Memaparkan catatan dengan label Info Bunga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Info Bunga. Papar semua catatan

Cenderawasih - Secantik Namanya!

Bunga cenderawasih adalah salah satu daripada bunga-bunga yang tercantik di dunia. Berasal dari Afrika Selatan tetapi banyak didapati di negara-negara Asia terutamanya di negara China. Selain itu banyak juga ditanam di Bangladesh dan Mexico.

Cenderawasih

Bunga ini juga dikenali dengan nama strelitzia, birds of paradise dan bunga bangau.

Ada 4 jenis spesis yang utama iaitu Strelitzia caudata, Strelitzia nicolai, Strelitzia juncea, Strelitzia reginae tetapi hanya Strelitzia reginae yang sesuai ditanam di dalam rumah (tetapi lambat berbunga).

Cenderawasih boleh berbunga beberapa kali dalam setahun.


Bunga ini dibiakkan melalui dua cara iaitu biji benih dan akar atau ubinya.

Pokok bunga ini memerlukan cahaya matahari yang banyak tetapi bukan panas terik (walaupun ada sesetengah spesis bunga ini boleh tahan panas terik).

Tanahnya mestilah sentiasa lembap kerana tumbuhan ini memerlukan air sepanjang tahun. Tetapi pastikan airnya tidak bertakung. Pada peringkat awal pertumbuhannya, selalulah menyiramnya supaya akarnya cepat berkembang dan menjadi lebih kuat.


Jika ditanam di dalam pasu, campurkan tanahnya dengan tanah gambut. Jangan lupa menukar pasu kepada saiz yang lebih besar dari semasa ke semasa supaya tumbuhan ini mempunyai ruang yang cukup untuk bertumbuh dengan subur.

Baja pula mestilah daripada jenis yang "slow release" (meresap secara beransur-ansur) atau jika menggunakan baja cecair hendaklah diberi dua minggu sekali.


Selepas berbunga selama setahun atau dua tahun, barulah boleh dipecah-pecahkan kepada kumpulan-kumpulan kecil untuk dipindahkan ke pasu-pasu lain atau ditanam terus ke atas tanah.  Dengan cara ini, pokok cenderawasih ini akan mengeluarkan lebih banyak bunga.


Cenderawasih burung di awan,
Sarang nuri dilindungi daun,
Rindu kasih bukan buatan,
Jarak sehari rasa setahun.


Harumnya Si Bunga Kenanga!

Kali ini mari kita berkenalan dengan bunga kenanga atau nama saitifiknya cananga odorata atau cananga fruticosa yang berasal dari negara Filipina.

Di Indonesia bunga ini dikenali sebagai kenanga juga tetapi di Pulau Bali ia dipanggil sandat. Di Filipina pula namanya menjadi ylang-ylang (sebutannya: ilang-ilang).

Bunga ini harum baunya maka sebab itulah ia digunakan dalam pembuatan minyak wangi atau perfume.

Minyak Bunga Kenanga

Ada dua jenis utama pokok kenanga ini. Pertama, jenis pokok berkayu manakala kedua, jenis renek. Kenanga yang ditanam di kawasan rumah sebagai tanaman hiasan biasanya dari jenis renek kerana pokok kecil dan rendah berbanding dengan jenis berkayu. Lihat gambar di bawah:

Cananga Odorata
Bunga Kenanga Renek

"Cananga flower" by Ks.mini - Own work. Licensed under CC BY-SA 3.0 via Commons - https://commons.wikimedia.org/wiki/File:Cananga_flower.JPG#/media/File:Cananga_flower.JPG
Bunga Kenanga Berkayu

"Starr 061224-2876 Cananga odorata" by Forest & Kim Starr. Licensed under CC BY 3.0 via Commons - https://commons.wikimedia.org/wiki/File:Starr_061224-2876_Cananga_odorata.jpg#/media/File:Starr_061224-2876_Cananga_odorata.jpg
Pokok Kenanga Berkayu

Pokok bunga ini dibiakkan melalui beberapa cara: biji benih, keratan pucuk berdaun dan secara tut atau cantuman tunas. Memerlukan cuaca panas dan tanah yang berasid serta saliran yang baik. Kenanga berbunga sepanjang tahun maka dengan sebab itu amat sesuai dijadikan tanaman hiasan.

