Lagi Tentang Floria 2013



PUTRAJAYA 22 Jun - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenaan merasmikan Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria Putrajaya) 2013 di sini hari ini.

Festival kali keenam dan berlangsung selama sembilan hari bermula hari ini itu turut dihadiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat.

Pada majlis itu, Seri Paduka berkenaan menghabiskan masa hampir sejam untuk melawat sekitar tapak festival yang terletak di Persisiran Tasik, Presint 2 di sini.

Antara tempat yang dilawati adalah Taman Diraja, Taman Inovasi, Taman Jamuan Teh, Pameran Koleksi Bunga Orkid dan Taman Pereka.

Floria Putrajaya 2013 dengan slogan Orkid-Khazanah Tropika dijangka menarik lebih sejuta pengunjung sekali gus mengatasi rekod sebelumnya iaitu sekitar 800,000 pengunjung.

Para pengunjung pasti terpukau dengan kreativiti dan keunikan hiasan seni reka taman yang mengandungi lebih 400,000 bunga terdiri daripada pelbagai spesies.

Sementara itu, Tengku Adnan dalam ucapannya berkata, Floria Putrajaya 2013 adalah satu-satunya festival di Malaysia yang bertepatan dan sinonim dengan semangat 1Malaysia.

Beliau berkata, festival sedemikian menyediakan pakej pameran bunga serta pelbagai acara dan aktiviti yang sesuai disertai oleh rakyat negara ini tanpa mengira kaum, agama dan budaya.

''Festival itu membolehkan rakyat Malaysia pelbagai kaum, budaya, kepercayaan dan peringkat umur untuk turut serta dalam lebih 200 program dan aktiviti yang disediakan," katanya.

Selain itu, Tengku Adnan turut mengharapkan Floria Putrajaya yang diadakan setiap tahun itu dapat menyumbang kepada peningkatan potensi industri bunga, landskap dan pelancongan.

''Secara tidak langsung festival itu menjadi faktor penggalak pertumbuhan dan membantu dalam mempercepatkan transformasi industri bunga, landskap dan agro-pelancongan negara," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130623/dn_02/Agong-rasmi-Floria-Putrajaya-2013#ixzz2YFbxndeJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...