Butang Orang Bujang

Butang Orang Bujang? Mesti nama bunga tu, kan Kak Yah?

Betul tu. Itulah nama yang diberi kepada sejenis bunga yang kita di Malaysia ni kenalinya sebagai bunga butang atau Vadamalli dalam bahasa Tamil dan Sennichikou dalam bahasa Jepun (bahasa-bahasa lain Kak Yah tak tau, hehe..).

Bunga Butang Ungu
Bunga Butang Ungu (Gambar Wikipedia)

Selain Bachelor's Button (Butang Orang Bujang), bunga ini dikenali juga dengan nama Globe Amaranth. Nama saintifiknya ialah Gomphrena globosa dan negara asalnya ialah Brazil, Guatemala dan Panama.

Ada sejenis bunga lain yang juga dipanggil Bachelor's Button iaitu Cornflower atau nama saintifiknya Centaurea cyanus. (InsyaAllah dalam post yang lain Kak Yah akan citer tentang bunga ni pulak).

Cornflower
Cornflower (Gambar Wikipedia)

Walaupun bunga ini biasanya berwarna ungu namun ada juga yang berwarna merah, putih dan pink iaitu daripada jenis kacukan. Pokoknya pula boleh tumbuh sehingga hampir 1 meter tingginya.

Pokok bunga butang sesuai ditanam di kawasan yang mendapat banyak cahaya matahari dan tidak memerlukan banyak air (cukup sekadar menyiramnya dengan sedikit air setiap hari).

Cara pembiakannya adalah melalui biji benih. Rendam dulu biji benih itu selama 1 atau 2 hari sebelum disemai. Anak pokoknya akan tumbuh dalam masa 1 atau 2 minggu. Selepas itu bolehlah dipindahkan ke adalam pasu atau ditanam terus ke atas tanah. Boleh dijadikan pokok pagar yang cantik dengan menanamnya rapat-rapat dalam satu barisan ataupun dijadikan hamparan bunga dengan mengumpulkannya dalam suatu kawasan.

Di Nepal, bunga butang digunakan sebagai kalungan bunga dan dipakai di leher untuk mendapat perlindungan daripada bahaya. Bunga ini dipilih kerana sifatnya yang boleh mengekalkan bentuk dan warnanya dalam tempoh yang agak panjang.

Dari segi khasiat perubatan pula, bunga ini boleh direbus dan diminum untuk menyembuhkan batuk dan kencing manis. Selain itu, bunga yang dihancurkan boleh disapu pada luka dan bengkak untuk menyembuhkannya.

Kak Yah sendiri ada menanam beberapa batang pokok bunga butang ni. Salah satu daripadanya ialah yang dalam gambar di bawah ni:

Bunga Butang
Bunga Butang Yang Kak Yah Tanam

Benih Bunga Butang
Biji Benih Bunga Butang 





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...