Memaparkan catatan dengan label Khasiat Bunga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Khasiat Bunga. Papar semua catatan

Bunga Ungu Terang

Orang Melayu menggelarkannya Bunga Telang manakala orang Thailand menamakannya sebagai anchan, orang India aparajita dan orang Cina dié dòu. Nama saintifiknya ialah Clitoria ternatea (kerana sifat kewanitaanya) manakala bahasa Inggerisnya butterfly pea atau blue pea atau cordofan pea.

Pokok bunga ini berasal dari kawasan tropika di benua Asia dan telah disebarkan ke benua-benua Amerika, Afrika dan Australia. Rupa bentuk pokok ini adalah seperti dalam gambar di bawah ini.

Clitoria ternatea
Pokok Bunga Telang
Bunga Telang Purple
Bunga Telang Biru Kuning


Bunga telang boleh hidup lebih daripada setahun dan merupakan sejenis tanaman herba yang menjalar. Biasanya berwarna ungu atau biru tua namun ada juga yang berwarna putih! (Pernah tengok tak yang warna putih ni?)


Bunga Telang Ungu Berlapis
 Clitoria ternatea
Bunga Telang Biru

Biasanya bunga ini ditanam untuk dua tujuan. Pertama sebagai tanaman hiasan; kedua sebagai tanaman pemulih tanah (akarnya boleh menguraikan tisu nitrat di dalam tanah menjadikan tanah lebih subur).

Pokok bunga ini dibiakkan melalui biji benih yang terdapat di dalam kekacangnya (lihat gambar di bawah). Ia memerlukan cahaya matahari yang banyak serta tanah yang lembab dan neutral.

 Clitoria ternatea legumes
Benih Bunga Telang

Di Asia Tenggara termasuklah Malaysia, bunga telang digunakan sebagai bahan pewarna dalam masakan. Contohnya, orang Kelantan mewarnakan nasi putih untuk dijadikan nasi kerabu. Di Thailand pula, bunga ini direbus dijadikan sirap biru atau nam dok anchan yang kadang-kadang dicampur dengan jus limau dan gula untuk menambah kelazatannya. Selain itu, warna ungu bunga ini juga digunakan di dalam pembuatan kuih muih yang contohnya seperti dalam gambar di bawah ini.

Lepat Bunga Telang
Kuih Lepat Bunga Telang
Blue Pea Tea
Boleh Dijadikan Minuman "Sirap Biru"

Di Negara China, bunga ini telah lama digunakan di dalam perubatan tradisional terutamanya untuk mengubat penyakit-penyakit kaum wanita seperti membetulkan peredaran haid, meningkatkan kesuburan rahim, merawat sakitpuan dan juga sebagai penambah nafsu syahwat.

Masyarakat India pula menggunakan bunga telang di dalam kaedah perubatan ayuverdic sebagai ubat penguat ingatan dan ubat penenang.


(Sumber: Wikipedia)

Bunga Untuk Menembak Musuh?

Bunga apa agaknya yang boleh digunakan untuk menembak sekumpulan musuh atau sebuah kapal laut di medan perang? Kak Yah rasa pasti ramai yang tak tahu, kan? Yang tahu tu tolong diam yer, hehe...

Di kalangan penggemar bunga, ia dikenali dengan nama Couroupita guianensis atau nama Melayunya Bunga Peluru Meriam! Boom!!

Beginilah Rupa Peluru Meriam Yang Sebenarnya!

Ha ... ada yang kata tak pernah dengar dan ramai jugak yang dah tahu tentang bunga ini. Apapun, untuk golongan yang belum pernah, kali ini Kak Yah nak cerita sikit tentang bunga ini.

Bunga Peluru Meriam berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Terdapat juga di Thailand dan India. Dipanggil Peluru Meriam kerana buahnya menyerupai peluru meriam!

Rupa bunga ini adalah seperti dalam gambar di bawah:

Bunga Peluru Meriam (Couroupita guianensis)

Kalau nak tengok contoh bunga ini yang hidup segar, sila ke Botanical Garden, Pulau Pinang. Kalau ada di rumah kawan-kawan korang, silalah tengok kat sana jer tak payah ke Pulau Pinang!

Pokoknya kalau dah matang boleh mencecah 35 meter tingginya. Jadi susahlah sikit kalau nak dijadikan hiasan di halaman rumah yang sempit... kecualilah kawasan rumah kita tu luas giler macam hutan simpan, hehe ..

