Pokok Keladi Dengan Pisang Nangka Goreng

Ring... ring... ring!
Helo... waalaikum salam. Oh, ye ke? Ha, iyalah. Drive elok-elok, ye. Mak doakan selamat sampai ke rumah.

Pisang Nangka Dalam Nyiru
Alhamdulillah, anak bujang nak balik. Tambah happy hari ni. Sekarang baru pukul 4:55 petang. Kalau camtu, baik Kak Yah siapkan bahan untuk menggoreng pisang nangka yang dah dibeli semalam. Boleh buat minum petang... ye tak ye jugak. 


Mmm...Lazatnya Lasgna Ni
Biasanya, anak bujang tu kalau balik mesti bawak roti, ayam masak Somalia dan jugak lasagna (semua ni untuk mak dia) dan buah-buahan (ini je untuk ayah dia). Kakak jangan jealous ye... (Anak pompuan Kak Yah masa ni tengah bercuti kat PD; tiga hari dua malam! Jaga cucu mak tu sebab dia kalau dapat mandi kat swimming pool, tak tau nak balik nanti, hehehe...).


Keladi Yang Ina Kasi
Oh, ye! Tengah hari tadi Kak Yah ngan cik abang gi lunch kat restoran kawan kitorang, Si Ina tu. Masa nak bayar, Kak Yah ternampaklah serumpun pokok keladi. Kak Yah kalau nampak pokok bunga, apalagi, mintaklah sikit pokok tu. Ambiklah banyak mana yang Kak Yah nak... Takpe ke ni, Ina? Alahhh, ambik jelah. Ada banyak lagi kat sana tu...Dengan bantuan anak dara kawan Kak Yah ni, dapatlah Kak Yah ambik pokok keladi tu sikit. Terima kasih daun keladi, esok lusa ambik lagi, hehehe... (dalam hati: memang daun keladi pun).

Pisang Nangka Setelah Digoreng
Pisang nangka goreng dah siap. Nak buat air apa, ha? Dah tontulah teh tarik... tontu sodap! Syukur....siap je masak, anak bujang pun sampai. Mari, mari! Kita jamu selera kat  Restoran D'Amak (restoran emak lah tu, hehehe...). Memang santai habis; sambil makan sambil tengok pemandangan kampung  yang indah ni. Air sungai yang mengalir (rumah kitorang dekat ngan sungai); langit ketika itu cerah sekali dengan awan yang putih nampak berseri-seri lagi.  Aduh, amat mengasyikkan! Lebih santai daripada kat PD kot? Hehehe....Kitorang bertiga gak yang best duduk kat rumah. Enjoy sakan, santai habis! 

Pas minum petang, Kak Yah pun tanamlah pokok keladi yang Ina kasi tadi. Keladi jenis ni namanya belum pasti lagi, sebab Kak Yah tengok pokok keladi ni macam sama je tapi bila dibelek-belek nampak lain sikit... Apa pun, tanam je lah dulu; namanya cari kendian, okay!

Sejenis Lagi Pokok Bunga Keladi

Aduh! nampaknya kena stop  dulu. Esok masih ada lagi Cik Yah hoi..! (Cik abang dah panggil masuk: dah senja). Yelah, yelah. Nak masuklah ni! Hmm...esok masih ada? Takut-takut, esok aku yang dah takde...ha..ha..ha... Alamak, anak bujang pulak marah lah. Mak janganlah cakap macam tu, ye?.  Okay, okay! Nak gi mandi dulu. Cabuttttt...

Bunga Sepit Udang Dengan Belimbing Buluh

Bunga Sepit Udang
"Birds Of Paradise
Dah cakap lama dah, tapi degil jugak. Buatlah apa yang patut-patut je. Hahaha....ni cakap dalam hati je, bukannya ada orang lain yang komen pun. Sendiri mau ingatlah, kan? Kalau diikutkan rasa, macam tak nak buang  masa langsung. Itu nak buat, ini nak buat; semuanya macam nak cepat-cepat siap. Tapi Kak Yah lupa yang diri ni dah hampir dikategorikan warga emas. Hampir baru...belum lagi warga emas ye..hehehe... Baru warga perak; masih ada peluang lagi...yeh..yeh... Sebab itulah kita jumpa semula ni...nak citer sikit. 

Susun Camni, Okay Tak?
Beberapa  hari kebelakangan ni Kak Yah kepenatan. Itulah...sebab degil....sangat-sangat! Emo pulak... Hari tu Kak Yah bantu cik abang mesin rumput, pastu  tanam bunga, pastu angkat pasu; alih pasu ke sana ke mari. Konon-konon nak nampak lagi cantik susunannya. sekejap bawak ke dalam, alih lagi bawak pulak keluar. Hai, bercelaru betul..... Tapi last-last nampak okay je pulak. Biasalah, kan? Kalau dah kerja sorang-sorang; apa nak buat, kita buat jelah. 

