kak Yah dah faham dah. Tapi adik yang salah faham! Sebenarnya, bunga jagung yang Kak Yah nak citer kali ni ialah cornflower atau Centaurea cyanus istilah saitifiknya! Bukan bunga yang macam bulu kuda yang tumbuh kat tongkol jagung tu! Cer adik tengok gambar kat bawah ni. Yang sebelah kiri tu bunga jagung adik; yang sebelah kanan tu bunga jagung Kak Yah. Kan jauh bezanya tu ...

Bunga Jagung
Cornflower (Centaurea cyanus)












Oh camtu ... Rupanya ada bunga jagung yang cantik macam ni yer. Barulah saya faham.

Tulah ... Lain kali dengar dulu sampai habis; jangan cepat sangat nak potong cakap orang!

Okaylah Kak Yah ... sori yer. Teruskanlah citer Kak Yah tentang cornflower tu.

Baiklah.

Mula-mula Kak Yah terpandang bunga cornflower ni di sebuah nursery di Sungai Buluh, Selangor masa tengah mencari pokok-pokok bunga untuk menambah koleksi di taman mini Kak Yah. Dah lama dah tu. Masa tu Kak Yah baru bina taman tu. Terpandang jer, terus terpikat. Cantiknya bunga ni, bangggg .... Bunga apa ni bang? (Suami Kak Yah ada sama kat situ. Dia pun tak tau nama bunga tu. Takleh harap, hehehe ... ). Kak Yah pun tanyalah si penjual bunga tu. Masa tulah Kak Yah baru tau yang bunga tu namanya "kong flower" (lidah Cina, hehe ..). Apa lagi, Kak Yah pun teruslah beli sepokok. Punyalah seronok. Bawak balik tanam dalam pasu ... Hari-hari tengok, hari hari siram.

Alahhh Kak Yah tak payah citerlah saat "romantis" tu. Yang saya nak tau tu bunga tu asal dari mana, ada banyak jenis ke, kat mana sesuai ditanam, cara membiakkannya dan ma....

Cukup-cukup! Kak Yah dah faham! Kamu ni kalau dah bercakap tu, tak tau nak stop. Orang nak bagi intro sikit pun tak boleh. Macam filem wayang tu; kan ada intro dulu pastu barulah citer sebenornyer .. apalah kamu ni.

Okaylah. Kalau kamu nak tau, bunga cornflower ni jugak dipanggil basketflower (bunga bakul) dan berasal dari Eropah. Memang ada banyak jenis tapi yang Kak Yah citer ni yang paling biasa kita jumpa Sekarang ni banyak ditanam di Amerika dan Australia. Kat Malaysia pun ada tapi tak banyak. Mula-mula dulu banyak tumbuh secara liar di ladang-ladang gandum dan ladang jagung di Eropah tu. Dari situlah bunga ni mendapat nama jagung tu.


cornflower
Cornflower  Biru  (Gambar Wikipedia)

Pokoknya boleh tumbuh sehinggah mencecah 3 kaki tingginya (lebih kurang semeterlah tu). daunnya panjang-panjang (tirus) dan bunganya berwarna biru keunguan. Selain itu ada juga bunganya yang berwarna pink dan ungu betul. Hitam dan putih pun ada tapi jarang dijumpai. Ada yang selapis kelopaknya dan ada juga yang berlapis-lapis.

Cornflower boleh dibiakkan sama ada melalui  biji benih atau anak pokok. Pokoknya suka kepada cahaya matahari dan air yang banyak. Tanahnya pulak jangan banyak asid mahupun alkali; cukup dengan yang neutral saja dan tidak menakung air. Maknanya kenalah letak kat tempat panas (tapi jangan panas terik; mati dia nanti) dan siram tiap-tiap hari. Insya Allah suburlah dia dan cantik sangatlah bunganya nanti.

Di Eropah, bunga ni dijadikan hiasan makanan (macam kita hias mi goreng dengan daun bawang dan bawang goreng, macamtulah). Selain itu digunakan juga sebagai pewarna (warna birunya diekstrak dan diproses menjadi bahan pewarna). Rebusan bunga ini pulak boleh dijadikan ubat sakit mata atau penyegar kepada mata yang dah penat (macam Eye-Mo lah tu).

purple cornflower
Cornflower Ungu  (Gambar Wikipedia)

Hai, kamu dengar ke kamu tidur. Laaa ... buat penat jer Kak Yah citer panjang lebar. Pergilah kamu balik, tidurlah puas-puas!

Er .. er .. (terkebil-kebil dan terpinga-pinga). Sorilah Kak Yah. Ngantuk sangat. Maklumlah kerja malam. Saya balik dululah yer ... bye ... eh, assalamualaikum.

Waalaikumussalam ...

Itulah Si Anoi anak jiran Kak Yah yang kerja kilang kat Bangi. Dah tau ngantuk buat apa datang sini, perrghhhh! Hehehe ...

Korang kat luar sana, kalau ada pengalaman tanam bunga cornflower ni, bolehlah share kat ruangan ulasan/comments kat bawah ni. Kongsi ilmu ni, dapat pahala tau, hihihi ...


Ketika Bunga Bertasbih

"Hai, nak tulis novel ke cerpen tu?"

Kedengaran cik abang bersuara sebaik saja Kak Yah selesai menaip tajuk entry untuk post kali ini.