Menjaganya juga amat mudah. Pokok bunga ini hanya perlu dicantas sekiranya terdapat dahan atau ranting yang mati atau berpenyakit.

Baja yang sesuai dengannya adalah dari jenis NPK 15:15:15. Baja organik seperti tahi ayam juga boleh digunakan sebagai ganti.

Selain dibuat haruman, bunga kenanga juga boleh digunakan untuk merawat asma, bronchitis dan demam malaria. Harumannya pula dipercayai dapat merawat penyakit darah tinggi.

"Bunga kenanga ditabur-tabur
Dibawa dari Pulau Sentosa
Apa guna sombong takabur
Rosak hati badan binasa"


Anggerik Yang Menarik

Kali ni Kak Yah nak kongsi artikel yang Kak Yah baca di Harian Metro tentang bunga anggerik atau sekarang ni lebih dikenali dengan nama orkid. Semoga bermanfaat buat penggemar bunga sekelian.

------------------------------------------------------------------------------------


Pastikan Orkid Kekal Menarik


Orkid antara tumbuhan paling popular di dunia kerana mempunyai karakter menarik dan pelbagai warna seperti ungu, merah, kuning, biru, hijau dan coklat. Kini, pelbagai jenis orkid ada dijual di pasaran dan tahukah anda hutan di negara ini antara yang mempunyai ribuan jenis dan spesies orkid. Melalui kajian, ada kira-kira 2,500 spesies di Sabah dan Sarawak manakala 850 spesies di Semenanjung. Tanaman itu biasanya membiak di kawasan hutan, tetapi hari ini ramai peminat orkid dari seluruh dunia lebih gemar menjadikan koleksi orkid untuk menghiasi taman pada kediaman. 
Memastikan ia hidup subur dan kekal menarik sepanjang masa, keperluan hidup tanaman ini perlu dikaji dan diteliti terlebih dulu dari segi teknik, petua dan cara penjagaan.

Baja dan air adalah keperluan utama untuk kebanyakan jenis orkid. Bagaimanapun, terdapat ribuan jenis orkid yang hidup dalam keadaan yang pelbagai.


Teknik penjagaan orkid

Arang biasanya digunakan untuk orkid memanjat dan boleh juga digabungkan dengan batu bata.

Pecahan arang perlu direndam semalaman untuk menghilangkan garam yang biasanya terdapat pada kayu bakau.

Malah, batu bata juga digunakan untuk orkid epifit iaitu orkid yang menjalar.

Campuran pecahan arang dan batu-bata perlu kerana kebanyakan orkid memerlukan gabungan dua medium tanaman itu.

Sementara itu batu bata perlu direndam semalaman bersama racun kulat dan hendaklah dikeringkan sebelum menanam orkid.

Serbuk kayu pula diperlukan orkid yang ditanam di dalam pasu dan jenis yang memanjat.


Lazimnya, gabungan pecahan arang dan batu bata diletakkan bersama serbuk kayu. Serbuk kayu perlu direndam semalaman bersama racun kulat untuk menghilangkan kekotoran yang terdapat di dalamnya. Keringkan ia sebelum digunakan.

Pada masa sama, batang paku pakis gajah digunakan untuk tanaman orkid yang digantung. Ia mampu menyimpan air dalam jangka masa lama dan membantu orkid terus hidup.

Artikel ini telah disiarkan di Harian Metro pada Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:04 AM

Bunga Kertas Tak Lebat Bunganya?

