Memaparkan catatan dengan label Tanam Bunga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tanam Bunga. Papar semua catatan

Ketika Bunga Bertasbih

"Hai, nak tulis novel ke cerpen tu?"

Kedengaran cik abang bersuara sebaik saja Kak Yah selesai menaip tajuk entry untuk post kali ini.

"Kus semangat, takajuik awak dibuek e!"* Kak Yah melatah dalam loghat Minangkabau (maklumlah duduk kat kampung orang Minang; arwah mak lak orang negori - apo lai, jadilah camtu, hehe).
* Maksudnya: Pulih semangat, terperanjat saya dibuatnya!

"Hahaha," 

Abang ketawa sambil menuju ke luar. Nak ke kedailah tu, agaknya. Baguslah, boleh Kak Yah menaip dengan tenang tanpa sebarang gangguan, hehe..

Sebenarnya bukan nak tulis novel ke, cerpen ke ataupun skrip sinetron (macam Ketika Cinta Bertasbih tu). Kak Yah nak citer tentang bunga tasbih!

Korang tau tak kenapa bunga ni dipanggil bunga tasbih? Pasti tak tau, kan? (yang tau tu, buat-buatlah tak tau; baru boleh Kak Yah bagi tau, okay?). Cuba tengok gambar ni:

Canna Seeds
Biji dan Buah Bunga Tasbih

Ini biji bunga tasbih (yang bulat-bulat macam guli tu). Oleh kerana dia keras dan tahan lama maka boleh dilubangkan dan dijadikan rantai manik ataupun tasbih! Ha, itulah sebabnya! Kalau korang tau ada sebab lain, silalah bagi tau Kak Yah; boleh Kak Yah bagi tau kat saper-saper yang belum tau dan memang nak sangat tau, hehe.

Dalam bahasa Inggeris, bunga ini disebut Canna Lily dan tergolong dalam famili Cannaceae. Berasal dari Kepulauan Hindia Barat dan Amerika Selatan, bunga tasbih setakat yang diketahui mempunyai 19 spesis yang berbunga dan 7 spesis yang berdaun sahaja. Di bawah ini adalah beberapa contoh spesis-spesis tersebut:-

Bunga Tasbih
Canna Alberich 

Bunga Tasbih
Canna Auguste Ferrier 

Bunga Tasbih
Canna Coccinea

Bunga Tasbih
Canna Compacta 

Bunga Tasbih
Canna Discolor 

Bunga Tasbih
Canna Edulis 

Bunga tasbih
Canna Flaccida

Bunga tasbih
Canna Glauca

Bunga Tasbih
Canna Indica

Bunga Tasbih
Canna Iridiflora

Bunga Tasbih
Canna Jacobinifiora

Bunga Tasbih
Canna Jageriana

Bunga Tasbih
Canna Oberon

Jom Tanam Bunga
Buah Bunga Tasbih

Bunga Tasbih
Ini Pun Sejenis Canna / Tasbih (Canna Tuerckhemii)

Bunga Tasbih
Canna Yellow King

Bunga Tasbih
 Pink Canna 

Untuk membiak bunga tasbih, kita hanya perlu mencabut serumpun pokoknya (pokok bunga ini tumbuh berumpun-rumpun), kemudian pisah-pisahkan mengikut ubinya dan kita boleh terus tanam di tempat yang baru sama ada di dalam pasu atau di atas tanah. Seeloknya rendam dulu dua atau tiga hari di dalam air setakat paras di atas ubinya, selepas itu baru pindahkan. Bunga tasbih sukakan sinar matahari yang banyak dan tanah yang sangat lembap.

Bunga ini boleh dijadikan pokok pagar atau ditanam di dalam pasu ataupun ditanam rapat-rapat di suatu kawasan di atas tanah sebagai hamparan bunga (flower bed).

Bunga ini juga boleh ditanam sebagai tanaman air di dalam kolam. Tasbih tahan terhadap udara panas yang kadang-kadang sangat panas, tetapi tidak boleh hidup dalam cuaca yang sangat sejuk.

Bunga tasbih boleh digunakan sebagai penawar demam panas, tekanan darah tinggi, darah haid banyak, keputihan, sakit kuning, batuk darah, luka berdarah dan jerawat. Bahan-bahan penawar yang terkandung di dalam daun dan bunganya adalah seperti fenol, kumarin, glukos dan alkaloid.