Pokok Peluru Meriam

Sungguhpun macam tu, sebatang pokoknya boleh mengeluarkan lebih kurang seribu kuntum bunga dalam satu-satu masa. Banyak, tu! Bunganya pulak bukan main wangi terutama pada waktu malam... Hi hi hi .. Macam Harum Sundal Malam!

Pokok bunga ini jugak ada buah, tau. Buahnya warna coklat macam dalam gambar kat bawah ni. Boleh dimakan tapi kurang enak dan baunya pun agak busuk. Biasanya hanya haiwan sahaja yang memakannya. Sebatang pokok biasanya mengeluarkan kira-kira 150 biji buah pada musim dia berbuah.

Buah Peluru Meriam

Yang menariknya, kalau korang nak tau, buah-buahnya mengambil masa yang sangat lama untuk masak: yang paling lama adalah setahun setengah! Dalam setiap buah tu pulak ada antara 65 hingga 550 biji di dalamnya bergantung pada saiz buah tersebut. Melalui biji-biji inilah pokok bunga ini membiak.

Daun Pokok Peluru Meriam

Dari segi perubatan, ekstrak daripada beberapa bahagian pokok ini boleh dijadikan penawar kepada penyakit-penyakit seperti selsema, sakit perut, darah tinggi, ketumbuhan dan pelbagai jenis penyakit yang lain.


Bunga Kasut?

Pernah dengar "bunga kasut"? Tak pernah. Bunga sepatu? Ohhh bunga tu .. Ada orang panggil bunga kesumba keling kan? Betul tu .. "Sepatu" tu kan ke "kasut"! (Tak caya, bukak kamus .. hehe).

Bunga kesumba dikenali juga sebagai bunga sepatu dan bunga gincu. Nama saintifiknya ialah Bixa orellana dan berasal dari benua Amerika. Selepas diperkenalkan oleh orang-orang Sepanyol, bunga ini sudah banyak ditanam di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Sepatu
Bunga Kesumba

Pokok bunga ini menghasilkan buah yang mengandungi bahan pewarna yang digunakan sebagai pewarna makanan dan pewarna rambut.

Kesumba
Bunga Sepatu / Gincu

Daunnya pula boleh dijadikan penawar kepada demam, kembung dan kurang selera makan. Boleh juga digunakan sebagai ubat wanita lepas bersalin.


Seeds
Biji Benih Kesumba


Kalau ada sesiapa yang berminat nak tanam pokok bunga ni, sila ambil perhatian bahawa pokok kesumba ini boleh tumbuh setinggi 20 ke 30 kaki (lebih kurang 6 ke 9 meter)dan lebarnya dari 10 ke 15 kaki (besar dan tinggi giler tu!).

Pokok kesumba ini boleh ditanam melalui biji benih atau keratan batang. Tanahnya mesti subur (banyak baja) dan banyak cahaya matahari. Siram selalu semasa baru tumbuh dan beransur kurang apabila semakin membesar. Buang daun dan bunga yang mati supaya pokoknya lebih subur.




Hantu Kecubung?

Hantu jerangkung?
Bukan...

Hantu kum-kum?
Bukan!

Ha, hantu kecubung?
Bukan! Bukan! Bukan! Masyaallah..... ni  pokok terung kecubung namanya!

Gurau ajelah Kak Yah ... Manalah Ita tau pokok apa tu... Janganlah marah...

Taklah marah.. tapi bila Kak Yah tunjuk tu tengoklah.

(Dah memang budak sekarang ni macam tu.... Nampak macam minat sangat dengan tumbuh-tumbuhan. Siapa lagi kalau bukan Si Ita yang baru grad tulah.... UPM Serdang katanya.... Bukan Rozita Che' Wan tu.. hehe .. Suka sangat mengusik Kak Yah).


Ha, Ita! Ni Kak Yah nak citer sikit tentang terung kecubung ni. Bukannya hantu atau selain daripadanya. Jangan takut. Pokok terung kecubung ni bunganya warna ungu, berbentuk macam trompet dan tinggi pokok ni kadangkala boleh mencecah 5 kaki. Keseluruhan batang pokok ni berwarna ungu.

Ada buah ke Kak Yah?