Ramai yang bertanya Kak Yah macam mana nak bagi bunga kertas (bougainvillea) diorang berbunga lebat. Baiklah, di bawah ini Kak Yah "turun"kan kepada korang tip-tip yang Kak Yah tau. Kak Yah pun bukanlah "terer" sangat tentang perkara ni.

Bunga Kertas Merah Jambu (Pink)

Pertama, tanam dalam pasu. Bunga kertas suka kalau akarnya berhimpit-himpit dalam satu kawasan. Tak tau kenapa tapi itulah yang Kak Yah perhatikan selama Kak Yah menanam dan membela bunga kertas ini. Kalau ditanam terus ke tanah, biasanya bunganya sikit saja. Gunakan pasu yang besar yang berlobang-lobang di bawahnya untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.

Potted Bougainvillea
Bunga Kertas Dalam Pasu

Kedua, gunakan tanah pasu yang dicampur dengan bahan kompos. Tanah boleh dibeli di nursery bunga atau diambil dari tempat yang subur tanahnya.

Ketiga, gunakan baja yang mengandungi banyak potash (soda abu) iaitu yang kadar NPKnya 12-4-18. Ikut arahan pembubuhan baja. Biasanya kalau pasu kita tu mulutnya lebih kurang 20 inci (50 cm), bubuh setengah cawan baja sebulan sekali.

Bunga Kertas Ungu (Purple)

Keempat, siram dua hari sekali. Maknanya, selang sehari. Sebelum menyiramnya, pastikan permukaan tanah di dalam pasu itu kering. Kalau musim hujan, tak payahlah disiram lagi.

Akhir sekali, cantas ranting-ranting sepanjang kira-kira 50 cm ke 60 cm dari batang pokok. Ini akan menggalakkan pertumbuhan ranting baru yang juga akan menghasilkan bunga yang lebat.

Bunga Kertas Merah
Itulah saja yang Kak Yah dapat bagitau korang buat masa ini. Kalau ada lagi petua lain yang Kak Yah jumpa nanti, insyaallah Kak Yah akan "turun"kan lagi. 

Selamat Mencuba!


Bunga Ungu Terang

Orang Melayu menggelarkannya Bunga Telang manakala orang Thailand menamakannya sebagai anchan, orang India aparajita dan orang Cina dié dòu. Nama saintifiknya ialah Clitoria ternatea (kerana sifat kewanitaanya) manakala bahasa Inggerisnya butterfly pea atau blue pea atau cordofan pea.

Pokok bunga ini berasal dari kawasan tropika di benua Asia dan telah disebarkan ke benua-benua Amerika, Afrika dan Australia. Rupa bentuk pokok ini adalah seperti dalam gambar di bawah ini.

Clitoria ternatea
Pokok Bunga Telang
Bunga Telang Purple
Bunga Telang Biru Kuning


Bunga telang boleh hidup lebih daripada setahun dan merupakan sejenis tanaman herba yang menjalar. Biasanya berwarna ungu atau biru tua namun ada juga yang berwarna putih! (Pernah tengok tak yang warna putih ni?)


Bunga Telang Ungu Berlapis
 Clitoria ternatea
Bunga Telang Biru

Biasanya bunga ini ditanam untuk dua tujuan. Pertama sebagai tanaman hiasan; kedua sebagai tanaman pemulih tanah (akarnya boleh menguraikan tisu nitrat di dalam tanah menjadikan tanah lebih subur).

Pokok bunga ini dibiakkan melalui biji benih yang terdapat di dalam kekacangnya (lihat gambar di bawah). Ia memerlukan cahaya matahari yang banyak serta tanah yang lembab dan neutral.

 Clitoria ternatea legumes
Benih Bunga Telang

Di Asia Tenggara termasuklah Malaysia, bunga telang digunakan sebagai bahan pewarna dalam masakan. Contohnya, orang Kelantan mewarnakan nasi putih untuk dijadikan nasi kerabu. Di Thailand pula, bunga ini direbus dijadikan sirap biru atau nam dok anchan yang kadang-kadang dicampur dengan jus limau dan gula untuk menambah kelazatannya. Selain itu, warna ungu bunga ini juga digunakan di dalam pembuatan kuih muih yang contohnya seperti dalam gambar di bawah ini.