Kegunaan lain termasuklah:-

  • ubinya boleh dijadikan kanji untuk makanan manusia dan haiwan,
  • batang dan daunnya dijadikan makanan haiwan,
  • bijinya dijadikan rantai manik, tasbih dan sebahagian daripada alat muzik Afrika, serta boleh menghasilkan pewarna ungu,
  • batangnya dijadikan tali jerami dan kertas,
  • daun keringnya jika dibakar dapat menghalau serangga,
  • dan banyak lagi (korang cari sendirilah guna Google ke, Yahoo ke, Bing ke; suka hati koranglah, hehe ..)

Yang dalam gambar kat bawah ni ialah pokok bunga tasbih atau canna lily yang Kak Yah sendiri tanam. Cantik, kan?

Canna Lily
Ini Bunga Tasbih Di Taman Mini Kak Yah

Bunga Tasbih
Canna Daun Belang Ni Pun Kak Yah Ada Tanam

"Assalamualaikum," cik abang beri salam di depan pintu.

Sekali lagi Kak Yah terperanjat (maklumlah ... lemah semangat).

"Waalaikumussalam, Saper kat luar tu masuklah ke dalam!" jawab Kak Yah.

Alamak, dia dah baliklah. Kena stop kat sini dululah nampaknya. Nanti kalau ada masa Kak Yah tulis lagi, okay? Bye, salam 1Malaysia dan assalamualaikum sumer ...



(Foto Spesis Canna: Wikipedia)


Bunga Hebe, hehehe..


Semenjak Kak Yah tempekkan gambar bunga Hebe kat sudut "Bunga Hari Ini" blog ini, ramailah yang bertanya "bunga apa tu Kak Yah?". Macam mana Kak Yah nak jawab. Dah ditulis kat bawah gambar tu "Bunga Hebe", diorang tanya lagi bunga apa... hai pening-pening dibuatnya. Korang yang tersengih-sengih tu tau ke jawapannya? Tentu korang akan jawab: bunga Hebelah! kan? Mula-mula Kak Yah pun nak jawab camtu gak tapi bila dipikir-pikir balik, takkanlah itu yang dimaksudkan oleh si penanya tu, kan? Hehehe...

Inilah Bunga Hebe Kak Yah - Cantik, Kan?

Maka sebagai seorang pencinta bunga yang suka tanam bunga (eh, bunga boleh tanam ke? Kalau tanam sekuntum bunga, apa pulak yang akan tumbuh nanti, ye?), bela bunga, beli bunga, tengok bunga, baca tentang bunga dan macam-macam lagilah yang berkaitan dengan bunga, kenalah Kak Yah jawab dengan seprofesional yang boleh! (Ada ke perkataan "seprofesional"? Kalau takder pun kira adalah ...  Hehehe).

Maka inilah jawapannya ...

Bunga hebe (sebutannya: hibi - macam penyakit tibi) ini banyak didapati di New Zealand, Amerika Selatan, Kepulauan Falkland dan Kepulauan Polynesia. Terdapat lebih daripada 90 spesis bunga ini yang sebahagian besarnya tumbuh di New Zealand.

Nama Hebe itu pula berasal daripada nama dewa remaja Greek. Hebe juga dikenali sebagai veronica di sesetengah tempat. Beberapa jenis bunga ini adalah seperti dalam gambar-gambar di bawah ini.

Hebe waireka (Foto Wikipedia)

Pokok bunga ini berbeza-beza ketinggiannya: dari serendah pokok renek hinggalah mencapai 7 meter (lebih kurang 22 kaki - tinggi tu!). Saiz daunnya pula mengikut kawasan di mana pokoknya ditanam. Biasanya, di kawasan pantai daunnya lebar-lebar manakala semakin jauh dan tinggi dari aras laut semakin kecil daunnya. Pokok yang tumbuh merimbun ini sangat sesuai dijadikan pokok pagar.

Hebe franciscana (Foto Wikipedia)

Pokok hebe dibiakkan melalui dua cara iaitu biji benih dan keratan batang. Ia sesuai ditanam hampir-hampir di semua jenis tanah dan memerlukan cahaya matahari yang banyak. Untuk mencantikkan rimbunannya, pokok ini mestilah dicantas dari semasa ke semasa, Selain daripada itu ia tidak memerlukan penjagaan yang rapi.