Buahnya pun berwarna ungu tapi tak berduri macam yang berwarna kuning dan bila biji ni cukup masak, ia akan pecah.   Terung kecubung ni membiak melalui biji benih. Cara menanamnya sangat mudah sekali. Taburkan saja biji-biji benih tu sama ada dalam polibag atau terus saja ke tanah. Kadang-kadang dalam masa 2 minggu dah tumbuh. Kadang-kadang lambat sikit bergantung pada keadaan tanah. Cuaca tak kisah.... Jangan banjir dah....apa pun takkan hidup. Dah faham ke Cik Ita kita ni?  Hmhmhm.....kira fahamlah tu....


Kecubung Ungu
Buah, Biji & Bunga Kecubung Ungu

Kalau yang ni pulak, terung kecubung berbunga kuning. Pokok terung ni, ramai yang beli dengan Kak Yah.  Biasanya nak buat ubat. Ada yang beli bunga dan  daunnya saja  untuk penawar resdung.

Kyah pernah cuba ke? ( Ita ni ada resdung gak ni macam nak cuba jer ni, hihihi....)

Kenapa ketawa lak?  (Eh! Macam tau jer kita scan dia). 

Tak ada apa-apa.... Kalau Ita nak cuba, Kak Yah tak melarang. Tapi kena cari info yang tepat. Kalau tak nanti hilang hidung.. hihihi...

Kenapa pulak, beracun ke?

Itulah pasal.... dari akar sampai ke pucuknya, semuanya beracun! Kalau silap guna, boleh jadi arwah.

Ye ke Kak Yah?

Ye Ita ... tak caya cer Ita google kat internet. Sebab itulah kena tahu cara nak proses daunnya ke, bunganye ke, buahnye ke...

Haik! Buahnya pun?

Kalau nak tahu, buahnya jugak boleh dibuat ubat bagi budak-kanak lelaki yang terkena angin pasang-pasang. Ini pelanggan Kak Yah yang bagi tau. Tapi buah yang ni berduri tau. Hati-hati kalau nak koyakkan kulitnya. Sebab, walaupun dah masak, bijinya  tak pecah macam biji warna ungu tu tadi. Yang ni liat sikit kulitnya.  Biasanya Kak Yah jemur dulu... Dah lah tu Ita . Kyah dah penatlah... Lusa datanglah lagi....

Ingatkan datang besok.

Besok tak boleh, Kak Yah nak pergi pos opis nak poskan benih-benih bunga yang dah dipesan customer ni....Jangan marah yo! Biasalah, business woman....hahaha.....

Kyah! ( Menjerit pulak budak ni. Ingat aku pekak ke? Hehe..).

Yo! Nak apo lai?

Torong kocubong bungo merah ado tak? Kalau ado Ita nak!


Haik! Mana pulak nak cari terung kecubung bunga warna merah ni! Masalah betul budak ni...

Maklumlah orang baru keluar universitilah Kak Yah...hihihi...bye!...
Hehehehe...yo lah tu...bye!


Kecubung Kuning
Buah, Bunga & Biji Kecubung Kuning


Info Tambahan (Dipetik dari Wikipedia): 

Kecubung adalah tumbuhan penghasil bahan ubat-ubatan yang telah dikenal sejak ribuan tahun. Sebagai ahli keluarga Solanaceae , tumbuhan ini masih sekerabat dengan Datura , tumbuhan hiasan dengan bunga berbentuk trompet yang besar. Kecubung biasanya berbunga putih atau ungu, namun hibridnya berbunga aneka warna. Dianggarkan tanaman ini pertama kali digunakan sebagai ubat-ubat pada abad kesepuluh. Kecubung ada yang berasal dari Asia Tenggara, namun ada juga yang berasal dari Benua Amerika .

Kecubung tumbuh di tempat yang beriklim panas dan banyak ditanam di seluruh dunia kerana khasiat yang terkandung di dalamnya dan juga untuk tanaman hiasan. Pertama kali diperkenalkan oleh Linnaeus pada tahun 1753, secara botani masih belum tepat gambaran dan penjelasan tentang kecubung. Wilayah asal yang menjadi sumber tanaman ini juga masih tidak dapat diketahui secara pasti. Bahagian-bahagian kecubung, terutama bijinya, mengandungi alkaloid yang memberi kesan halusinogen (mengkhayalkan) .


Ketika Bunga Bertasbih

"Hai, nak tulis novel ke cerpen tu?"

Kedengaran cik abang bersuara sebaik saja Kak Yah selesai menaip tajuk entry untuk post kali ini.

