Bunga Turki?

Bukan "Turki" tapi "Teluki" ...

Sebenarnya Kak Yah sendiri pun tak ada pengalaman menanam atau menjaga bunga teluki. Bukan tak mahu tanam tapi pokok bunga ini hanya hidup subur di kawasan yang sederhana sejuk. Tapi memandangkan ramai yang bertanya Kak Yah tentang bunga ini maka kali ini Kak Yah kongsikan info yang dikumpul melalui Paklong Google dan Pakngah Yahoo untuk makluman kita bersama.

Dalam bahasa Inggeris pokok bunga teluki dikenali sebagai "Carnation" dan mempunyai nama sains Dianthus caryophyllus. Pokok bunga ini adalah sejenis pokok bunga iklim sederhana yang berasal dari kawasan Mediteranean.

Teluki / Carnation
Pokok Bunga Teluki

Penanaman bunga teluki di Malaysia adalah tertumpu di kawasan dataran tinggi seperti di Cameron Highlands yang iklimnya menyerupai iklim hawa sederhana (suhu maksimum sekitar 21 °C). Di kawasan seperti ini, pokok bunga teluki boleh ditanam sepanjang tahun.

Carnations
Bunga Teluki Dari Dekat

Pokok bunga teluki disukai ramai pencinta bunga kerana mempunyai bunganya yang berwarna-warni dan terang.

Pokok bunga teluki tergolong dalam famili Caryophllaceae. Terdapat dua jenis iaitu jenis satu bunga pada setiap tangkai dan jenis spray iaitu banyak bunga pada setiap tangkai.

Teluki Ungu
Bunga Teluki Ungu

Pokok bunga ini boleh hidup selama 18 hingga 20 bulan dan boleh mencapai ketinggian sehingga 2 meter. Pokoknya tumbuh menegak maka kerana itu perlu diikat kepada penyokong. Garis pusat batang pokok bunga teluki boleh mencapai sehingga 1 cm dan biasanya membengkak pada buku atau ruasnya.

Teluki Putih
Bunga Teluki Putih

Pokok ini memerlukan tanah yang tidak menakung air dan kawasan yang terdedah kepada cahaya matahari yang banyak.

Teluki Merah Hati
Bunga Teluki Maroon

Di kalangan orang Barat, bunga teluki melambangkan kasih sayang, ketakjuban dan kecemerlangan. Mereka memakai kuntuman bunga ini semasa menyambut Hari Ibu dan semasa meraikan majlis perkahwinan. Ada juga yang menganggap bunga ini sebagai lambang kecelakaan dan kesedihan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...