Hebe diosmifolia (Foto Wikipedia)

Kebanyakan spesis yang ditanam sekarang ini adalah dari jenis yang sudah dikacukkan. Jarang sekali kita boleh temui spesis liar atau spesis asal tumbuhan ini. Bunga ini amat disukai rama-rama.

Hebe albicans (Foto Wikipedia)

Kak Yah harap si penanya dah berpuas hati dengan jawapan Kak Yah. Kalau tak puas lagi, tanya-tanyalah pulak kat diorang-diorang yang pakar bunga.



Buat masa ni cuma spesis yang ni jer yang ada ...

Bunga Kak Yah di Harian Metro

Pag-pagi lagi handphone Kak Yah dah berbunyi.

"Dah dengar berita?" Suara yang memang Kak Yah kenali masuk ke telinga Kak Yah.

"Belum. Kenapa, R?" Cemas jugak Kak Yah masa tu. Manalah tahu kot kot ada berita tak baik untuk Kak Yah. R adalah kawan baik Kak Yah yang menetap di KL.

"Kalau belum, cepat pergi beli Harian Metro!" R masih dalam nada cemas.

"Ada apa R? Cakaplah..."

"Bawak bertenang... Puan Asiah kita ni dah jadi selebriti! Dah keluar kat Metro! Hebat tu..."

Barulah perasaan cemas tadi bertukar jadi suspens campur gembira. Barulah juga teringat akan peristiwa Kak Yah diinterbiu dek wartawan Harian Metro pada hari Rabu minggu lepas.

"Cepatnya keluar," bisik hati Kak Yah. "Kata K hari tu, lambat lagi - kena beratur!"

Dipendekkan cerita, di bawah ni Kak Yah petik artikel tentang Kak Yah dan bunga-bunga Kak Yah yang tersiar dalam Harian Metro hari ini. Silalah baca .....


                            

'Berkawan Dengan Pokok'


Di dalam blog­nya jomtanambunga.blogspot.com, wanita ini membahasakan dirinya Kak Yah. Rasa tidak sabar bertemu dengannya kerana melalui tulisannya terasa begitu mesra sekali. Ini mungkin kerana apa yang dipapar di situ bukan mengenai cerita masakan atau hal peribadi lain tetapi kecintaan wanita ini pada alam bunga-bungaan. Sejuk rasa hati.

Kami tiba di rumah comelnya menjelang tengah hari. Dia sudah sedia menunggu di tepi rumahnya yang terletak di tepi jalan dan dipagari pokok bunga di bahagian kiri dan kanan rumah itu. Menurutnya, di belakang rumahnya terdapat anak sungai dan ini antara punca tanah di sekitar rumahnya sangat subur.

Nama sebenarnya Asiah Othman, 54, yang bersedia dengan pakaian ‘kerjanya’, bertopi dan mengenakan blaus ringkas, ternyata seperti blognya, sangat ramah, mesra dan mudah didekati. Alam dan matahari adalah dunianya kini.

Ibu dua anak itu kembali ke rumah peninggalan arwah ibunya di Ulu Langat setelah suaminya pencen sekitar 15 tahun lalu. Daripada tinggal di Kuala Lumpur, dia kembali menghayati dunia bersuasanakan kampung.

Seorang yang sangat mencintai bunga-bungaan sejak kecil, Asiah bermula secara aktif menanam bunga agak lambat iaitu sekitar Januari 2011 kerana masanya diisi dengan kesibukan mengajar anak-anak orang kampung kelas tambahan di samping kerjaya rasminya sebagai suri rumah tangga.

“Saya suka melihat rumah orang lain yang mempunyai banyak pokok bunga dan dari situ mula merasa mahu memulakan tanaman di rumah sendiri. Pokok pertama yang saya tanam ialah puding kerana itu yang pernah diajar arwah emak. Ia pokok yang mudah ditanam dan mudah hidup. Ia ada pelbagai warna yang indah seperti kuning, hijau, merah jambu dan jenis kerinting,” katanya.

Minat yang kecil akhirnya membesar dan dari situ suaminya memberi cadangan supaya dia berkongsi minatnya dengan orang lain melalui dunia maya.