"Kus semangat, takajuik awak dibuek e!"* Kak Yah melatah dalam loghat Minangkabau (maklumlah duduk kat kampung orang Minang; arwah mak lak orang negori - apo lai, jadilah camtu, hehe).
* Maksudnya: Pulih semangat, terperanjat saya dibuatnya!

"Hahaha," 

Abang ketawa sambil menuju ke luar. Nak ke kedailah tu, agaknya. Baguslah, boleh Kak Yah menaip dengan tenang tanpa sebarang gangguan, hehe..

Sebenarnya bukan nak tulis novel ke, cerpen ke ataupun skrip sinetron (macam Ketika Cinta Bertasbih tu). Kak Yah nak citer tentang bunga tasbih!

Korang tau tak kenapa bunga ni dipanggil bunga tasbih? Pasti tak tau, kan? (yang tau tu, buat-buatlah tak tau; baru boleh Kak Yah bagi tau, okay?). Cuba tengok gambar ni:

Canna Seeds
Biji dan Buah Bunga Tasbih

Ini biji bunga tasbih (yang bulat-bulat macam guli tu). Oleh kerana dia keras dan tahan lama maka boleh dilubangkan dan dijadikan rantai manik ataupun tasbih! Ha, itulah sebabnya! Kalau korang tau ada sebab lain, silalah bagi tau Kak Yah; boleh Kak Yah bagi tau kat saper-saper yang belum tau dan memang nak sangat tau, hehe.

Dalam bahasa Inggeris, bunga ini disebut Canna Lily dan tergolong dalam famili Cannaceae. Berasal dari Kepulauan Hindia Barat dan Amerika Selatan, bunga tasbih setakat yang diketahui mempunyai 19 spesis yang berbunga dan 7 spesis yang berdaun sahaja. Di bawah ini adalah beberapa contoh spesis-spesis tersebut:-

Bunga Tasbih
Canna Alberich 

Bunga Tasbih
Canna Auguste Ferrier 

Bunga Tasbih
Canna Coccinea

Bunga Tasbih
Canna Compacta 

Bunga Tasbih
Canna Discolor 

Bunga Tasbih
Canna Edulis 

Bunga tasbih
Canna Flaccida

Bunga tasbih
Canna Glauca

Bunga Tasbih
Canna Indica

Bunga Tasbih
Canna Iridiflora

Bunga Tasbih
Canna Jacobinifiora

Bunga Tasbih
Canna Jageriana

Bunga Tasbih
Canna Oberon

Jom Tanam Bunga
Buah Bunga Tasbih

Bunga Tasbih
Ini Pun Sejenis Canna / Tasbih (Canna Tuerckhemii)

Bunga Tasbih
Canna Yellow King

Bunga Tasbih
 Pink Canna 

Untuk membiak bunga tasbih, kita hanya perlu mencabut serumpun pokoknya (pokok bunga ini tumbuh berumpun-rumpun), kemudian pisah-pisahkan mengikut ubinya dan kita boleh terus tanam di tempat yang baru sama ada di dalam pasu atau di atas tanah. Seeloknya rendam dulu dua atau tiga hari di dalam air setakat paras di atas ubinya, selepas itu baru pindahkan. Bunga tasbih sukakan sinar matahari yang banyak dan tanah yang sangat lembap.

Bunga ini boleh dijadikan pokok pagar atau ditanam di dalam pasu ataupun ditanam rapat-rapat di suatu kawasan di atas tanah sebagai hamparan bunga (flower bed).

Bunga ini juga boleh ditanam sebagai tanaman air di dalam kolam. Tasbih tahan terhadap udara panas yang kadang-kadang sangat panas, tetapi tidak boleh hidup dalam cuaca yang sangat sejuk.

Bunga tasbih boleh digunakan sebagai penawar demam panas, tekanan darah tinggi, darah haid banyak, keputihan, sakit kuning, batuk darah, luka berdarah dan jerawat. Bahan-bahan penawar yang terkandung di dalam daun dan bunganya adalah seperti fenol, kumarin, glukos dan alkaloid.

Kegunaan lain termasuklah:-

  • ubinya boleh dijadikan kanji untuk makanan manusia dan haiwan,
  • batang dan daunnya dijadikan makanan haiwan,
  • bijinya dijadikan rantai manik, tasbih dan sebahagian daripada alat muzik Afrika, serta boleh menghasilkan pewarna ungu,
  • batangnya dijadikan tali jerami dan kertas,
  • daun keringnya jika dibakar dapat menghalau serangga,
  • dan banyak lagi (korang cari sendirilah guna Google ke, Yahoo ke, Bing ke; suka hati koranglah, hehe ..)

