Ros Jepun Si Bunga Comel


Sudah agak lama Kak Yah tak update blog kesayangan Kak Yah ni. Bukan sebab tak sempat tapi tak ingat! Terlampau sibuk jadi "pak sibuk" (eh, mak sibuk kot, hehe) membantu calon-calon pilihanraya tempat Kak Yah tinggal ni berkempen. Maklumlah baru first time dapat peluang. Musim pilihanraya yang lepas-lepas dulu tak dapat nak involve sebab sibuk dengan komitmen terhadap keluarga. Sekarang ni sumer anak-anak dah besau-besau belaka maka adalah sikit kelapangan untuk melakukan aktiviti "berpolitik" lak, hehe...

Nasib baiklah calon-calon yang Kak Yah sokong tu sumernya menang bertanding. Taklah sia-sia Kak Yah "turun padang" sampai terabai buat seketika pokok-pokok bunga kesayangan Kak Yah tu...

Apa pun sebenarnya bukanlah citer politik yang Kak Yah nak tulis kali ni tapi tetaplah citer bunga!

Kali ni Kak Yah nak bagi sikit info tentang salah satu bunga favourite yang ada di taman mini Kak Yah, iaitu bunga Ros Jepun yang comel-comel tu. Kenapa Kak Yah suka bunga ni? Sebab selain daripada cantik dan comel, bunga ni sangat senang dijaga dan sangat kerap berbunga.

Ros Jepun Ungu Yang Kak Yah Tanam - Comel, Kan?

Untuk pengetahuan korang ( itupun kalau belum tahu atau memang nak tahu sangat, hehe) bunga ros Jepun ini tergolong dalam keluarga Portulacaceae (macam mana nak menyebutnya, terpulanglah pada korang sumer, hehe) dan "tanah tumpah darahnya" ialah negara-negara di Amerika Selatan seperti Argentina, Brazil dan Uruguay.

Selain dipanggil ros Jepun (nama saintifiknya: portulaca grandiflora), bunga ini juga dikenali sebagai bunga kembang petang, bunga pukul sepuluh dan bunga gelang di Malaysia. Kalau kat tempat lain pulak, bunga ni dipanggil moss rose, time flower dan ten-o'clock flower.

Ros Jepun Ungu (Foto Wikipedia)

Ros Jepun boleh didapati dalam pelbagai warna iaitu merah jambu, merah terang, putih kuning, ungu dan oren. Ada juga yang mempunyai dua warna pada satu bunga iaitu merah jambu dan putih.

Pokok bunga ini senang membiak melalui akarnya yang menjalar dan boleh juga dibiakkan melalui keratan batang. Cucuk jer ke tanah, pasti hidup! Boleh juga dibiakkan melalui biji benih.

Ros Jepun suka kepada cahaya matahari yang banyak. Pokoknya akan mengeluarkan bunga yang banyak sekiranya mendapat cahaya yang mencukupi. Oleh itu, dedahkanlah dia pada cahaya matahari kat luar rumah tu; jangan diletak di tempat teduh atau di dalam rumah.

Ros Jepun Pelbagai Warna (Foto Wikipedia)

Kalau nak tengok bunga ni kembang penuh, tunggulah di antara pukul 10 hingga 11 pagi. Cantik dan comel sungguh dia masa tu! Lepas pada waktu tu, ros Jepun akan mulai layu dan akan kembang semula pada keesokan harinya pulak. Jadi, kalau nak ambil gambar tu, kenalah pada waktu yang disebutkan tadi. Kalau tak, melepaslah jawabnya, hehe..

Pokok bunga ros Jepun ini sesuai ditanam di atas tanah sebagai pelitup bumi (apa? tak paham perkataan "pelitup"? Maksudnya "penutup" atau peng"cover" atau apa-apa sajalah yang korang paham, hehe). Selain itu, boleh juga digantung dalam pasu atau letakkan saja pasu tu kat atas tanah. Tapi korang kena ingat, batangnya mudah menjalar dan bahagian yang menyentuh tanah akan ditumbuhi akar! Jadi, pandai-pandailah korang menjaganya: nak dicantas selalu ke atau nak ditupang (ditongkat) atau nak dibiarkan dia menjalar sesuka hatinya.

Ros Jepun Kuning (Foto Wikipedia)

Tanah yang sesuai bagi tanaman ini adalah tanah yang tidak menakung air contohnya campuran tanah peroi, tanah gambut (boleh diganti dengan baja organik) dan pasir sungai. Akarnya akan reput jika tanahnya menakung air.

Walau bagaimanapun, pokoknya perlu disiram setiap hari sebanyak dua kali sahaja iaitu sekali pagi dan sekali petang. kalau asyik hujan jer, tak payahlah disiram!

Selain itu, selalu-selalulah cantas pucuknya untuk menggalakkan pertumbuhan ranting dan bunga. Tentang baja pulak, kalau nak juga dibaja gunalah baja cecair kerana baja biji boleh mencederakan batang pokok.

Ros Jepun Putih Yang Kak Yah Tanam - Cantik, Kan?

Khasiat perubatan: daunnya boleh digunakan bagi merawat luka-luka kecil. Caranya: hancurkan daunnya dan tampalkan pada luka tu. Beres! Buatlah beberapa kali hingga sembuh.

Apa lagi yang Kak Yah nak citer tentang bunga ni? Rasanya setakat inilah dulu. Kalau korang ada soalan bolehlah taipkan di ruangan ulasan blog ini. Mana-mana yang boleh Kak Yah jawab, insyaallah Kak Yah akan jawab, ok?


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...