Tip Tanam & Jaga Pokok Puding


Semua? Kak Yah separuh terkejut separuh seronok apabila mendapat order daripada seorang peminat pokok puding. Biar betul, bisik hati Kak Yah. Untuk memastikannya maka Kak Yah pun call dia.

"Iya, betul Kak Yah. Saya nak order semua jenis puding yang Kak Yah ada. Saya ni obsessed (taksub) sangat ngan puding. Bagitau saya harganya dan macam mana proses penghantarannya." Maka Kak Yah pun citerlah pada dia apa yang dia nak tau tu.




Bukanlah pasal dia order banyak tu yang Kak Yah nak tekankan kat sini (sebab orang lain pun order banyak jugak) tapi tentang betapa popularnya pokok puding sekarang ni. Tambahan pulak dah susah nak cari puding jenis yang pelik-pelik tapi cantik tu.




Bagi mereka yang dah beli  puding dan kurang tahu cara nak tanam dan jaga puding maka kali ni Kak Yah nak kongsi pengetahuan dan pengalaman Kak Yah yang taklah banyak sangat tu dengan korang semua.

Untuk pengetahuan korang, nama saintifik pokok puding (croton dalam BI) ni ialah Codiaeum variegatum dan merupakan tumbuhan asal di Malaysia, Indonesia, India, utara Australia dan pulau-pulau di Lautan Pasifik. Sebab itulah kita boleh dapati pokok ni tumbuh di seluruh negara kita.




Pokok puding ada banyak jenis; beratus-ratus banyaknya. Dari jenis yang biasa hinggalah yang berdaun keriting, berpilin, bujur, lebar, halus memanjang dan macam-macam lagi. Begitu juga dengan warnanya. Ada macam-macam warna seperti kuning, oren, merah, hijau dan lain-lain lagi ( macam dalam gambar-gambar kat post ni).

Dari segi khasiat perubatan, mungkin ramai tidak tahu bahawa puding boleh dijadikan penawar ulser perut. Tapi awas, getahnya boleh memudaratkan sekiranya terkena kulit atau termakan.




Tentang penanaman dan penjagaannya pula tidaklah susah sangat. Pokok puding ni suka kepada cuaca yang lembap tapi panas sedikit dan banyak air. Cahaya yang mencukupi akan menjadikan warnanya terang tidak pudar. Tanahnya pula tidak menakung air. Kalau nak sentiasa cantik warna-warnanya, bubuhlah baja yang lambat meresap (jenis pellet tu; kalau tak tau, tanya jer kat toke nursery).

Pokok puding dibiakkan melalui keratan batang walaupun boleh juga melalui biji benih namun hasilnya kurang memuaskan. Kalau dari keratan batang, biasanya akan menghasilkan anak pokok yang serupa macam induknya, Tapi kalau biji benih pulak, anak pokoknya akan berbeza sangat daripada pokok asalnya.




Sebelum dicucukkan ke tanah, rendamkan dulu dalam larutan penggalak akar supaya keratan batang itu tidak cepat mati.

Jika ditanam dalam pasu, tukarlah tanahnya bila perlu bergantung pada keadaan tanah tersebut. Sebaik-baiknya tukarkan kepada pasu yang lebih besar. Jangan lupa siram selalu - jangan biarkan tanahnya kering takut nanti daunnya gugur.




Daunnya yang rimbun itu tidak memerlukan pemangkasan. Tetapi jika sudah terlalu rimbun bolehlah dicantas untuk dibiakkan di tempat lain.

Tak susah, kan? Saper-saper yang dah berjaya tanam pokok ni dengan subur dan cantik, bolehlah berkongsi  pengetahuan dan pengalaman dengan Kak Yah dan kengkawan yang lain. Tulislah kat ruangan "Ulasan" kat bawah post ni.


Floria 2012: Kami Datang Ni!

Alhamdulillah ... akhirnya dapat juga Kak Yah mengunjungi pesta bunga yang dinanti-nantikan tu. Wow! Itulah perkataan pertama yang terhambur keluar dari mulut Kak Yah sebaik saja turun dari kereta yang dipandu cik abang. Sebenarnya kalau ikutkan hati hari pertama lagi Kak Yah dah nak pergi dah tapi mengenangkan kesihatan cik abang yang terganggu sejak dua tiga hari kebelakangan ni maka tak jadilah Kak Yah nak berjumpa dengan "idola-idola" KakYah tu, hihihi... (saper lagi kalau bukan bunga-bunga yang cantik menawan tu!). Apapun, Kak Yah dah berada di Floria 2012: itu yang penting, kan?

Memang cantik menawan! Sesuai dengan temanya "Bunga Kertas: Cantik Menawan". Macam-macam jenis dan warna bunga kertas ada kat sini. Seronoknya! Tak putus-putus mulut Kak Yah memuji-muji Allah SWT yang mencipta bunga-bunga yang cantik-cantik tu, sampaikan cik abang kata "Iya, iya. memang semuanya cantik-cantik dan Allah tu Maha Pencipta. Kita tengok jer dengan mata, tak payah guna mulut, okay?" Entah dia pujuk ke atau dia marah ke Kak Yah tak pasti tapi apapun Kak Yah tak kisah asalkan Kak Yah dapat menikmati pemandangan yang indah ni.