Yang dalam gambar kat bawah ni ialah pokok bunga tasbih atau canna lily yang Kak Yah sendiri tanam. Cantik, kan?

Canna Lily
Ini Bunga Tasbih Di Taman Mini Kak Yah

Bunga Tasbih
Canna Daun Belang Ni Pun Kak Yah Ada Tanam

"Assalamualaikum," cik abang beri salam di depan pintu.

Sekali lagi Kak Yah terperanjat (maklumlah ... lemah semangat).

"Waalaikumussalam, Saper kat luar tu masuklah ke dalam!" jawab Kak Yah.

Alamak, dia dah baliklah. Kena stop kat sini dululah nampaknya. Nanti kalau ada masa Kak Yah tulis lagi, okay? Bye, salam 1Malaysia dan assalamualaikum sumer ...



(Foto Spesis Canna: Wikipedia)


Bunga Balung Ayam


"Wow, merahnya!"

"Berkilat macam baldu!"

"Cantik kan, bang?"

"Haah. Cantik betul!"

Itulah petikan dialog di antara Kak Yah dengan cik abang semasa kami menjenguk taman bunga kami pagi semalam dan terpandangkan bunga balung ayam yang Kak Yah tanam. Lihatlah gambarnya di bawah ini.

Inilah Bunga Balung Ayam Tu. Cantik, Kan?
http://jomtanambunga.blogspot.com
Dengan Pokoknya Sekali

Jadi, kali ini elok rasanya kalau Kak Yah citerkan sikit tentang bunga balung ayam ini untuk sesiapa yang belum kenal bunga ini.

Bunga balung ayam mendapat namanya daripada bentuknya yang menyerupai balung ayam jantan (macam dalam gambar di bawah). Bunga yang nama saintifiknya Celosia ini tergolong di dalam keluarga Amaranthaceae dan spesis yang banyak ditanam di kawasan Asia  adalah berasal dari England.

Balung Ayam Jantan (Yang Bewarna Merah Tu)

Perkataan "celosia" pula berasal daripada perkataan Greek "kelos" yang bererti "terbakar" (mungkin disebabkan warna bunganya itu kelihatan seperti api yang sedang membakar). Dalam bahasa Inggeris ia dipanggil "cockscombs" dan "woolflowers".

Spesis bunga balung ayam ada lebih kurang 60 tetapi yang popular ialah Celosia argentea, Celosia cristata  dan Celosia spicata. Spesis yang biasa dijadikan tanaman hiasan adalah Celosia cristata dan ia banyak ditanam di negara China.

Bunga yang tidak wangi ini boleh didapati dalam pelbagai warna yang cerah-cerah seperti merah, kuning, merah jambu dan warna emas. Pokok balung ayam boleh berbunga selama 8 hingga 10 minggu.

Celosia cristata (Foto Wikipedia)
Celosia spicata (Foto Wikipedia)
Celosia argentea (Foto Wikipedia)

Di Indonesia dan India, daun pokok balung ayam ini dimakan sebagai sejenis sayur-sayuran. Rasanya seakan-akan rasa sayur bayam.

Cara Menanam

Balung ayam dibiakkan melalui biji benih yang disemai di kawasan teduh dan dipindahkan setelah tumbuh menjadi anak pokok. Tanam pada jarak 8 hingga 12 inci antara satu sama lain di atas tanah yang tidak bertakung air dan mendapat cahaya matahari yang banyak. Tanah yang sesuai baginya ialah tanah yang terdiri daripada campuran lumpur, tanah liat, sedikit pasir dan bahan-bahan organik seperti tahi ayam.

Walaupun pokok bunga ini tahan panas namun jika terdedah lama kepada cahaya matahari yang terik boleh menyebabkan bunganya menjadi layu.

Jangan basahkan bunganya untuk mengelak dari dijangkiti kulat (fungi).

Bubuh baja kepada tanahnya kira-kira 3 atau 4 minggu sekali. Sekiranya dijaga dengan baik, pokok ini boleh tumbuh sehingga 4 kaki tingginya.

Pokok bunga ini tidak berapa digemari serangga-serangga perosak. Walau bagaimanapun, jika diserang juga, gunakan racun serangga.