Cuaca masa tu  memang panas giler. Masa tu nak sapu jugak  rumput-rumput yang dah dimesin tadi. Cik abang kata tak payah sapu dulu, biar dia yang buat. Tapi Kak Yah degil nak buat jugak. Kak Yah pun sapulah. Tapi tak siap pun, sebab dah tak larat lagi dah..... Longgokkan je kat tepi pokok bunga tu nanti esok baru buang.

Tersadai Kat Pangkal Pokok...
Lepas Dimesin Sebelum Disapu









Tapi masih tak puas hati jugak hari tu.  Kak Yah pun simpan tools dulu seperti biasa. Bila nak masuk rumah je, tiba-tiba teringat pulak kat pokok belimbing buluh yang sedang berbuah lebat tu. Kak Yah pun ambil galah (hem..hem..buatan sendiri tau) dan mulalah menjolok buah belimbing tu. Syok betul menjolok buah belimbing buluh dengan cara sendiri. Yelah, kita kenalah fikir sendiri macam mana nak mudahkan kerja kita, kan? Ha...tengok ni! Buah yang dijolok tak pun jatuh ke tanah dan tak rosak sikit pun. Segar dan berkualiti selain berkhasiat dan banyak vitamin C..... Basuh bersih-bersih, blend dengan air masak,  kemudian ditapis airnya lalu dibubuh ketulan ais...waduh....sedapnya! Kalau suka manis, tambahkan sedikit gula....best!

Belimbing Buluh
Hasil Jolokan
Penjolok Belimbing Buluh
Penjolok Buatan Sendiri!

Tengah Menjolok ...
Terfikir pulak, kalau Kak Yah masak gulai lemak cili padi ikan sembilang dan Kak Yah campurkan dengan belimbing buluh ni...tontu lobih sodap, kan?  Jom masak..Kak Yah pun masaklah gulai tu.... 

Akhirnya selesai jugaklah segala urusan. Barulah Kak Yah happy......Amboi, dah tak sabar nak makan ni...tunggu apa lagi....santaplah ngan cik abang sekali. Bismillah.......Sikit punya laju ke kitorang makan. Bukan apa, Kak Yah dah terletak lebih cili padi! Bila dah selesai, alhamdulillah...memang berbaloi. 

Pastu  ingat pulak nak tanam pokok bunga birds of paradise (bunga sepit udang).  Nak tau camner rupanya, tengok gambar kat bawah ni. Cantik, kan? Masa entry post ni ditulis, Kak Yah dah pun selesai menanam pokok bunga sepit udang tu.

Benih Sepit Udang
Pokoknya Sebelum Ditanam




Bunga Sepit Udang
Inilah Bunga Sepit Udang

Dara Desa vs Dara Kota

Amboi, merah ada, pink pun ada.... Inilah bunga tapak dara. Oh, patutalh cantik...anak dara lah katakan..... mestilah selalu dipuji! Ada  satu citer tentang bunga tapak dara atau kemunting Cina ni...

Semasa Kak Yah beli bunga ni dia okay je. Pastu Kak Yah tanam dalam pasu. Pun okay lagi; masih cantik  dan segar. Tapi bila Kak Yah alihkan bunga ni ke tanah, lain pulak jadinya.  Kak Yah alihkan sebab Kak Yah fikir... nanti bunga ni akan tumbuh merebak. Lagipun kat tanah dah tentulah kena cahaya matahari dan kalau merebak tu tentu lebih menarik, kan? Jadi biarkan jelah kat situ.  Jaga macam biasa. Tiga hari pastu, Kak Yah tengok macam dah layu je.  Haik, apa dah jadi ni? Nak mati ke bunga ni? Alamak! Frust betullah.... Menyesal lak sebab Kak Yah dah alih-alinkan dia.  Kak Yah pun tengok betul-betul ... Memang sah dah mati! Hampa betul... Pastu Kak Yah cabut pokok bunga tu terus buang; apa nak simpan lagi, nak wat apa.... Huh, hampeh betul! Geram pun ada... Tapi takpelah; esok Kak Yah nak jumpa ngan Mat Pakis yang jual bunga tu. Nak tanya apasal jadi macam ni. Tak puas hati betullah...


Tapak Dara Bandar ( Yang Dah Mati Tu, Huhuhu...)
Hai, Sayeed! Sudah breakfast ka? Kak Yah menyapa Mat Pakis tu sebaik saja tiba kat nursery. Sudah, kakak. Ari ni mau beli bunga apa? Dia menjawab. Ari ni tak mau beli tapi mau tanya sikit. Apa pasal muka ada frust nampak? Sayeed bertanya. Hai ..sabar jelah... Memang pun tak puas hati. Malam tadi, asyik fikirkan  bunga dah mati...bunga dah mati... Tidur pun tak lena. Ini bunga sudah mati... (sambil Kak Yah tunjuk ke bunga tapak dara yang ada kat nursery tu). Kenapa dia cepat mati, Sayeed? Awak kata bunga ni boleh hidup lama dan selalu berbungakan? Ya, ya... memang itu macam, jawab Mat Pakis tu. Tapi kenapa saya punya sudah mati? Baru beli sudah mati ka? Apa macam ni?

