Memaparkan catatan dengan label Benih Bunga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Benih Bunga. Papar semua catatan

Butang Orang Bujang

Butang Orang Bujang? Mesti nama bunga tu, kan Kak Yah?

Betul tu. Itulah nama yang diberi kepada sejenis bunga yang kita di Malaysia ni kenalinya sebagai bunga butang atau Vadamalli dalam bahasa Tamil dan Sennichikou dalam bahasa Jepun (bahasa-bahasa lain Kak Yah tak tau, hehe..).

Bunga Butang Ungu
Bunga Butang Ungu (Gambar Wikipedia)

Selain Bachelor's Button (Butang Orang Bujang), bunga ini dikenali juga dengan nama Globe Amaranth. Nama saintifiknya ialah Gomphrena globosa dan negara asalnya ialah Brazil, Guatemala dan Panama.

Ada sejenis bunga lain yang juga dipanggil Bachelor's Button iaitu Cornflower atau nama saintifiknya Centaurea cyanus. (InsyaAllah dalam post yang lain Kak Yah akan citer tentang bunga ni pulak).

Cornflower
Cornflower (Gambar Wikipedia)

Walaupun bunga ini biasanya berwarna ungu namun ada juga yang berwarna merah, putih dan pink iaitu daripada jenis kacukan. Pokoknya pula boleh tumbuh sehingga hampir 1 meter tingginya.

Pokok bunga butang sesuai ditanam di kawasan yang mendapat banyak cahaya matahari dan tidak memerlukan banyak air (cukup sekadar menyiramnya dengan sedikit air setiap hari).

Cara pembiakannya adalah melalui biji benih. Rendam dulu biji benih itu selama 1 atau 2 hari sebelum disemai. Anak pokoknya akan tumbuh dalam masa 1 atau 2 minggu. Selepas itu bolehlah dipindahkan ke adalam pasu atau ditanam terus ke atas tanah. Boleh dijadikan pokok pagar yang cantik dengan menanamnya rapat-rapat dalam satu barisan ataupun dijadikan hamparan bunga dengan mengumpulkannya dalam suatu kawasan.

Di Nepal, bunga butang digunakan sebagai kalungan bunga dan dipakai di leher untuk mendapat perlindungan daripada bahaya. Bunga ini dipilih kerana sifatnya yang boleh mengekalkan bentuk dan warnanya dalam tempoh yang agak panjang.

Dari segi khasiat perubatan pula, bunga ini boleh direbus dan diminum untuk menyembuhkan batuk dan kencing manis. Selain itu, bunga yang dihancurkan boleh disapu pada luka dan bengkak untuk menyembuhkannya.

Kak Yah sendiri ada menanam beberapa batang pokok bunga butang ni. Salah satu daripadanya ialah yang dalam gambar di bawah ni:

Bunga Butang
Bunga Butang Yang Kak Yah Tanam

Benih Bunga Butang
Biji Benih Bunga Butang 





Pokok Lidah Mak Mentua

Pasti ramai yang tak tahu macam mana rupa pokok Lidah Mak Mentua ni, kan? Kalau pokok ular, tahu tak? Mungkin ada yang tahu dan mungkin juga tidak. Nama saintifiknya "sansevieria". Ha, dah ada yang kata kalau pokok tu saya taulah! Ya, itulah pokok yang kita kenal sebagai lidah jin.

Kali ni Kak Yah nak tulis sikit tentang lidah jin ni sebab ramai kawan-kawan kat fb, twitter dan kat luar sana yang tanya kenapa asyik tulis tentang pokok bunga jer, tulislah juga tentang tanaman hiasan yang lain macam pokok keladi ke, pokok lidah buaya ke, clathea ke dan macam-macam lagi yang "sewaktu" denganya. Maka kali ni silalah baca tentang lidah jin ...

Di negara Barat selain dikenali dengan nama Lidah Mak Mentua (Mother-In-Law's Tongue) dan Pokok Ular (Snake Plant), tumbuhan ini juga dipanggil Lidah Syaitan/Hantu (Devil's Tongue) dan "bow string hemp".

Pokok lidah jin ini berasal dari benua Afrika dan ada banyak spesis iaitu lebih daripada 70 jenis. Antaranya ialah Sansevieria cylindrica, Sansevieria ehrenbergii, Sansevieria eilensis, Sansevieria kirkii, Sansevieria pinguicula, Sansevieria trifasciata dan Sansevieria stuckyi. Spesis yang paling digemari ramai sebagai tanaman hiasan ialah spesis Sansevieria trifasciata. Untuk mengenali bagaimana rupa bentuk spesis-spesis ini, sila lihat gambar-gambar di bawah ini.