Lepat Bunga Telang
Kuih Lepat Bunga Telang
Blue Pea Tea
Boleh Dijadikan Minuman "Sirap Biru"

Di Negara China, bunga ini telah lama digunakan di dalam perubatan tradisional terutamanya untuk mengubat penyakit-penyakit kaum wanita seperti membetulkan peredaran haid, meningkatkan kesuburan rahim, merawat sakitpuan dan juga sebagai penambah nafsu syahwat.

Masyarakat India pula menggunakan bunga telang di dalam kaedah perubatan ayuverdic sebagai ubat penguat ingatan dan ubat penenang.


(Sumber: Wikipedia)

Bunga Untuk Menembak Musuh?

Bunga apa agaknya yang boleh digunakan untuk menembak sekumpulan musuh atau sebuah kapal laut di medan perang? Kak Yah rasa pasti ramai yang tak tahu, kan? Yang tahu tu tolong diam yer, hehe...

Di kalangan penggemar bunga, ia dikenali dengan nama Couroupita guianensis atau nama Melayunya Bunga Peluru Meriam! Boom!!

Beginilah Rupa Peluru Meriam Yang Sebenarnya!

Ha ... ada yang kata tak pernah dengar dan ramai jugak yang dah tahu tentang bunga ini. Apapun, untuk golongan yang belum pernah, kali ini Kak Yah nak cerita sikit tentang bunga ini.

Bunga Peluru Meriam berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Terdapat juga di Thailand dan India. Dipanggil Peluru Meriam kerana buahnya menyerupai peluru meriam!

Rupa bunga ini adalah seperti dalam gambar di bawah:

Bunga Peluru Meriam (Couroupita guianensis)

Kalau nak tengok contoh bunga ini yang hidup segar, sila ke Botanical Garden, Pulau Pinang. Kalau ada di rumah kawan-kawan korang, silalah tengok kat sana jer tak payah ke Pulau Pinang!

Pokoknya kalau dah matang boleh mencecah 35 meter tingginya. Jadi susahlah sikit kalau nak dijadikan hiasan di halaman rumah yang sempit... kecualilah kawasan rumah kita tu luas giler macam hutan simpan, hehe ..

Pokok Peluru Meriam

Sungguhpun macam tu, sebatang pokoknya boleh mengeluarkan lebih kurang seribu kuntum bunga dalam satu-satu masa. Banyak, tu! Bunganya pulak bukan main wangi terutama pada waktu malam... Hi hi hi .. Macam Harum Sundal Malam!

Pokok bunga ini jugak ada buah, tau. Buahnya warna coklat macam dalam gambar kat bawah ni. Boleh dimakan tapi kurang enak dan baunya pun agak busuk. Biasanya hanya haiwan sahaja yang memakannya. Sebatang pokok biasanya mengeluarkan kira-kira 150 biji buah pada musim dia berbuah.

Buah Peluru Meriam

Yang menariknya, kalau korang nak tau, buah-buahnya mengambil masa yang sangat lama untuk masak: yang paling lama adalah setahun setengah! Dalam setiap buah tu pulak ada antara 65 hingga 550 biji di dalamnya bergantung pada saiz buah tersebut. Melalui biji-biji inilah pokok bunga ini membiak.

Daun Pokok Peluru Meriam

Dari segi perubatan, ekstrak daripada beberapa bahagian pokok ini boleh dijadikan penawar kepada penyakit-penyakit seperti selsema, sakit perut, darah tinggi, ketumbuhan dan pelbagai jenis penyakit yang lain.


Bunga Kasut?

Pernah dengar "bunga kasut"? Tak pernah. Bunga sepatu? Ohhh bunga tu .. Ada orang panggil bunga kesumba keling kan? Betul tu .. "Sepatu" tu kan ke "kasut"! (Tak caya, bukak kamus .. hehe).

