Keembung Ubat Perut Kembung?

Pokok Keembung Penawar Perut Kembung?

Memang betul tu. Sebenarnya seluruh bahagian kecuali akar pokok keembung (atau nama saintifiknya Impatiens balsamina) boleh digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit.

Pokok keembung ialah sejenis tanaman hiasan herba yang banyak ditanam di kawasan tropika dan iklim sederhana di seluruh dunia tetapi tempat asalnya ialah negara India dan negara Myanmar. Pokok ini juga dikenali sebagai Inai Air, Tabo dan Garden Balsam. Bunganya ada pelbagai warna iaitu putih, kuning pucat, merah jambu, merah menyala dan ungu.

Bagi sesiapa yang belum kenal macam mana rupa pokok bunga ni, lihatlah gambar-gambar kat bawah ni:-

Pokok Keembung
Bunga Keembung Merah
Bunga Keembung Ungu
Bunga Keembung Merah Jambu
Bunga Keembung Merah Ungu

Keembung membiak melalui biji benih yang terdapat di dalam buahnya yang telah masak. Jika tidak dipungut, biji-biji benih itu akan terpelanting ke luar semasa buahnya meletup apabila telah cukup masak dan kering. Macam mana pulak rupa biji benihnya? Lihat gambar kat bawah ni:-

Buah & Biji Benih Keembung

Cara menanamnya adalah sangatlah mudah. Semaikan biji benih terus ke atas tanah dalam jarak 12 ke 18 inci antara satu sama lain atau ke dalam bekas semaian dan kambus dengan sedikit tanah di atasnya iaitu setebal kira-kira 1/8 inci. Siram dengan air rata-rata.

Jika di tanam di atas tanah, pastikan tanah di situ tidak menakung air dan elakkan akarnya daripada sentiasa basah. Siram sekali atau dua kali seminggu. Untuk pertumbuhan yang sihat, bubuh baja biasa atau baja bunga. Lihatlah nanti betapa cantiknya bunga-bunga yang kembang pada pokok yang boleh tumbuh setinggi 2 ke 3 kaki ini.

Dari segi perubatan, batang, daun, bunga dan bijinya boleh dijadikan penawar kepada penyakit-penyakit seperti badan panas, patukan ular, sakit urat, sengal-sengal, bisul, kudis, luka, busung, demam kuning, hepatitis, penyakit kulit, penyakit kuku, sakit kepala, bengkak mata, ketuat, kutil, kurap, ulser dan kembung air.

Cosmos - Boleh Dimakan?

Boleh dimakan? Ya. Tapi bukan semua jenis Cosmos boleh dimakan; cuma spesis Cosmos yang dipanggil Cosmos caudatus atau Ulam Raja itu saja yang daunnya dimakan sebagai ulam.

Pokok Ulam Raja (Cosmos caudatus) Dan Daunnya Yang Boleh Dimakan

Bunga Cosmos tergolong dalam kumpulan yang sama dengan bunga daisy dan matahari iaitu kumpulan Asteraceae. Perkataan "cosmos" berasal dari bahasa Greek "kosmos" yang membawa maksud suasana yang seimbang dan teratur. Walaupun ia berasal dari Mexico namun kini ia banyak ditanam di negara-negara lain seperti Florida dan bahagian selatan USA membawa ke Amerika Selatan hingga ke Paraguay.

Bunga Cosmos boleh didapati dalam pelbagai warna iaitu putih, oren, kuning, merah jambu (pink), ungu kemerah-merahan (fuchsia)  dan merah menyala (scarlet). Di antara spesis Cosmos yang popular ialah Chocolate Cosmos (Cosmos atrosanguineus), Garden Cosmos (Cosmos bipinnatus), Sulphur Cosmos (Cosmos sulphureus) dan Ulam Raja (Cosmos caudatus). Lihat gambar-gambarnya di bawah ini:


Cosmos bipinnatus (Foto: Wikipedia)

Cosmos atrosanguineus (Foto: Wikipedia)

Cosmos sulphureus (Foto: Wikipedia)

Pokok Cosmos mudah ditanam dan dibiakkan. Ia tidak memerlukan penjagaan rapi dan jarang diserang penyakit atau serangga perosak. Ia boleh tumbuh di kawasan tanah yang kurang subur atau banyak mengandungi tanah liat. Tahan panas dan tahan kemarau. Pokoknya boleh tumbuh setinggi satu kaki hingga lebih daripada 6 kaki. Bunganya pula berukuran dari 2 hingga 4 inci lebarnya.


Cosmos Oren

Ada dua cara untuk menanam biji benih pokok bunga ini. Pertama ialah dengan membuat parit kecil di atas tanah dengan menggariskan sebatang kayu yang tebalnya kira-kira satu inci. Letakkan biji-biji benih ke dalam parit itu mengikut jarak yang dikehendaki. Lepas itu cubitkan sedikit tanah dan timbuslah biji-biji benih itu dengan menekan-nekan tanah di atasnya. Akhir sekali, siram sedikit air.


Cosmos Kuning Berlapis

Cara kedua ialah dengan menaburkan sahaja biji-biji benih itu ke atas tanah. Lepas itu taburkan pula tanah ke atasnya rata-rata. Siram sedikit air. Biarkan begitu selama beberapa hari dan anda akan lihat anak-anak pokok Cosmos mulai tumbuh dengan suburnya.

Kosmos Kuning 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...