Lalu suaminya membantu membina laman blog dan mengajar cara menggunakannya. Di situlah Asiah boleh berkongsi cerita mengenai nama pokok, cara menanam, petua dan perkara lain melalui pengalaman yang ditimbanya sepanjang hari.

“Itulah kisah bermulanya saya berkecimpung di laman sosial dan apa yang terjadi sekarang ini, saya tidak menang tangan membalas mesej di telefon serta berinteraksi di laman sosial dari serata Malaysia yang mahu membeli anak bunga atau benih daripada saya.

“Mereka terdiri daripada pembaca di laman sosial, kawan-kawan, jiran dan hebahan dari mulut ke mulut. Antara yang paling disukai ialah bunga-bunga klasik seperti bunga butang dan bunga yang sukar diperoleh,” katanya yang turut mendapat benih sesama kawan-kawannya.

Asiah, anak jati kelahiran Ulu Langat, menjual benih bunganya dengan harga RM10 dan di dalamnya ada lebih 50 biji benih, diberi lebih kerana niatnya mahu bersedekah. Penghantaran benih dan anak pokok dibuat melalui pos laju.

Buku-buku berkaitan turut menjadi rujukan demi menambah ilmu sedia ada. Antara bunga yang ada di lamannya termasuk ixora, petunia, giant Mexican, cosmos, marigold, balsam, keembung, ati-ati, balung ayam dan keladi.

Memang segar mata memandang melihat warna-warni daripada bunga-bungaan yang ditanam. Dapat dibayangkan betapa kepuasan yang lebih hebat di pihak wanita ini yang menanamnya sendiri.

“Manfaat berkawan dengan pokok ini terlalu banyak. Selain berbakti pada tanah dan alam kehijauan, ia juga sejenis senaman mengeluarkan peluh. Kita juga tidak membuang masa bergosip dan ia terapi yang menenangkan hati dan membuatkan kita awet muda.

“Sekarang, saya juga dapat menjalin silaturahim dengan rakan baru malah sehingga ke Brunei. Dapat juga berkongsi ilmu dan bersedekah serba sedikit,” katanya.

Dia juga mengenali pelbagai jenis tumbuhan daripada spesis yang sama seperti spesis keladi, keembong, balsam, jenjuang, lili, kemboja, calathea dan ati-ati.

“Contohnya keladi, ada keladi zebra, gajah, hijau putih, tompok merah dan berbatik yang sudah saya kumpulkan,” akuinya.

Asiah masih membantu mengajar kelas tambahan kepada anak-anak kampung tetapi minat utama ini nampaknya mengisi kebanyakan masa lapangnya kerana ia semakin sebati di hati. Seketika bersamanya hari itu dapat dirasakan betapa gembiranya hati dikelilingi dunia flora yang indah belaka.


Artikel ini disiarkan di Harian Metro pada : 2013/04/02


Untuk membaca artikel sepenuhnya, sila ke http://www.hmetro.com.my/articles/2013040209072920130402090729/Article atau kalau nak tengok gambar-gambar lain, sila dapatkan akhbar Harian Metro keluaran hari ini (2 April 2013 Selasa).


Anggerik Ke Orkid?

 Hi hi hi .... Kak Yah ketawa sorang-sorang masa berada di taman bunga mini kat depan dan sisi rumah Kak Yah.

"Hai, dengan bunga pun boleh ketawa jugak. Citer apa yang geli sangat hati tu?" Suara cik abang menegur Kak Yah. Terkejut Kak Yah. Rupa-rupanya  ada orang yang perhatikan Kak Yah.

"Takde ... Yah teringatkan kawan yang duduk kat Ampang tu. Abang ingat tak hari tu masa kita pergi beli barang kat hardware sebab nak cantikkan taman kita ni? Masa tu kan Yah terjumpa sorang kawan."

"Oh... kawan yang tu. Ingat. Kenapa lak dengan dia?"

"Macam ni ... Masa borak-borak ngan dia tu yang jugak peminat bunga, Yah tanyalah dia. Ada tanam bunga anggerik tak? Abang nak tau apa dia jawab? Dia kata bunga anggerik tak ada tapi bunga orkid ada!"

"Ha ha ha!" Cik abang ketawa.