Sayeed pun menjelaskan: Ini bunga tapak dara datang dari Cameron Highlands. Sejuk punya tempat. Panas tak boleh...nanti dia mati. Bunga banyak cantik...kembang-kembang selalu. Sejuk mau, panas mati! Tapi kalu itu tapak dara kampung punya, banyak tahan... Matahari panas pun tak boleh mati. Dia punya batang  ada keras. Tak banyak problem mau jaga. Tapi itu Cameron Highland punya tapak dara, batang ada lembut sikit; susah mau jaga. Tanam dalam pasu, tempat redup kasi. Satu lagi, kakak: Jangan kasi siram air banyak.Ohhhhh...patutlah bunga Kak Yah tu mati. Hmm, baru tau. Rupa-rupanya sama jugaklah macam orang kampung dengan orang bandar ye... Kalau kat kampung, panas ke, hujan ke, kilat berdentum-dentam, orang kampung masih boleh naik motor ke hulu ke hilir. Silap-silap, rempit pulak lagi tu... Tapi kalau di bandar; panas je masuk pasaraya...selesai  problem...hehehe. Sekarang baru puas hati... Nasib baik ada Sayeed.

Dalam perjalanan balik ke rumah, tiba-tiba Kak Yah ternampak pokok bunga tapak dara kampung kat depan sebuah rumah. Bang,bang, berenti...berenti jap bang! Kereta berhenti, Kak Yah pun turunlah. Hai dik...wat apa tu? Kak Yah menegur pompuan yang sedang membersihkan keliling pokok bunga tu. Biasa je, pompuan tu menjawab. Eh, eh.. rajinnya bela bunga! Kak Yah memuji dia (hehehe, faham-faham jelah: ada udang di sebalik batu!).  Kenapa? Akak minat bunga ke? (Alamak, dia tanya ..... macam ada peluang je nak mintak ni...)  Memang minat sangat, jawab Kak yah. Kalau akak nak bunga ni, ambillh. Saya pun memang nak buang ni; sebab dah  banyak sangat dia merebak-rebak. Oh, ye ke? (Hai, pucuk dicita ulam yang datanglah nampaknya, hahaha..) Apa lagi, Kak yah pun ambiklah semua yang dia suruh ambik (syoknye...). Terima kasih, ye dik...jumpa lagi...bye....

Sampai kat rumah, Kak Yah pun cepat-cepat tukar pakaian dan terus menanam pokok bunga yang baru dapat tu kat tempat pokok yang dah mati tu. Tumbuh cantik-cantik, ye... Tak sabar nak tengok bunga dia kembang semula. Sekarang baru happy semula; tak sedih, tak frust lagi, hehehe...

Pokok Tapak Dara Kampung (Yang Baru Dapat Tu, Hahaha...)
Oh, ye.. Antara Dara Desa ngan Dara Kota, yang mana korang pilih? 

Cendawan Dengan Pokok Jenjuang

Home-Made Nasi Lemak
Pagi-pagi lagi Kak Yah dah start motor nak ke pasar beli ikan dan apa-apa jelah (yang halal) yang boleh dimasak dan sedap dimakan. Biasalah, kan...orang pompuan kan gitu. Bab beli-membeli ni wajib..hehehe. Sarapan hari ni dah beres. Dah siap pun masak nasi lemak, sambal ikan bilis, telur rebus dan sedikit sayur. Tunggu nak makan sama cik abang je. Jangan jealous, ye...

Hai Kak Yah lama tak nampak? Tiba-tiba muncul lak budak pompuan ni. Eh, Ina....  apa kabar? Baik je. Jom lah ke rumah Ina Kak Yah. Kita sembang-sembang. Rumah dia tak jauh dari pasar tu. Alamak, sorrylah...hari ni tak dapat; sebab Kak Yah ada banyak kerja ni. Alahhh datang kejap je; kita minum-minum sambil citer-citer. Maaf sangat-sangatlah Ina. Betul-betul tak boleh. Nanti Kak Yah datang lain kali ye! Kalau macam tu, okay. Jangan marah ha... bye... Jumpa lagi...