Bunga kesumba dikenali juga sebagai bunga sepatu dan bunga gincu. Nama saintifiknya ialah Bixa orellana dan berasal dari benua Amerika. Selepas diperkenalkan oleh orang-orang Sepanyol, bunga ini sudah banyak ditanam di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Sepatu
Bunga Kesumba

Pokok bunga ini menghasilkan buah yang mengandungi bahan pewarna yang digunakan sebagai pewarna makanan dan pewarna rambut.

Kesumba
Bunga Sepatu / Gincu

Daunnya pula boleh dijadikan penawar kepada demam, kembung dan kurang selera makan. Boleh juga digunakan sebagai ubat wanita lepas bersalin.


Seeds
Biji Benih Kesumba


Kalau ada sesiapa yang berminat nak tanam pokok bunga ni, sila ambil perhatian bahawa pokok kesumba ini boleh tumbuh setinggi 20 ke 30 kaki (lebih kurang 6 ke 9 meter)dan lebarnya dari 10 ke 15 kaki (besar dan tinggi giler tu!).

Pokok kesumba ini boleh ditanam melalui biji benih atau keratan batang. Tanahnya mesti subur (banyak baja) dan banyak cahaya matahari. Siram selalu semasa baru tumbuh dan beransur kurang apabila semakin membesar. Buang daun dan bunga yang mati supaya pokoknya lebih subur.




Seroja Ke Teratai?

Seroja atau lotus (Nelumbo nucifera Gaertn.) adalah spesies tumbuhan air yang berbunga sepanjang tahun. Berasal dari India, tanaman ini sering kali disebut teratai (Nymphaea) walaupun sebenarnya keduanya tidak sama. Seroja memiliki tangkai bunga tegak dan bunganya tidak terapung di permukaan air, sebagaimana teratai. Akibat kekeliruan ini, seroja pernah dikenal dengan nama binomial Nelumbium speciosum atau Nymphaea nelumbo. Lotus (genus Nelumbo) merupakan bunga kebangsaan negara India.


Nelumbo nucifera Gaertn
Bunga Seroja (Nelumbo nucifera Gaertn)


Tangkainya berbentuk silinder yang kosong di tengahnya untuk udara. Daun terdapat di permukaan air, keluar dari tangkai yang berasal dari batang yang berada di dalam lumpur di dasar kolam, sungai, atau paya. Tinggi tanaman ini boleh mencapai sekitar satu meter hingga satu setengah meter.

Daunnya tumbuh ke atas, tinggi di atas permukaan air. Daun itu berbentuk bulatan penuh tanpa potongan, bergelombang di bahagian tepi, dengan urat daun berkumpul ke tengah daun. Diameter daun dapat mencapai 60 cm. Permukaan daun mengandung lapisan lilin yang menyebabkan air yang jatuh ke permukaan itu membentuk butiran air.

Bunganya dengan diameter sampai 20 cm berwarna putih bersih, kuning atau merah jambu, keluar dari tangkai yang kukuh menjulang di atas permukaan air. Bunganya kembang pada bulan Julai hingga Ogos.

Ada beberapa jenis seroja dengan bentuk dan warna bunga yang beragam.


Seroja Merah Jambu

Kegunaan

Bunga Seroja indah dipandang sehingga banyak digunakan sebagai penghias kolam di taman-taman. Batangnya enak dimakan dan banyak digunakan dalam masakan Jepun, masakan Cina, dan masakan India. Batang yang dimakan mentah dapat menjadi sumber penularan parasit Trematoda (sejenis cacing).

Biji Seroja
Biji Seroja

Bijinya kaya dengan tepung sehingga boleh dimakan atau diolah menjadi bahan makanan. Biji yang direbus, dihaluskan dan dicampur gula menjadi isi Kuih Bulan yang dimakan pada Festival Kuih Bulan. Di negara China, biji yang masih muda dijadikan minuman pengganti teh. Bahagian yang berlubang-lubang seperti sarang lebah dijual dalam bentuk kering sebagai pelengkap dalam seni menggubah bunga kering.