"Ha, kan abang pun geli hati dibuatnya, kan? Itulah yang Yah ketawa sorang-sorang tadi."

"Pelik jugak ya. Takkanlah sorang peminat bunga tak tau yang anggerik tu orkidlah!" kata cik abang lagi.

"Kesian kat anggerik ya bang. Orang sekarang dah tak nak sebut nama dia lagi. Semua lebih suka sebut nama orkid padahal orkid tu kan asalnya nama omputeh orchid".


"Apa nak buat Yah. Camtulah nasib bahasa Melayu kita zaman ni. Ramai lebih suka untuk tidak menggunakannya!" Cik abang mengomel kerana kebetulan beliau adalah seorang pencinta bahasa Melayu walaupun rupa beliau lebih mirip kepada rupa orang bukan Melayu, heh heh heh...(sorry bang, gurau je!)

"Ikut jelah cara diorang tu, bang. Kalau tak nanti, orang tak paham apa yang kita cakap. Kita sorang je yang paham."

Berbalik pada citer anggerik eh orkid tadi. Ramai yang tanya Kak Yah camner nak tanam dan jaga pokok orkid ni supaya bunganya sentiasa subur. Sebenarnya, Kak Yah ni bukanlah pakar tanam orkid, tapi taulah sikit-sikit mengenainya.


Untuk pengetahuan korang yang belum tau (yang dah tau tu takyah bacalah, hehehe...) di sini Kak Yah turunkan ilmu Kak Yah yang ada seciput tu ...

Bunga orkid ni sesuai ditanam di dalam beberapa jenis media mengikut jenis bunga itu. Antaranya ialah pecahan batu bata, pecahan arang, serbuk kayu, lumut sphagnum, tunggul kayu, keratan pohon tembusu dan tanah campuran. Ada juga orkid yang boleh ditanam tanpa sebarang media; cuma siram je selalu!).



Untuk mengetahui lebih terperinci camner nak tanam dan jaga orkid ni, cuba korang ziarah website ni: Petua Subur Tanam Orkid

Untuk menjamu mata, sila nikmati keindahan pelbagi jenis bunga orkid oops anggerik kat bawah ni. Enjoy!





Bunga Manja

Bunga Manja? Tak pernah dengar pun. Ada ke bunga yang bernama Manja?

Jawapannya tak ada. Bunga ni Kak Yah panggil bunga "manja" sebab susah nak jaga dan sensitif sangat. Tak boleh lebih sangat dan tak boleh kurang sangat. Semuanya kena cukup-cukup je. Ngam-ngam je. Baik dari segi bajanya, air siramannya mahupun cahaya mataharinya. Semuanya kena cukup. Kalau tak, pokoknya tak subur, tak berbunga atau kalau berbunga pun, bunganya tak segar, tak cantik dan kadang-kadang tak jadi warna yang sepatutnya (patutnya bunga merah tapi yang keluar bunga kuning, hehehe...).

Peminat-peminat bunga ni pasti dah tau bunga apa yang Kak Yah maksudkan. Ya! Betul tu... bunga ros atau bunga mawar. Pandai.... selesai.... (hehehe... macam kata Ustaz Don yang popular tu).

Bunga Ros Oren


Oleh yang demikian, pada kali ini Kak Yah nak turunkan sikit ilmu Kak Yah yang memang sikit tu kepada sesiapa yang berminat nak tau macam mana nak jaga bunga manja ni. Dah sedia? Okay mari kita mulakan ...

  • Pastikan tanah yang mengandungi campuran tanah kompos yang terdiri daripada sabut kelapa, pasir, sekam dan tanah bakar. Tanah mestilah digembur selalu tetapi jangan terlalu dalam kerana perbuatan ini boleh merosakkan akarnya.

  •  Sebelum mula menanam pulak, pastikan kawasannya bersih daripada batu-batu kecil kerana akar si manja ni sangat sensitif juga kepada benda-benda ni.

  • Jangan ditanam berselang seli dengan pokok atau tumbuhan lain supaya akarnya tidak berselirat dengan akar pokok lain kerana akarnya yang sensitif itu tidak boleh bersaing dengan pokok lain (manjalah katakan...). Kalau kita nak buat taman ros, pastikan ros sahajalah yang kita tanam kat taman tu, jangan dicampur aduk dengan bunga-bunga yang lain.