Inilah Cendawan Yang Ikin Bagi
Pastu, Kak Yah  beli apa yg patut, terus nak balik rumah je. Tiba-tiba ada orang panggil Kah Yah. Suara tu datang dari belakang. Dalam hati tertanya-tanya: siapa agaknya? Kak Yah, Kak Yah.... berenti, berenti! Kak Yah pun berhentilah. Aduh... kesiannya. Kenapa kejar-kejar Kak Yah ni? Ada apa, Ikin? Ni, mak suruh bagi cendawan ni pada Kak Yah. Tadi masa Kak Yah lalu ke hilir, mak Ikin nampak.Tu yang dia suruh Ikin bagi cendawan ni. Oh ye ke...Berapa ringgit ni? Ah, tak payah bayar; mak bagi je. Alhamdulillah... mudah-mudahan dimurahkan rezeki. Amin... Okaylah Kin. Terima kasih, ye...bye.

Kak Yah pun naik motor balik. Sambil naik motor tu, Kak Yah terfikir pulak: kalau tiap-tiap pagi naik motor macam ni bagus jugak ye. Ramai yang nampak Kak Yah; lagi mudah kerja Kak Yah... hehehe. Dapat singgah-singgah; dapat sayur-sayuran, dapat bunga-bunga dan dapat cuci mata lagi...hahaha. Hai, syoknya duduk kat kampung.

Tit, tit! Abang, Yah dah balik... Cik abang pun bukakan pintu. Alhamdulillah selamat. Risau gak cik abang ni, hehehe. Bang, marilah sarapan dulu! Pastu boleh buat kerja masing-masing. Okay, jawab cik abang.

Pokok Jenjuang
Hari ni Kak Yah tak cari bunga sebab pokok-pokok bunga yang dapat semalam belum habis ditanam. Jadi, hari ni sambung jelah menanam. Lepas makan, Kak Yah cadang nak tanam pokok jenjuang. Pokok ni juga senang tumbuh. Ambik je keratan batang pokok ni kemudian tanam terus kat tanah seperti biasa. Pastu, bubuh baja dan siram mengikut keadaan cuaca. Pokok jenjuang ni ada macam-macam warna. Daunnya panjang-panjang. Pokok ni boleh hidup lama dan kalau dibiarkan, pokok ni akan tinggi. Kalau nak lebih cantik, tanam berderet-deret. Boleh juga ditanam di tepi pagar rumah.


Sejenis Lagi Pokok Jenjuang
Jenjuang Hijau










Dah siap pun... Hari ni Kak Yah kurang bertenaga; sebab terlalu panas agaknya. Tapi nasib baiklah ada iced lemon tea yang cik abang dah buatkan. Wah, nyaman sekali...

Wak Dengan Bunga Bakung

Tempat: Kat depan rumah Kak Yah kat tepi jalan besar.

Waktu: Kira-kira jam 8.00 pagi.

(Kak Yah baru nak mula berkebun, tiba-tiba terperasan yang Wak sedang lalu kat depan rumah naik motor.)

Kak Yah: Wak! Wak! Tolong berenti kejap Wak!
(Wak pun kelam kabut berentikan motornya. Terkejut beruk dia agaknya, hehehe.)

Wak: Ada apa jerit-jerit ni?

Kak Yah: Tunggu jap, Wak.

Wak: Apa dia?

Kak Yah: Wak boleh tolong saya tak? Saya nak...

Wak: Nak apa?

Wak: Saya nak mintak bunga macam dalam gambar ni, boleh tak?
(Kak Yah pun tunjukkan gambar bunga tu kepada Wak.)

Wak: Oh... aku ingat awak nak apa tadi. Ingat nak tumpang naik motor.

Kak Yah: Saya tanya ni, ada tak?

Wak: Ya, ada... tapi nak ambilnya bukan sekaranglah; sebab aku nak pergi ambil rumput kambing dulu. Kambing-kambing tu dah kelaparan ni; sarapannya belum...

Kak Yah: Wak taukan pokok ni?

Wak: Ya, aku sememangnya taulah... tapi aku tak tau namanya aje; banyak aku tanam bunga tu kat kebun. Bunga tu hidupnya sangat senang: ada matahari ke hujan ke, tak kiralah apa cuaca pun dia boleh hidup subur gitu....

Kak Yah: Namanya bunga bakung, Wak. Kalau  Wak bagi, tolong ambil lebih sikit ya!

Wak: Iyo iyolah!

Kak Yah:
Terima kasih ya Wak.

Wak: Somo-somo...  Kenapa awak suka bunga tu?

Kak Yah: Sebab, saya sukakan warna bunganya yang putih berseri tu. Tambah cantik kalau ditanam berderet-deret. Fulamak, cantik giler!

Wak:
Oh, camtu... nanti aku ambil pastu aku bagi kat awak.

Kak Yah: Okay, terima kasih ya Wak.
(Wak pun berlalu dengan motor tuanya tu.)

(Sebentar kemudian, Wak datang semula. Kali ni dengan pokok bunga yang Kak Yah mintak tadi.)

Kak Yah: Oh, terima kasih banyak-banyaklah Wak. Berapa kiranya ni Wak? Banyak ni...

Wak: Alahhhh, ambil ajelah. Tak payah bayar-bayarlah!

