Bunga Hebe, hehehe..


Semenjak Kak Yah tempekkan gambar bunga Hebe kat sudut "Bunga Hari Ini" blog ini, ramailah yang bertanya "bunga apa tu Kak Yah?". Macam mana Kak Yah nak jawab. Dah ditulis kat bawah gambar tu "Bunga Hebe", diorang tanya lagi bunga apa... hai pening-pening dibuatnya. Korang yang tersengih-sengih tu tau ke jawapannya? Tentu korang akan jawab: bunga Hebelah! kan? Mula-mula Kak Yah pun nak jawab camtu gak tapi bila dipikir-pikir balik, takkanlah itu yang dimaksudkan oleh si penanya tu, kan? Hehehe...

Inilah Bunga Hebe Kak Yah - Cantik, Kan?

Maka sebagai seorang pencinta bunga yang suka tanam bunga (eh, bunga boleh tanam ke? Kalau tanam sekuntum bunga, apa pulak yang akan tumbuh nanti, ye?), bela bunga, beli bunga, tengok bunga, baca tentang bunga dan macam-macam lagilah yang berkaitan dengan bunga, kenalah Kak Yah jawab dengan seprofesional yang boleh! (Ada ke perkataan "seprofesional"? Kalau takder pun kira adalah ...  Hehehe).

Maka inilah jawapannya ...

Bunga hebe (sebutannya: hibi - macam penyakit tibi) ini banyak didapati di New Zealand, Amerika Selatan, Kepulauan Falkland dan Kepulauan Polynesia. Terdapat lebih daripada 90 spesis bunga ini yang sebahagian besarnya tumbuh di New Zealand.

Nama Hebe itu pula berasal daripada nama dewa remaja Greek. Hebe juga dikenali sebagai veronica di sesetengah tempat. Beberapa jenis bunga ini adalah seperti dalam gambar-gambar di bawah ini.

Hebe waireka (Foto Wikipedia)

Pokok bunga ini berbeza-beza ketinggiannya: dari serendah pokok renek hinggalah mencapai 7 meter (lebih kurang 22 kaki - tinggi tu!). Saiz daunnya pula mengikut kawasan di mana pokoknya ditanam. Biasanya, di kawasan pantai daunnya lebar-lebar manakala semakin jauh dan tinggi dari aras laut semakin kecil daunnya. Pokok yang tumbuh merimbun ini sangat sesuai dijadikan pokok pagar.

Hebe franciscana (Foto Wikipedia)

Pokok hebe dibiakkan melalui dua cara iaitu biji benih dan keratan batang. Ia sesuai ditanam hampir-hampir di semua jenis tanah dan memerlukan cahaya matahari yang banyak. Untuk mencantikkan rimbunannya, pokok ini mestilah dicantas dari semasa ke semasa, Selain daripada itu ia tidak memerlukan penjagaan yang rapi.

Hebe diosmifolia (Foto Wikipedia)

Kebanyakan spesis yang ditanam sekarang ini adalah dari jenis yang sudah dikacukkan. Jarang sekali kita boleh temui spesis liar atau spesis asal tumbuhan ini. Bunga ini amat disukai rama-rama.

Hebe albicans (Foto Wikipedia)

Kak Yah harap si penanya dah berpuas hati dengan jawapan Kak Yah. Kalau tak puas lagi, tanya-tanyalah pulak kat diorang-diorang yang pakar bunga.



Buat masa ni cuma spesis yang ni jer yang ada ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...