  • Hendaklah disiram dua kali sehari, pagi dan petang. Air yang disiram itu mestilah sampai ke atas bukannya hanya semburan biasa yang hanya terkena kepada daun sahaja. Bagi pokok mawar yang ditanam di dalam pasu, air perlu membasahi tanah bagi membolehkan akar mendapat air secukupnya.

  • Hendaklah dibaja dan disiram dengan ubat semburan seminggu sekali. Baja khas ini hendaklah terdiri daripada isi ikan, kulit udang, sayuran, serbuk soya dan ekstrak kelapa sawit. Ini adalah untuk mengelakkan serangan virus dan fungus. Hasilnya nanti, daun akan menjadi lebih segar.

Daun Ros

  •  Jangan menggunakan baja kimia atau baja kumbahan seperti tahi ayam dan tahi kambing kerana baja-baja seperti ini tidak membantu menyihatkan pokok sebaliknya mengurangkan jangka hayat pokok ros kerana baja-baja ini panas dan membawa pelbagai virus yang boleh mencacatkan daun dan bunga.

  • Pastikan pokok ros itu mendapat cahaya matahari selama kira-kira 6 jam sehari. 

  •  Akhir sekali, pokok hendaklah dicantas setiap kali selepas bunga gugur dan dahan yang dicantas perlulah sepanjang enam ruas daripada tangkai bunga yang gugur itu atau kira-kira 15.2 sentimeter. Tujuannya ialah supaya pokok akan lebih cepat berbunga. Setiap dahan yang dicantas akan cepat mengeluarkan tunas baru yang turut mengeluarkan kudup bunga.

Kudup Ros


 Setakat itu saja yang Kak Yah tau dan itulah tip-tip yang Kak Yah amalkan kat pokok-pokok bunga ros yang Kak Yah tanam. Kalau ada pakar-pakar bunga ros yang nak kongsi pengalaman, bolehlah respons kat ruangan komen blog ni. Kak Yah sangat-sangat mengalu-alukannya!


Ros Jenis Rubiginosa

Lagi tentang bunga ros (bunga mawar) di sini.

(Foto-Foto Daripada Wikipedia)

Si Puding Popular

 Semakin hari semakin ramai peminatnya. Ramai yang sudah mula berjinak-jinak mencari benih dan cuba menanamnya. Ini membuatkan pokok puding (nama saintifiknya Codiaeum) menjadi pilihan penggiat seni hias taman buat masa sekarang ini. Kalau dulu pokok puding ni begitu popular di kalangan masyarakat kampung.  Mereka jadikan pokok puding ini sebagai tanaman hiasan halaman dan sesetengahnya ditanam sebagai pokok pagar untuk kediaman mereka.
Nah! Sekarang ni pokok pudinglah yang dicari-cari. Pokok puding mempunyai pelbagai campuran warna dalam satu daun. Itu yang membuatkannya unik berbanding pokok  lain. Kak Yah adalah salah sorang yang giler sangat dengan pokok-pokok puding ni. Tambahan pulak cuaca sekarang ni sangat panas, sesuai sangatlah untuk Si Puding ni. Dalam keadaan cuaca yang panas begini pokok puding dapat membentuk corak daun dengan warna yang terang dan memikat hati penggemar seni taman.

Pokok puding memerlukan siraman yang cukup pada waktu panas dan siram bila perlu saja pada hari hujan. Kekadang tu Kak Yah tak siram pun , tapi hidup subur gak . Mungkin sebab Kak Yah tanam pokok-pokok puding tu kat tepi-tepi tebing sungai kat rumah Kak Yah. Itulah sebabnya puding tu tak kisah.

Kalau ada sesiapa nak cuba-cuba tanam pokok puding ni, sediakan dulu pasu, tanah dan keratan benih puding ni. Pastu tanam seperti biasa. Siram tanaman tu 2 kali sehari. Pagi sekali dan petang sekali. Seterusnya  dibajalah dengan baja tahi ayam atau baja tahi kelawar yang dah diproses. Campuran yang sesuai untuknya ialah dalam nisbah 3:2:1 (Tanah peroi: Baja kandang / Tanah gambut: Pasir sungai ).Tapi kalau tak tau langsung bab-bab tanah ni, korang boleh pergi beli je kat nursery tu. Beli sekali alat-alatnya dan anak pokok puding tu. Balik rumah terus tanam, lagi senang.