Sansevieria
Sansevieria cylindrica

Sansevieria
Sansevieria pinguicula

Sansevieria
Sansevieria eilensis

Sansevieria
Sansevieria kirkii

Sansevieria
Sansevieria stuckyi

Sansevieria
Sansevieria trifasciata (Snake Plant / Mother-In-Law's Tongue)

Tanaman ini sesuai dijadikan tanaman pagaran atau ditanam berasingan serta boleh juga ditanam di dalam pasu cantik dan diletakkan di dalam rumah (pastikan kedudukannya hampir dengan pintu atau tingkap untuk mendapatkan cahaya matahari).

Pokok lidah jin lebih subur jika ditanam di kawasan yang redup tetapi mendapat cahaya terang yang banyak. Tanahnya pula hendaklah tidak menakung air seperti tanah yang bercampur pasir atau batu-batu kecil. Tidak perlu menyiramnya selalu kerana akarnya akan reput jika berlebihan air. Pokok ini boleh hidup bertahun-tahun lamanya.

Pembiakannya juga sangat mudah iaitu melalui keratan daunnya. Cuma cucukkan sahaja bahagian bawah keratan daun itu ke tanah. Atau boleh juga dilakukan dengan memisah-misahkan daun-daun dari rumpun pokok asalnya kepada kumpulan-kumpulan kecil dan menanam semula di tempat atau pasu-pasu yang lain.

Sebagai tanaman hiasan, untuk kelihatan lebih cantik, daunnya hendaklah disembur dengan air dan dilap supaya bersih dan berkilat.

Dari segi perubatan tradisional pula, daun lidah jin boleh digunakan sebagai pembalut luka.

Sansevieria
Pokok Lidah Jin Yang Kak Yah Tanam

Ros Jepun Si Bunga Comel


Sudah agak lama Kak Yah tak update blog kesayangan Kak Yah ni. Bukan sebab tak sempat tapi tak ingat! Terlampau sibuk jadi "pak sibuk" (eh, mak sibuk kot, hehe) membantu calon-calon pilihanraya tempat Kak Yah tinggal ni berkempen. Maklumlah baru first time dapat peluang. Musim pilihanraya yang lepas-lepas dulu tak dapat nak involve sebab sibuk dengan komitmen terhadap keluarga. Sekarang ni sumer anak-anak dah besau-besau belaka maka adalah sikit kelapangan untuk melakukan aktiviti "berpolitik" lak, hehe...

Nasib baiklah calon-calon yang Kak Yah sokong tu sumernya menang bertanding. Taklah sia-sia Kak Yah "turun padang" sampai terabai buat seketika pokok-pokok bunga kesayangan Kak Yah tu...

Apa pun sebenarnya bukanlah citer politik yang Kak Yah nak tulis kali ni tapi tetaplah citer bunga!

Kali ni Kak Yah nak bagi sikit info tentang salah satu bunga favourite yang ada di taman mini Kak Yah, iaitu bunga Ros Jepun yang comel-comel tu. Kenapa Kak Yah suka bunga ni? Sebab selain daripada cantik dan comel, bunga ni sangat senang dijaga dan sangat kerap berbunga.

Ros Jepun Ungu Yang Kak Yah Tanam - Comel, Kan?

Untuk pengetahuan korang ( itupun kalau belum tahu atau memang nak tahu sangat, hehe) bunga ros Jepun ini tergolong dalam keluarga Portulacaceae (macam mana nak menyebutnya, terpulanglah pada korang sumer, hehe) dan "tanah tumpah darahnya" ialah negara-negara di Amerika Selatan seperti Argentina, Brazil dan Uruguay.

Selain dipanggil ros Jepun (nama saintifiknya: portulaca grandiflora), bunga ini juga dikenali sebagai bunga kembang petang, bunga pukul sepuluh dan bunga gelang di Malaysia. Kalau kat tempat lain pulak, bunga ni dipanggil moss rose, time flower dan ten-o'clock flower.

Ros Jepun Ungu (Foto Wikipedia)

Ros Jepun boleh didapati dalam pelbagai warna iaitu merah jambu, merah terang, putih kuning, ungu dan oren. Ada juga yang mempunyai dua warna pada satu bunga iaitu merah jambu dan putih.

Pokok bunga ini senang membiak melalui akarnya yang menjalar dan boleh juga dibiakkan melalui keratan batang. Cucuk jer ke tanah, pasti hidup! Boleh juga dibiakkan melalui biji benih.