Kak Yah: Kalau camtu, terima kasih sekali lagi ya Wak.

Wak: Somo-somo...
(Sambil mengona motornya dan pergi dari situ.)



Bunga Bakung (Spider Lily
Hai cepatnya sampai bunga ni! Macam pakai Poslaju lak? Hai zaman sekarang.....apa yang tak laju. Semuanya laju, kan? Betul-betul bagus dan baik hatilah Wak ni... Tak sempat nak santai bunga dah sampai.

Kak Yah pun mulakan kerja dengan segera. Lambat karang, turun lak hujan.


(Lama selepas itu ...)

Puas hati dah tanam bunga bakung tu. Dahlah tu, masuklah, hari nak hujan lebat ni... langit dah gelap tu. Esok-esoklah pulak tanam bunga tu, ye? Cik abang dah memanggil. Nampaknya, terpaksalah berhenti. Yelah, yelah. Nak berentilah ni. Kejap, ye. Nak kemaskan tools ni dulu. Oh, kuatnya angin! Suuup, suuup.... Tumm!!! Alamak, kuatnya petir kilat ni. Cabutttt! (Macam kilat jugaklah Kak Yah berlari masuk ke rumah...hehehe).


Akarnya Ada Bebawang
Sebelum Ditanam













Bunga bakung ni mempunyai bawang kat akarnya dan dia boleh hidup lama. Cara menanamnya senang je: macam biasa. Boleh juga ditanam dalam pasu, ikut kesukaan masing-masing.

Jangan Tinggal Daku Wahai Mat Pakis

Hari ni hati Kak Yah macam sedih dan sayu je rasanya. Entah kenapa, tak taulah. Pagi-pagi lagi perasaan sedih telah melanda diri ini..huhuhu... Tapi ingat: Kuatkan semangat...kuatkan semangat, kata cik abang. Ingat bunga, jangan lupa bunga, bunga, bunga! Okaylah, akan Kak Yah teruskan usaha ni. Mesti cari bunga, beli bunga, seperti  biasa. Okay, okay, jom jangan tunggu lagi! Kami pun keluar untuk bersarapan.

Kat Nursery Inilah Kak Yah Selalu Beli Anak Pokok Bunga
Lepas sarapan kat kedai mamak biasa tu, Kak Yah pun terus ke nursery tempat biasa Kak Yah pergi tulah. Ramai gak orang hari tu. Kak Yah tengok-tengok dulu.Cari mana yang sesuai dengan bajet. Tiba-tiba budak Pakis yang jaga nursery tu panggil Kak Yah. 

Hai kakak, hari ni mau cari bunga apa? Mau kecik pokok ka, besar punya ka, dia tanya dalam pelat Pakistan.

Kak Yah pun pilihlah bunga-bunga yang Kak Yah minat. Enam jenis semuanya yang Kak Yah pilih ( ada gambarnya kat bawah ni...)

Inilah Yang Kak Yah Beli Kat Nursery Tu
Sayeed...berapa harga semua ni? Dia pun kiralah...

Semua RM29. Boleh kakak?

Okaylah, boleh. Kak Yah pun bayar macam biasa je. Tapi tiba-tiba  muka dia macam sedih je. Kak Yah pun tanyalah dia.

You look so sad...kenapa sedih? Crying? Kak Yah cuba berkomunikasi dengan cara yang Kak Yah fikir lebih berkesan. Maklumlah dia tak berapa faham bahasa Melayu. Dia kan Mat Pakis, macam Mat Bangla gak. ( Pakis tu short form kepada Pakistani, hehehe...)

Saya parents ada telefon; suruh saya cepat-cepat balik. Dia menjelaskan.

Sayeed mau balik mana? Kak Yah nak tau.

Peshawar, Pakistan. Saya sudah dua tahun duduk Malaysia. Isteri, anak, emak, ayah, adik-adik sama saudra sudah lama tak jumpa. Telefon dalam, nangis-nangis. Apa boleh buat, sini kerja banyak; saya selalu sibuk. Saya family semua sudah rindu. Tapi bos tak kasi saya balik. Lain orang tak ada mau ganti. Banyak susah saya sekarang...! Dia menyambung cerita dengan nada sedih.

Oh kesiannya...kata Kak Yah pulak ( tapi dalam hati je...).

Saya mau balik 2 April nanti. Nasib baik ini Ismaeel saya punya adik saudra baru mari mau kerja sini. Tapi tak cukup orang lagi. Kata Sayeed lagi.

Oh ye ke... Okaylah, nanti awak  balik sini lagikan?

Mesti balik... Bos kasi cuti dua bulan saja.

Kalau macam tu takpalah Sayeed. Sabar ya... Kitakan dah kawan. Jangan sedih lagi, okay? Kak Yah memujuknya.

Kakak, ambil gambar boleh..?  Tiba-tiba dia meminta. Macam dia tau lak henpon Kak Yah ni ada kamera.