 

 Kalau korang nak lagi senang, ada satu cara lagi. Mula-mula kerat je batang pokok puding tu. Pastu masukkannya ke dalam botol yang telah diisi air terlebih dahulu. Kemudian biarkan beberapa minggu. Bila sudah mula berakar, pindahkan ke atas tanah atau tanam di dalam pasu yang besar. Bila pokok puding tu dah besar, cantaslah daunnya supaya kelihatan lebih padat dan rimbun.

Wahai peminat pokok puding sekelian, marilah sama-sama kita tanam  pokok ni dari sekarang. Masa akan datang susah nak cari pokok puding kampung ni. Kalau yang dah dikacuk tu, banyak dijual kat mana-mana nursery kat Malaysia ni. Nak cari yang ori tu, payahlah sikit Jadi rebutlah peluang ni.....

Bunga Musim Panas

Pagi-pagi lagi cuaca dah panas. Cahaya matahari cepat sangat terbit, tak sempat nak kejar; nak  alihkan pasu-pasu yang bunganya tak tahan cuaca panas. Kalau lambat sikit je, habislah bunga-bunga tu layu. Tapi kalau untuk bunga-bunga yang tahan panas, dioranglah pulak raya sakan bermandikan cahaya matahari macam orang putih kat tepi pantai tu lah..hahaha... Kembang sana, kembang sini, tersangatlah cantik. Masa ni jugaklah biasanya Kak Yah ambil kesempatan "memfoto" bunga-bunga tu. Memang dah lama sangat Kak Yah tunggu saat begini. Sekian lama bunga-bunga tu tak mengeluarkan bunga sebab hari asyik hujan je. Sekarang masa diorang pulak.

Tapi bagi pokok-pokok berdaun hijau, terpaksalah Kak Yah beri perhatian lebih. Penat jugaklah sekarang ni  nak siram pokok-pokok tu; tak boleh lupa langsung. Kalau terlupa nak siram, takut-takut nanti semuanya layu dan tak mau hidup lagi. Kak Yah jugak yang kecewa, huhuhu...

Kalau nak kata mana yang lebih baik, tanam pokok bunga musim panas ke  atau bunga musim sejuk, Kak Yah pilih yang musim panas. Sebab bunga-bunga ni akan kembang dan halaman rumah kita nampak berwarna-warni lagi berseri-seri dan harum pulak baunya . Siang malam berbau wangi. Berbaloi jugak, kan? Sudahlah cantik dipandang mata, berbau harum sentiasa. Betul tak wahai kekanda?

"Dah agak dah, memang semangat dia ni tak akan luput ditelan masa. Cik Yah kita dah dilamun ombak bau." Cik abang bersuara.

"Bukan ombak rindu, ye." balas Kak Yah dengan segera.

"Yelah tuu ... Whateverlah ..."

Bunga-bunga musim panas ni senang nak jaga. Kita cuma perlu siram pokok-pokok tu 2 kali sehari. Pastikan jangan siram terlalu banyak; mati nanti.  Pastikan air siraman tu sampai kat pangkal pokok-pokok bunga tu. Cantas ranting pokok yang dah mati. Baja seperti biasa. Yang penting semua pokok-pokok tu dapat keperluannya setiap hari.

Jenis-jenis bunga musim panas yang ada Kak Yah tanam kat taman mini Kak Yah ni ialah: Bunga Marigold Oren dan Kuning, Cosmos, Petunia, Vinca (White dan Purple), Alamanda Kuning, Bunga Butang Ungu,  Bunga Balung Ayam Merah,  Bunga Jasmin dan banyak lagi yang ada ( tengoklah dan nikmatilah kecantikan bunga-bunga tu kat bawah ni ... )



Marigold Kuning
Bunga Ixora
Bunga Cosmos Kuning
Bunga Vinca
Bunga Crossandra
Bunga Lantana Camara
Bunga Siantan
Bunga Balung Ayam
Bunga Butang Ungu
Bunga Matahari Kecil
Bunga Petunia
Giant Mexican Sunflower
Cosmos Oren
Bunga Matahari

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...