"Kus semangat, takajuik awak dibuek e!"* Kak Yah melatah dalam loghat Minangkabau (maklumlah duduk kat kampung orang Minang; arwah mak lak orang negori - apo lai, jadilah camtu, hehe).
* Maksudnya: Pulih semangat, terperanjat saya dibuatnya!

"Hahaha," 

Abang ketawa sambil menuju ke luar. Nak ke kedailah tu, agaknya. Baguslah, boleh Kak Yah menaip dengan tenang tanpa sebarang gangguan, hehe..

Sebenarnya bukan nak tulis novel ke, cerpen ke ataupun skrip sinetron (macam Ketika Cinta Bertasbih tu). Kak Yah nak citer tentang bunga tasbih!

Korang tau tak kenapa bunga ni dipanggil bunga tasbih? Pasti tak tau, kan? (yang tau tu, buat-buatlah tak tau; baru boleh Kak Yah bagi tau, okay?). Cuba tengok gambar ni:

Canna Seeds
Biji dan Buah Bunga Tasbih

Ini biji bunga tasbih (yang bulat-bulat macam guli tu). Oleh kerana dia keras dan tahan lama maka boleh dilubangkan dan dijadikan rantai manik ataupun tasbih! Ha, itulah sebabnya! Kalau korang tau ada sebab lain, silalah bagi tau Kak Yah; boleh Kak Yah bagi tau kat saper-saper yang belum tau dan memang nak sangat tau, hehe.

Dalam bahasa Inggeris, bunga ini disebut Canna Lily dan tergolong dalam famili Cannaceae. Berasal dari Kepulauan Hindia Barat dan Amerika Selatan, bunga tasbih setakat yang diketahui mempunyai 19 spesis yang berbunga dan 7 spesis yang berdaun sahaja. Di bawah ini adalah beberapa contoh spesis-spesis tersebut:-

Bunga Tasbih
Canna Alberich 

Bunga Tasbih
Canna Auguste Ferrier 

Bunga Tasbih
Canna Coccinea

Bunga Tasbih
Canna Compacta 

Bunga Tasbih
Canna Discolor 

Bunga Tasbih
Canna Edulis 

Bunga tasbih
Canna Flaccida

Bunga tasbih
Canna Glauca

Bunga Tasbih
Canna Indica

Bunga Tasbih
Canna Iridiflora

Bunga Tasbih
Canna Jacobinifiora

Bunga Tasbih
Canna Jageriana

Bunga Tasbih
Canna Oberon

Jom Tanam Bunga
Buah Bunga Tasbih

Bunga Tasbih
Ini Pun Sejenis Canna / Tasbih (Canna Tuerckhemii)

Bunga Tasbih
Canna Yellow King

Bunga Tasbih
 Pink Canna 

Untuk membiak bunga tasbih, kita hanya perlu mencabut serumpun pokoknya (pokok bunga ini tumbuh berumpun-rumpun), kemudian pisah-pisahkan mengikut ubinya dan kita boleh terus tanam di tempat yang baru sama ada di dalam pasu atau di atas tanah. Seeloknya rendam dulu dua atau tiga hari di dalam air setakat paras di atas ubinya, selepas itu baru pindahkan. Bunga tasbih sukakan sinar matahari yang banyak dan tanah yang sangat lembap.

Bunga ini boleh dijadikan pokok pagar atau ditanam di dalam pasu ataupun ditanam rapat-rapat di suatu kawasan di atas tanah sebagai hamparan bunga (flower bed).

Bunga ini juga boleh ditanam sebagai tanaman air di dalam kolam. Tasbih tahan terhadap udara panas yang kadang-kadang sangat panas, tetapi tidak boleh hidup dalam cuaca yang sangat sejuk.

Bunga tasbih boleh digunakan sebagai penawar demam panas, tekanan darah tinggi, darah haid banyak, keputihan, sakit kuning, batuk darah, luka berdarah dan jerawat. Bahan-bahan penawar yang terkandung di dalam daun dan bunganya adalah seperti fenol, kumarin, glukos dan alkaloid.

Kegunaan lain termasuklah:-

  • ubinya boleh dijadikan kanji untuk makanan manusia dan haiwan,
  • batang dan daunnya dijadikan makanan haiwan,
  • bijinya dijadikan rantai manik, tasbih dan sebahagian daripada alat muzik Afrika, serta boleh menghasilkan pewarna ungu,
  • batangnya dijadikan tali jerami dan kertas,
  • daun keringnya jika dibakar dapat menghalau serangga,
  • dan banyak lagi (korang cari sendirilah guna Google ke, Yahoo ke, Bing ke; suka hati koranglah, hehe ..)

Yang dalam gambar kat bawah ni ialah pokok bunga tasbih atau canna lily yang Kak Yah sendiri tanam. Cantik, kan?

Canna Lily
Ini Bunga Tasbih Di Taman Mini Kak Yah

Bunga Tasbih
Canna Daun Belang Ni Pun Kak Yah Ada Tanam

"Assalamualaikum," cik abang beri salam di depan pintu.

Sekali lagi Kak Yah terperanjat (maklumlah ... lemah semangat).

"Waalaikumussalam, Saper kat luar tu masuklah ke dalam!" jawab Kak Yah.

Alamak, dia dah baliklah. Kena stop kat sini dululah nampaknya. Nanti kalau ada masa Kak Yah tulis lagi, okay? Bye, salam 1Malaysia dan assalamualaikum sumer ...



(Foto Spesis Canna: Wikipedia)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...