Oh, nak berfoto rupanya... Okay! Senyum ya...smile.. Sayeed dengan Ismaeel pun berpozinglah.

Sedia... Kcccckek!

Dah, nanti kakak kasi ini gambar boleh tengok.

Okay, okay, kata Sayeed. Ismaeel hanya tersengeh je. Tak taulah Kak Yah dia faham ke tidak!

Sayeed, sekarang jangan sedih lagi tau, pesan Kak Yah.

Okay, bye. See you soon! Kak Yah pun pergi dari situ.

Kesian tengok diorang tu ye... susah nak cari makan nak sara family... Sedihnya, huhuhu...

Sayeed & Ismaeel
Ismaeel, Canna & Sayeed











Inilah gambar-gambar Mat Pakis tu. Hensem gak, kan?




Bunga Alamanda

Alamanda - Bunga Yang Kuning-Kuning Tu...
Iya, iya... yang mana satu ni ha? Alahhh... yang kuning-kuning tu...Yang kuning-kuning tu...ala...ala...isy,isy, Kak Yah dah lupalah namanya... Cuba ingat betul-betul, pokok apa? Ala... ha, ALAMANDA. Eh, macam nama shopping mall je. Okaylah dah ingat, hehehe. 

Bunga ni senang nak hidup dan mudah dijaga.Kalau hari panas dia akan  sentiasa  mengeluarkan bunga. Bunga-bunganya yang berwarna kuning tu, sudah tentu ramai orang suka. Benih pokok ni diambil dari keratan batang. Pastu tanam di atas tanah dan boleh kita tanam dia secara berkelompok atau dalam satu barisan rapat-rapat. Ditanam dalam pasu pun boleh. 

Alamanda - Dari Jarak Dekat
Masa kecik-kecik dulu, kami adik beradik pompuan petik bunga ni banyak-banyak. Pastu cucuk kat tali batang pisang; kami buat rantai leher, hiasan kepala, buat benggel (bangle) dan macam-macam lagi. Syoknya... Konon nak jadi ratu cantik orang  kat pulau Hawaii tu, hehehe. Hai Kak Long, Kak Ngah dan Kak Lang, masih ingat lagi tak? Ha... ada sesuatu yang terjadi masa tu, kan?. Setakat masa ni, belum sorang pun pecah rahsia tu kan? JANJI, SIMPAN! Ingat ye, wahai pompuan dot, dot, dot. Hehehe...

Kontraktor Dengan Supervisornya

Kak Yah Dengan Mesin Rumput Elektrik

Kak Yah Kontraktor & Si Hitam Supervisor
Hai nampaknya tak siaplah taman  bunga ni. Mana nak siap, kalau dah asyik naik motor je... Perli nampak!  Hei, siapa kata tak boleh siap ha? Ini Kak Yah lah! Buat kerja mesti beres. Don't worry.. be happy...hehehe... Batu-bata dah ada dan dah pun disusun. Cuma belum sepenuhnya. Tunggu, ya......out jap. Sekarang nak mula mesin rumput lak. Rumput dah panjang. Mesin dulu... Sikit je tu... Kejap je tu. Cadangnya nak buat tempat santai-santai, BBQ ke, apa ke...tengoklah nanti. Memanglah penat kerja ni sebab nak angkat batu, susun batu, pecah batu. Oh beratnya .... Tapi takpe; mesti siap punya. Oh lupa... Nak simen sikit pulak tu. Nak buat longkang sikit. Pendek kata, semuanya sikitlah. Sikit-sikit pun, belanjanya besar jugak tu...Kena cari sponsorlah nampaknya. Itupun kalau ada... Kawasan kecik ada harapanlah siap cepat. Memang hati ni tak sabar nak tengok rupa taman ni bila dah siap nanti. Jangan kerja teruk-teruk sangat nanti deman, cik abang sudah sound. Okay, okay, Kak Yah rest kejap. Cik abang dah buatkan iced lemon tea! Uiii, sedapnya ...segarnya.....slurrrrp... haaaa... Terima kasih, bang! I love you... 

Supervisor Ni Takde Kerja Ke?

Slurrrp...Ahhhh... Sedapnya!

Tapi bang, mana strawnya? Abang lupa ya? Takpelah bang... Camni pun boleh minum gak...lagi cepat habis!