Khasiat Perubatan

Balung ayam digunakan sebagai penawar jangkitan cacing (terutama sekali cacing pita), sakit mulut dan sakit mata. Bijinya boleh mengubat sakit dada manakala bunganya adalah penawar cirit-birit. Daunnya pula boleh digunakan untuk merawat kudis dan bisul.




Bunga Tahi Ayam - Marigold ke Lantana Camara?

Ramai yang tanya Kak Yah soalan ini. Mungkin diorang keliru sebab ada orang kata, marigold tu bunga tahi ayam. Orang lain pulak kata, lantana camara tu yang dipanggil bunga tahi ayam. Jadi yang mana satu yang betul ni?

Marigold Oren
Sesuai Ditanam Di Kawasan Yang Panas
Pokok Marigold Kuning
Biarkan Bijinya Kering Baru Boleh Petik
Lantana Camara Kuning Oren
Lantana Camara Pelbagai Warna

Sebenarnya, kalau ikut pengalaman Kak Yah yang taklah banyak sangat ni, kedua-dua pendapat tu betul. Marigold pun bunga tahi ayam; lantana camara pun bunga tahi ayam. Tapi Kak Yah sendiri bagi nama pulak, marigold tu "bunga tahi ayam biasa" manakala lantana camara pulak "bunga tahi ayam busuk" sebab baunya yang busuk sangat tu, hihihi...

Tak kisahlah tu yang penting kita tau macam mana nak tanam dan jaga dia supaya tumbuh dengan subur dan mengeluarkan bunga-bunga yang cantik dalam pelbagai warna.

Kita citer tentang bunga tahi ayam biasa dulu. Lain kali kita citer pulak tentang yang busuk tu, okay?

Baiklah. Marigold yang didapati di negara kita ni berasal dari Mexico dan Guatemala. Sebenarnya bunga ni ada banyak jenis (contohnya macam yang dalam gambar-gambar kat bawah) tetapi yang popular dijadikan sebagai tanaman hiasan ialah Tagetes erecta (African Marigold ) dan Tagetes patula (Dwarf French Marigold). 


Tagetes Petula (French Marigold) - Wikipedia
Tagetes Tenuifoli (Marigold) - Wikipedia
Tagetes Erecta (Marigold) - Wikipedia
Tagetes Minuta (Marigold) - Wikipedia

Oh ya. Kalau korang nak tau, perkataan marigold itu sebenarnya berasal dari Mary's Gold atau Emas Mary.

Dari segi ilmu tanam-tanaman, marigold tergolong dalam keluarga Compositae dan ia
adalah tanaman semusim. Pokoknya boleh tumbuh hingga setinggi antara 25 - 60 cm. Bunganya pula terdapat dalam pelbagai warna seperti kuning keemasan, jingga, merah hati, merah dengan jalur warna kuning keemasan di tepi bunga dan Iain-Iain jenis campuran warna. Bunga-bunga itu boleh tahan sehingga satu bulan selepas mula berbunga. Baunya agak kuat menyebabkannya tidak disukai serangga dan cacing (nematode).

Pokok marigold memerlukan suhu antara 20-25°C, cahaya matahari yang penuh dan disiram selalu tetapi pastikan air tidak bertakung. Ia sesuai ditanam di kawasan tanah yang gembur dan lembap serta mengandungi baja yang mencukupi. Pokok bunga ini dibiakkan melalui biji benih dan akan berbunga kira-kira sebulan setengah selepas bercambah.

Cara menanamnya amat mudah. Taburkan saja biji benih ke atas tanah (atau pasu berisi tanah) dan timbus dengan selapis tanah setebal kira-kira 1/4 inci. Pastikan tanahnya lembap dan agak panas. Biji benih itu akan bercambah selepas beberapa hari. Bila dah tumbuh daun, alihkan ke dalam pasu atau polybag kecil (lebih kurang 3 inci luas mulutnya) dan letakkan di tempat teduh selama beberapa hari sehingga anak pokoknya telah eloh tumbuhnya. Lepas itu, bolehlah ditanam terus ke atas tanah atau ke dalam pasu. Pastikan ia mendapat cahaya matahari yang banyak supaya bunganya banyak dan cantik.

Bunga marigold boleh digunakan sebagai ubat dalam rawatan penyakit kulit dan sebagai ramuan dalam pembuatan minyak wangi (attar). Warna kuning bunga ini juga boleh digunakan sebagai pewarna makanan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...