Buah Seroja
Seroja Boleh Dimakan

Daunnya lebar sehingga sering digunakan sebagai pembungkus, terutama pembungkus ikan di pasar tradisional sebelum penggunaan beg plastik menjadi popular.


Teknik penanaman Seroja (Nelumbo nucifera)

Tanaman dapat berkembang biak daripada biji yang sudah tua atau melalui keratan batang. Seroja dapat ditanam di dalam pasu berisi tanah berlumpur yang berair.


Putik Seroja
Putik Seroja

Sejarah

Di zaman Mesir kuno, seroja dijumpai tumbuh bersama-sama dengan Teratai spesies Nymphaea caerulea di pinggiran Sungai Nil. Bangsa Mesir zaman Firaun sangat memuliakan seroja, sehingga bunga, buah, dan kelopaknya dijadikan motif dalam pembinaan kuil. Dari Mesir, seroja dibawa ke Syria dan menyebar ke Iran, India, dan China. Pada tahun 1787, Sir Joseph Banks membawa seroja ke Eropah Barat untuk ditanam di dalam rumah kaca di taman bunga awam.


Sumber: Wikipedia



Lagu Seroja




Lagu Teratai




Bunga Punya Warna, Akar Dapat Nama!

Nama saintifiknya Allamanda cathartica manakala nama biasa ialah Bunga Akar Kuning, Bunga Loceng, Bunga Trompet Emas atau Bunga Buttercup. Berasal dari Amerika Selatan iaitu di sekitar Mexico hinggalah ke Argentina. Nama Allamanda diambil daripada nama seorang pakar tumbuh-tumbuhan Switzerland yang bernama Frederic-Louis Allamand.

Allamanda
Ini Bunga Allamanda Kuning Yang Kak Yah Tanam

Pada mulanya pokok bunga Allamanda ini hanya ditemui di tebing-tebing sungai dan di kawasan-kawasan yang mendapat cahaya matahari dan air yang mencukupi. tetapi sekarang ini Allamanda boleh ditemui di merata-rata tempat di kawasan tropika seperti di sepanjang parit-parit di tepi jalan dan juga di kawasan-kawasan tanah lapang yang terbiar.

Pink Allamanda
Yang Warna Pink Ini Pun Kak Yah Tanam Juga

Pokok bunga ini dibiakkan melalui keratan batang dan  setakat ini 15 spesis tumbuhan ini telah dikenalpasti. Antara spesis-spesis yang popular ialah Allamanda cathartica, Allamanda blanchetii, Allamanda angustifolia, Allamanda polyantha dan Allamanda schottii. Sungguhpun kebanyakan spesis menghasilkan bunga yang bewarna kuning namun ada juga yang mengeluarkan bunga bewarna pink (merah jambu).

Allamanda schottii
Allamanda schottii

Allamanda yang biasa dijadikan tanaman hiasan terdiri daripada 2 jenis. Pertama, jenis menjalar/memanjat manakala kedua ialah jenis belukar. Di Malaysia, jenis belukar lebih banyak ditanam berbanding jenis yang pertama itu.

Buah Allamanda schottii

Tumbuhan ini senang ditanam dan dijaga. Semasa menanamnya, campurkan sedikit baja tahi ayam/lembu ke dalam tanah yang digunakan. Jarakkan kira-kira 3 ke 4 kaki di antara satu pokok dengan yang lain kerana Allamanda mudah merimbun dan melebar. Pangkas daun-daunnya untuk mendapatkan bentuk pokok yang dikehendaki. Siram selalu tetapi pastikan air siraman itu betul-betul kering barulah disiram lagi. Untuk mendapatkan pokok dan bunga yang cantik, gunakan pula baja biji penggalak bunga dan daun tiga atau empat bulan sekali.