Bunga Naik Motor

Kak Yah Yang Naik Motor Dengan Bunga

Setiap hari ade jelah yang akan menyibuk dan yang sibuk..hehehe... Tau tak pe. Kerja hari ni berat sikit. Apa tak nye: nak pergi repair motorlah. Kesian dia. Dah lama betullah  tak diservis: rim pun dah berkarat-karat,  huhuhu... Maklumlah, bila nak guna baru nak jaga. Kalau tak biarkan je dalam garaj tu. Nasib baiklah tiba-tiba teringin nak naik motor tu semula.
Sekarang dah okay. Mula-mula nak test jalan-jalan je. Pastu, syok pulak kena angin, dapat tengok pemandangan dan juga boleh singgah-singgah rumah kengkawan: boleh mintak pokok bunga.  Oh, best giler! Jangan jealeous ya... Syok punya pasal,  lupa nak balik rumah. Takut-takut nanti HANTU KAK YAH  LUPA JALAN  BALIK RUMAH, hehehehe... Ahuk, ahuk ... Hai batuk pulak. Mana taknye; sambil naik motor, mulut tu asyik terbukak je. Mau tidak..... ramai sangat peminat yang menegur dan melambai. Maklumlah, dah lama tak buat giler macam ni; nak menempos agaknye... hahaha ... Memanglah tak berapa fasih sangat lagi bawak motor tu. Tapi bila dah laju, kira dah tera lah kan? Tiba-tiba teringat nak singgah rumah sorang kawan. Dia tinggal sorang-sorang dan dia ni banyak tanam bunga. Kawasan rumah dia luas, dan dia rajin tanam bunga, jaga bunga dan macam-macam lagilah. Biasalah kalau dah minat, kan! Cinta dengan bunga punya pasal, sanggup Kak Yah mengharungi cuaca pagi yang sejuk dan masih berembun tu...brrrr... Naik atas bukit lak tu..

Assalamualaikum... Oh, nasib baiklah dia ada kat rumah. Apa lagi  terus tengok bunga-bunga yang ada. Oleh sebab dah kawan lama dengan dia, jadi taklah rasa malu nak mintak sikit pokok-pokok bunga tu. Ada yang tumbuh dari biji benih dan ada yang dari keratan batang. Ada yang besar dan ada yang kecik. Tapi yang besar tu camne nak ambik, ya? Biarkan sajalah dia. Nanti bila dah ada anaknya, baru boleh ambik.

Dah dapatlah benih-benih pokok bunga tu.. Tiba-tiba rasa seram pulak. Baik cepat-cepat balik rumah. Karang kalau dah tengahari, lain  pulak yang muncul...hahaha...HANTU KAK YAH BALIK RUMAH  BAWAK BUNGA NAIK MOTOR... Tapi tak takutlah... sebab ada senjata: kan Kak Yah bawak KRIS hahaha (motor Modenas Kris)!

Inilah dia bunga-bunga yang Kak Yah ambik dari rumah kawan Kak Yah tu.

Sejenis Kaktus
Puding Kuning
Benih Bunga 

Bunga purple dan yang berdaun lebar ni Kak Yah tak pasti namanya. Kalau dah confirm nanti, Kak Yah update, ya. Tapi kalau ada sesiapa yang kenal mesra dan rapat macam adik beradik ngan bunga-bunga ni, silalah bagitau Kak Yah, okay? Kak Yah akan sangat-sangat menghargainya....

Bunga Siti Zubaidah Atau Bunga Kembang Tiga Bulan (Hydrangea)

Siuh! Siuh! Uhh...abang, tolong... Habislah bunga Yah ni, bang. Cepat bang, cepat  tolong halau ayam ni ke tempat lain. Alahai... bunga yang dah elok kembangnya, warna yang sudah tentu memikat hati ni, habis dipatuknya. Aduhai ayam....tolong pergi  jauh-jauh, ya... Abang, tolong bagi diorang ni makan jauh dari sini boleh? 

Jom Tanam Bunga
Pak Yam & Mak Yam
Hai macam nilah Kak Yah hari-hari. Yang bestnya, ayam-ayam tu bukan ayam Kak Yah. Tapi hari-hari datang ke taman Kak yah yang tak berpagar ni (patutlah... hehehe). Kalau korang nak tau, tiap-tiap hari ada je tetamu yang sudi singgah: Cik Burunglah, Cik Biawaklah, Cik Tupailah malahan Cik Cat (kucing) pun ada. Pendek kata, semuanya datang.
Agaknya diorang nak sign up untuk jadi Followers kot..hehehe. Nasib baik Cik U tak  datang melawat. Kalau tidak, dah tentu Kak Yah tak cukup tanah nak lari. Yang Cik Yam ni pulak, asyik nak patuk bunga tu je. Jangan-jangan dia pun tau yang bunga tu selain cantik, jugak berkhasiat. Tapi apapun, syukurlah bunga-bunga tu masih dapat diselamatkan.