Ros Jepun suka kepada cahaya matahari yang banyak. Pokoknya akan mengeluarkan bunga yang banyak sekiranya mendapat cahaya yang mencukupi. Oleh itu, dedahkanlah dia pada cahaya matahari kat luar rumah tu; jangan diletak di tempat teduh atau di dalam rumah.

Ros Jepun Pelbagai Warna (Foto Wikipedia)

Kalau nak tengok bunga ni kembang penuh, tunggulah di antara pukul 10 hingga 11 pagi. Cantik dan comel sungguh dia masa tu! Lepas pada waktu tu, ros Jepun akan mulai layu dan akan kembang semula pada keesokan harinya pulak. Jadi, kalau nak ambil gambar tu, kenalah pada waktu yang disebutkan tadi. Kalau tak, melepaslah jawabnya, hehe..

Pokok bunga ros Jepun ini sesuai ditanam di atas tanah sebagai pelitup bumi (apa? tak paham perkataan "pelitup"? Maksudnya "penutup" atau peng"cover" atau apa-apa sajalah yang korang paham, hehe). Selain itu, boleh juga digantung dalam pasu atau letakkan saja pasu tu kat atas tanah. Tapi korang kena ingat, batangnya mudah menjalar dan bahagian yang menyentuh tanah akan ditumbuhi akar! Jadi, pandai-pandailah korang menjaganya: nak dicantas selalu ke atau nak ditupang (ditongkat) atau nak dibiarkan dia menjalar sesuka hatinya.

Ros Jepun Kuning (Foto Wikipedia)

Tanah yang sesuai bagi tanaman ini adalah tanah yang tidak menakung air contohnya campuran tanah peroi, tanah gambut (boleh diganti dengan baja organik) dan pasir sungai. Akarnya akan reput jika tanahnya menakung air.

Walau bagaimanapun, pokoknya perlu disiram setiap hari sebanyak dua kali sahaja iaitu sekali pagi dan sekali petang. kalau asyik hujan jer, tak payahlah disiram!

Selain itu, selalu-selalulah cantas pucuknya untuk menggalakkan pertumbuhan ranting dan bunga. Tentang baja pulak, kalau nak juga dibaja gunalah baja cecair kerana baja biji boleh mencederakan batang pokok.

Ros Jepun Putih Yang Kak Yah Tanam - Cantik, Kan?

Khasiat perubatan: daunnya boleh digunakan bagi merawat luka-luka kecil. Caranya: hancurkan daunnya dan tampalkan pada luka tu. Beres! Buatlah beberapa kali hingga sembuh.

Apa lagi yang Kak Yah nak citer tentang bunga ni? Rasanya setakat inilah dulu. Kalau korang ada soalan bolehlah taipkan di ruangan ulasan blog ini. Mana-mana yang boleh Kak Yah jawab, insyaallah Kak Yah akan jawab, ok?


Bunga Hebe, hehehe..


Semenjak Kak Yah tempekkan gambar bunga Hebe kat sudut "Bunga Hari Ini" blog ini, ramailah yang bertanya "bunga apa tu Kak Yah?". Macam mana Kak Yah nak jawab. Dah ditulis kat bawah gambar tu "Bunga Hebe", diorang tanya lagi bunga apa... hai pening-pening dibuatnya. Korang yang tersengih-sengih tu tau ke jawapannya? Tentu korang akan jawab: bunga Hebelah! kan? Mula-mula Kak Yah pun nak jawab camtu gak tapi bila dipikir-pikir balik, takkanlah itu yang dimaksudkan oleh si penanya tu, kan? Hehehe...

Inilah Bunga Hebe Kak Yah - Cantik, Kan?

Maka sebagai seorang pencinta bunga yang suka tanam bunga (eh, bunga boleh tanam ke? Kalau tanam sekuntum bunga, apa pulak yang akan tumbuh nanti, ye?), bela bunga, beli bunga, tengok bunga, baca tentang bunga dan macam-macam lagilah yang berkaitan dengan bunga, kenalah Kak Yah jawab dengan seprofesional yang boleh! (Ada ke perkataan "seprofesional"? Kalau takder pun kira adalah ...  Hehehe).

Maka inilah jawapannya ...

Bunga hebe (sebutannya: hibi - macam penyakit tibi) ini banyak didapati di New Zealand, Amerika Selatan, Kepulauan Falkland dan Kepulauan Polynesia. Terdapat lebih daripada 90 spesis bunga ini yang sebahagian besarnya tumbuh di New Zealand.