Allamanda cathartica
Allamanda cathartica

Getah pokok bunga ini bewarna putih dan mengandungi racun. Oleh itu pastikan anda memakai sarung tangan semasa mengendalikan tumbuhan ini.

Di segi perubatan, tumbuhan ini telah digunakan secara tradisional sebagai penawar kepada penyakit-penyakit seperti penyakit kuning dan malaria.

Allamanda blanchetii
Allamanda blanchetii


Bunga Mentega

Pernah dengar nama bunga ni? Bunga Mentega atau Bunga Jepun. Bunga Jepun mungkin ramai yang tahu tapi jangan silap pulak bunga ni tak sama dengan Bunga Ros Jepun. Di Malaysia ni mungkin orang jarang sebut bunga mentega tapi kalau di Indonesia sana, itulah nama yang mereka beri kepada bunga Jepun. Kalau ada yang masih kurang jelas, sebenarnya bunga ini juga dikenali sebagai Bunga Oleander. Tentang bunga inilah yang Kak yah nak citer kali ni.

Oleander yang banyak ditanam di negara kita ni ialah daripada spesis Nerium Oleander. Berasal dari Asia Barat (sekitar kawasan Mediteranean), bunga ini sekarang boleh ditemui di merata tempat di kawasan yang beriklim tropika dan separa tropika termasuklah Malaysia dan negara-negara lain di Asia Tenggara. Untuk mengetahui macam mana rupabentuk bunga ni, sila lihat gambar-gambar di bawah.


Nerium Oleander
Nerium Oleander atau Bunga Jepun atau Bunga Mentega

Cantik, kan? Tapi awas, seluruh bahagian pokok bunga ini mengandungi racun yang berbahaya kepada manusia dan haiwan yang memakannya. Namun kesannya lebih kuat pada haiwan. Boleh jadi pening, muntah-muntah dan cirit-birit kita dibuatnya. Asap dari daun-daun dan ranting-rantingnya yang kita bakar pun boleh menyebabkan kita pening jika terhidu!


White Nerium Oleander
Ini Oleander Putih ( Maaf, Gambar Kabur Sikit)


Pokok oleander boleh tumbuh merimbun macam belukar hingga setinggi 6 meter iaitu menyamai hampir 20 kaki. Tinggi tu! Jadi, kalau nak menanamnya pilihlah kawasan yang sesuai dengan ketinggiannya itu. Kalau tidak, mungkin boleh terkena kabel elektrik atau telefon. Walau bagaimanapun, ketinggiannya boleh kita hadkan dengan pemangkasan. Bunganya ada tiga warna iaitu merah, putih dan pink (merah jambu) dan tumbuh secara sejambak-sejambak. Ada juga yang bewarna oren tetapi itu dari spesis yang dikacuk bukan yang ori. Cantik juga jika ditanam sebagai pokok pagar (yang tinggi, hehe ..) untuk mengepung kawasan rumah.


Pink Nerium Oleander
Ini Oleander Pink - Pun Cantik Juga!

Untuk menanam pokok bunga ini kita boleh gunakan biji benih atau keratan batang tetapi lebih mudah jika menggunakan keratan batang. Cuma pastikan keratan batang itu berakar. Atau kalau nak lagi senang, beli jer anak pokok yang dah siap dengan pasunya sekali.


Nerium Oleander Bud
Putik Bunga Oleander Putih


Oleander suka kepada tanah yang agak kering dan berpasir sedikit. Kawasan itu mestilah disinari matahari sepanjang hari (kalau tak hujanlah!). Pada peringkat awal pertumbuhannya, tanaman ini perlu disiram setiap hari tetapi apabila telah membesar dengan mantap, bolehlah dijarangkan sedikit menyiramnya. Pastikan tanahnya tidak digenangi air.


Red Nerium Oleander Bud
Putik Bunga Oleander Merah


Di segi pembajaan pulak, tanaman ini tidak memerlukan baja sekiranya ditanam di tanah yang subur. Kalau tanah tak subur, bolehlah dibubuh baja NPK.