Hydrangea
Ni Masa Belum Berbun
Jom Tanam Bunga
Mr  & Mrs Cat
Hydrangea
Ni Masa Dah Berbunga

Nak citer sikit tentang bunga siti zubaidah ni pulak. Dulu-dulu, semasa Kak Yah tolong arwah emak tanam bunga, Mak kata bunga ni namanya ct zubaidah. Kata Mak lagi, ada jugak orang panggil bunga ni dengan nama lain. Nak tau apa dia? Bunga ni jugak dipanggil bunga kembang tiga bulan. Kenapa lak tiga bulan, mak? Kenapa tak empat bulan ke, lima bulan ke, hehehe. Mak jawab, sebab bunganya akan kembang setiap tiga bulan. Oh camtu...pastu dia mati ke? Sudah tentulah tidak. Bunga ni juga senang nak jaga. Kalau tanam kat tanah, pokok ni lagi menjadi jika dibandingkan dengan tanam dalam pasu... dengan syarat tanam di tempat yang agak redup. Kalau panas sangat, daunnya akan melecur, jadi tak cantiklah. Bunganya pulak besar-besar; tu yang geram tu bila dia kembang. Oh camtu  ya mak. Kata Mak lagi, kalau nak biakkan bunga ni pulak, cuma kerat je batangnya yang agak tua sikit. Tapi janganlah yang tua sangat, nanti cepat mati pulak. Macam orang gak.... Nanti, ponek jolah ekau monanam eh, hehehe...  Takkan hidup dio doh. Tak cayo, cubolah...   
                                                        

Ati-Ati Dengan Bunga Kana

Bunga Ati-Ati

Aduh ...terlupa nak alihkn pasu bunga ati-ati ni. Habis layu semuanya. Pokok bunga ni memanglah cantik, tapi takde bunga. Hanya daunnya yang berwarna warni. Senang  hidup di bawah cahaya matahari. Batangnya lembut dan daun nya bergerigi dan berkelok-kelok. Kalau kita bubuh baja tahi ayam, lagi cepat daun tu kembang. Kalau pasu dah penuh, kita boleh kerat batangnya lalu ditanam dalam pasu yg lain. Tak susah...senang je..cuma cucuk je sebab batangnya lembut dan cepat pulak  hidup. Tapi jangan lupa siram ha.... Fuh, wana-wanilah! 

Lihatlah betapa cantiknya tiga jenis ati-ati yang dipaparkan kat sini. 

 

Tiga Jenis Bunga At-Ati

Bunga Kana (Canna)

Kana oh kana... Akhirnya berbunga jugak kau. Terima kasih, kana. Kalau korang nak tau, pokok bunga ni juga berbatang lembut dan memerlukan cahaya matahari yang banyak. Begitu jugak dengan  air. Masa cuaca panas ni, bunga kana mulalah berkembang. Ada yang merah, oren, pink, kuning, pink cair isy, isy, isy...banyak lagi warnanya tu, Kak Yah sendiri pun tak berapa tau..hehehe.. Nanti Kak Yah cari tau dulu ya...Pastu kita kongsi sama-sama okay?

Close Up Bunga Yang Sama
Inilah rupanya bunga kana yang Kak Yah citer tu...

Yang warna kuning dan bentuk bulat kat atas tanah tu namanya Merrigold dari keluaga Bunga Tahi Ayam jugak. Bunga ni pun cantik, kan?

Kembali Aktif & Bunga Tahi Ayam

Alhamdulillah...Kak Yah dah sembuh dari  demam. Lama jugak tu..Risau pun ada sebab tak dapat nak sambung  cerita. Ha...nasib baik sebelum hari raya Cina Kak Yah dah ada stok  pokok-pokok bunga ni. Jadi bila Kak Yah dah okay, Kak Yah aktiflah semula... menanam bunga, hehe..syoknya. 

Dua Jenis Bunga Tahi Ayam

Bunga Tahi Ayam (Lantana Camara)

Oooi..cuaca pagi-pag lagi dah cerah. Apa lagi, Kak Yah pun cepat-cepat pakai uniform...Yalah ..kerja mesti  ikut cara dan peraturan, baru ada semangat no... walaupun kerja sorang-sorang je, hehehe...Takpalah, minat punya pasal. Jom kita tanam bunga ni. Bunga tahi ayam. Ramai orang tak suka dengan bunga ni sebab diaorang kata bunga ni berbau busuk. Tapi, busuk-busuk pun cantik ........tak gitu?  Nak tau tak? Kalau kita tanam bunga ni banyak-banyak, nanti  tak perlu pasang ubat nyamuk sebab bunga ni  boleh menghalau nyamuk tau. Si Busuklah katakan siapa yg suka? Pada Kak Yah, tak jadi hal tanam bunga ni. Warnanya cantik; oren ada pink pun ada. Tapi ingat, tanam di tempat yang ada cahaya matahari. Kalau tak, dia mati. Kalau sesiapa berminat nak tanam pokok ni, beli je pokok ni kat nursery sebab kalau kita cuba biakkan sendiri tak mau dia hidup. Kak Yah dah cuba banyak cara, tapi satu pun tak jadi. Beli pun taklah mahal sangat, cuma 5 ringgit je. Dapat yang dah berbunga dan segar. Balik rumah tanam je; dah siap. Esok bangun pagi-pagi tengok semula......senang hati.....Alhamdulillah.    

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...