Nama Hebe itu pula berasal daripada nama dewa remaja Greek. Hebe juga dikenali sebagai veronica di sesetengah tempat. Beberapa jenis bunga ini adalah seperti dalam gambar-gambar di bawah ini.

Hebe waireka (Foto Wikipedia)

Pokok bunga ini berbeza-beza ketinggiannya: dari serendah pokok renek hinggalah mencapai 7 meter (lebih kurang 22 kaki - tinggi tu!). Saiz daunnya pula mengikut kawasan di mana pokoknya ditanam. Biasanya, di kawasan pantai daunnya lebar-lebar manakala semakin jauh dan tinggi dari aras laut semakin kecil daunnya. Pokok yang tumbuh merimbun ini sangat sesuai dijadikan pokok pagar.

Hebe franciscana (Foto Wikipedia)

Pokok hebe dibiakkan melalui dua cara iaitu biji benih dan keratan batang. Ia sesuai ditanam hampir-hampir di semua jenis tanah dan memerlukan cahaya matahari yang banyak. Untuk mencantikkan rimbunannya, pokok ini mestilah dicantas dari semasa ke semasa, Selain daripada itu ia tidak memerlukan penjagaan yang rapi.

Hebe diosmifolia (Foto Wikipedia)

Kebanyakan spesis yang ditanam sekarang ini adalah dari jenis yang sudah dikacukkan. Jarang sekali kita boleh temui spesis liar atau spesis asal tumbuhan ini. Bunga ini amat disukai rama-rama.

Hebe albicans (Foto Wikipedia)

Kak Yah harap si penanya dah berpuas hati dengan jawapan Kak Yah. Kalau tak puas lagi, tanya-tanyalah pulak kat diorang-diorang yang pakar bunga.



Buat masa ni cuma spesis yang ni jer yang ada ...

Ixora - Bunga Bermacam Nama


Sebut saja Ixora mungkin ramai yang kurang mengenalinya. Tapi cuba sebut jarum-jarum atau jejarum/jenjarum pasti ramai yang tahu benar akan bunganya. Sebenarnya, selain jejarum/jenjarum, pokok bunga ini juga dikenali dengan bermacam-macam nama lain termasuk tabung jarum, pecah periuk, siantan, rangan, kheme, ponna, chann tanea, techi, pan, Jungle Flame, West Indian Jasmine dan Jungle Geranium.

Pokok bunga Ixora tergolong dalam kumpulan Rubiaceae dan merupakan tumbuhan renek yang berbunga sepanjang tahun di kawasan tropika dan subtropika seperti di Asia Tenggara dan India.

Perkataan "ixora" itu pula berasal daripada nama dewa Hindu. Maka tidak hairanlah jika bunga ini banyak digunakan di dalam upacara keagamaan penganut Hindu.

Spesisnya amat banyak sehingga mencecah 500 jenis. Antaranya ialah seperti dalam gambar di bawah ni ...

Ixora Pavetta (Foto: Wikipedia)

Ixora Brachiata (Foto: Wikipedia)

Ixora Chinensis (Foto: Wikipedia)

Ixora Maui Sunset (Foto: Wikipedia)

Ixora Coccinea (Foto: Wikipedia)


Spesis yang popular di Malaysia ialah Ixora coccinea yang berasal dari negara India dan Sri Lanka.

Panduan Menanam & Menjaga Ixora

1. Ixora dibiakkan melalui anak pokok. Tanam anak pokok itu di kawasan yang mendapat banyak cahaya matahari. Jika kekurangan cahaya, bunga yang terhasil akan jadi kurang cantik warnanya dan tidak tahan lama.

2. Ixora sukakan tanah yang berasid. Jika tidak, daun yang tumbuh akan bewarna kuning. Untuk mengatasi perkara ini, bubuh baja organic yang boleh menambah kandungan asid pada tanah tersebut.

3. Siram pokoknya sekali seminggu. Semasa musim hujan kurangkan menyiramnya.

4. Tutup kawasan pangkal pokoknya dengan bahan-bahan organik seperti daun dan ranting-ranting kering, habuk papan dan sebagainya pada peringkat awal pertumbuhannya supaya ia berbunga lebih lama lagi.

5. Selalulah mencantas atau memangkas daun-daun di sebelah atas supaya cahaya matahari dapat sampai ke dahan-dahan di sebelah bawah. Ini akan menjadikan pokok ini tumbuh lebih subur dan mengeluarkan bunga-bunga yang cantik dan tahan lama.


Jenjarum Merah

Jenjarum Pink

Jenjarum Puti


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...