Rimbunannya perlu dipangkas atau dicantas selalu untuk menggalakkan pertumbuhan dan mengawal ketinggiannya. Pastikan dahan atau ranting yang hendak dibuang itu dipotong pada bahagian selepas 3 buku tunas (tempat daun tumbuh). Daun-daun baru akan keluar diikuti dengan jambak-jambak bunga yang cantik sekali!


Nerium Oleander Seeds
Beginilah Rupa Biji Benih Oleander



Nak Order Biji Benih Nerium Oleander Dari USA? 
Klik Pada Gambar-Gambar Ini

Ekor Kucing Dijadikan Hiasan?

Biar betul Mak Yah ... mana logiknya ekor kucing tu kita potong pastu jadikan hiasan!

Itulah kata-kata yang terhambur daripada mulut anak buah Kak Yah yang bernama N bila Kak Yah kata yang ekor kucing pun orang buat hiasan. Memang patut pun ... budak ni belum pun lepas UPSR ... manalah dia tau sangat tentang bunga-bunga.

Bukan ekor kucing betul-betul tu. Ni pokok ekor kucing. Tu ada kat taman Mak Yah tu. Pergi tengok. Yang warna merah berjuntai-juntai tulah bunga ekor kucing!

N dan adiknya M datang bercuti hujung minggu di rumah Kak Yah baru-baru ni. Dia panggil Kak Yah ni: Mak Yah.

Oh yang niiii ... haahlah Mak Yah, sebijik macam ekor kucing betul. Cantiklah Mak Yah!

Eh, Mak Yah memang cantik. Dah kuar kat satkhabar dah! (Kak Yah buat lawak, hehe ..).

Bukan Mak Yahlah ... bunga ni yang cantik. Apalah Mak Yah ni. (Hai, marah nampak!)

Ekor Kucing
Ekor Kucing Yang Kak Yah Tanam: Bunganya Cantik ... Tapi Daunnya ...

Okaylah. Tentu korang tak kuasa nak dengar kisah anak buah Kak Yah tu, kan?

Baiklah, mari kita citer pulak pasal bunga ekor kucing.

Pokok bunga ekor kucing atau nama saintifiknya Acalypha hispida adalah sejenis tanam hiasan yang berasal dari pulau-pulau yang beriklim tropika di Lautan Pasifik. Sekarang pokok ini banyak didapati di negara-negara seperti Hawai, Amerika Utara, Mexico, Belize dan juga Amerika Syarikat. Dalam bahasa Inggeris, tanaman ini dikenali sebagai red hot cat's tail (ekor kucing merah menyala), fox tail (ekor musang), Philipines Medusa (Medusa Filipina) dan Chennile Plant (Pokok Chennile).


 Acalypha hispida
Dari Dekat


Cantik ditanam sebagai hiasan di halaman rumah dan di dalam rumah. Dibiakkan melalui biji benih ataupun boleh juga menggunakan keratan batang. Bila cukup matang, pokoknya boleh mencecah ketinggian sehingga hampir 3 meter (tinggi tu!). Macam manapun, kita harus berhati-hati dengan pokok ini kerana semua bahagian pokok ini adalah beracun jika dimakan oleh haiwan! Selain merah, bunga ekor kucing juga ada yang bewarna ungu dan coklat.


Ekor Kucing
Amboi, Lebatnya Bunga!


Dari segi perubatan, daunnya boleh digunakan untuk merawat mengubati penyakit kusta. Air rebusan daun dan bunganya boleh digunakan untuk merawat luka dan ulser; juga sebagai pencuci perut serta merawat penyakit kelamin. Kulit batangnya yang direbus boleh merawat kahak serta mengurangkan serangan asma. Daun dan bunganya juga digunakan bagi merawat cirit-birit.

Acalypha hispida
Yang Ni Jenis Kurussss ... hehe ...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...