Kamipun "merayap"lah dari satu booth ke satu booth, dari satu gerai ke satu gerai, dari satu seksyen ke satu seksyen tanpa menyedari yang kami sudah berada di situ berjam-jam lamanya. Sedar-sedar cik abang mengadu yang dia dah tak larat lagi nak berjalan, maklumlah dia pun masih belum berapa sihat lagi. Maka Kak Yah pun dengan hati yang berat menyarankan agar kami pulang jer. Tapi cik abang yang baik hati tu (heh heh heh...) kata biarlah dia duduk berehat jer kat tepi tasik sementara Kak Yah pergilah teruskan lawatan Kak Yah kat pesta bunga yang hanya sekali dalam setahun tu. Apa lagi, Kak Yah pun dengan berat hati juga (tapi kurang sikit daripada yang mula-mula tadi, hi hi hi ...) meneruskan penjelajahan di "planet" bunga tu.

Sepanjang lawatan tu, Kak Yah tak henti-henti mengambil gambar bunga-bunga dan taman-taman bunga yang dipamerkan. Tak dapatlah Kak Yah nak ceritakan keindahan dan kecantikannya melainkan dengan mempamerkan pulak gambar-gambar yang sempat Kak Yah rakamkan itu kat blog ni. Korang tengoklah sendiri dan enjoy pun sendirilah nampaknya. Bagi korang yang dah berkunjung ke pesta tu, kalau nak tengok  silakanlah, kalau tak mahu pun tak mengapa, no he kata orang Perak (maknanya no problem, hi hi hi ...).


Salah Satu Hamparan Bunga Yang Menyambut Ketibaan Kami
Bunga Kertas (Bougainvillea): Indah Menawan
Bunga Kertas Pelbagai Jenis & Warna
Lagi Bunga Kertas Pelbagai Jenis & Warna
Penyu Bunga
Ikan Bunga Sepit Udang 
Ikan Daripada Bunga-Bunga
Semuanya Tu Diperbuat Daripada Kuntum-Kuntum Bunga & Daun


Lagi Tentang Floria 2012


Artikel di bawah ini Kak Yah "sedut" dari akhbar Berita Harian Ahad keluaran hari ini (1 Julai 2012). Semoga bermanfaat.


Seri Bougainvillea

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my
2012/07/01


Bunga Kertas meriahkan Festival Bunga dan Taman Putrajaya kali kelima


BUOGAINVILLEA, nama indah yang diabadikan pada bunga kertas yang kini menjadi tanaman pilihan ramai di rantau ini walaupun tumbuhan berkenaan bukannya berasal dari Malaysia mahu pun mana-mana negara di Asia Tenggara.


Untuk penganjuran kali kelima, Festival Bunga dan Taman Putrajaya 2012 (Floria 2012) yang berlangsung sembilan hari bermula semalam, bougainvillea turut dipilih sebagai tema festival.


Asal usul bunga ini bukan dari Malaysia, jadi, kenapa ia dipilih sebagai tema festival?


Bagi menjawab persoalan itu, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Samsudin Osman menjelaskan, pemilihannya bunga kertas mengambil kira asal usul tumbuhan itu ditemui, tetapi kerana bunga berkenaan menjadi pilihan ramai yang sangat sinonim sebagai tanaman untuk laman kediaman, taman awam, kawasan perbandaran, penghias jalan raya serta lebuh raya.


Katanya, rakyat negara ini mengenali bunga kertas atau boungainvillea dan mudah ditemui tidak kira di desa mahu pun di kota.


“Apa lebih penting, sejak lima tahun penganjuran Floria bermula 2007, pemilihan tema festival selari dengan hasrat mahu menjadikan Putrajaya sebagai Bandar Dalam Taman serta peneraju pameran hortikultur dan landskap di Asia Tenggara,” katanya.


Floria 2012 akan mempamerkan lebih 100 kultivar bunga kertas selain 400,000 pokok pelbagai spesies dan kultivar bungaan serta tanaman hiasan dari kawasan tropika dan sub-tropika yang dijangka akan menarik 800,000 pengunjung tempatan dan luar negara.


Festival kali ini membabitkan 135 penyertaan dari dalam dan luar negara membabitkan agensi kerajaan, swasta, sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT). Sebanyak 32 sekolah menengah dan rendah serta 10 IPT turut menyertai pameran itu.


Sebanyak 15 pereka landskap antarabangsa dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Belanda, Australia dan China mengambil bahagian dalam pameran gubahan bunga dan taman.


Samsudin berkata, Floria 2012 menjanjikan lebih banyak pameran, aktiviti dan acara sampingan yang tidak pernah diadakan sebelum ini.


Kali ini 10,000 bunga kertas dengan lebih 60 variasi dipamerkan dalam bentuk taman dan gubahan yang berwarna-warni.


Malah, penganjuran kali ini menyaksikan lima penyertaan daripada Persatuan Orkid Antarabangsa dan 10 penyertaan Persatuan Orkid Negeri dan Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) yang membawa tiga pereka tempatan untuk bersaing dalam pameran taman antarabangsa.


Pertandingan Bunga Kertas menawarkan wang tunai RM16,500, hadiah paling tinggi ditawarkan sejak ia dianjurkan lima tahun lalu.


Penganjuran kali ini adalah hasil penyertaan semua jabatan dan kakitangan PPj dengan sikit bantuan syarikat pengurus acara.


Floria 2012 ada keunikan tersendiri 


Sudah lima tahun, Floria diadakan sejak tahun pertama penganjurannya pada 2007 dengan objektif utama memperkenalkan Putrajaya sebagai bandaraya dalam taman.


Sejak itu, Perbadanan Putrajaya yang diterajuinya menjadi penganjur Floria bersama Kementerian Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Bandar semakin berkembang.


Jumlah penyertaan peserta sama ada untuk pameran, aktiviti, acara sampingan mahu pun jualan juga bertambah termasuk penyertaan pereka landskap serta pengubah bunga tempatan dan antarabangsa.


Lebih membanggakan, Floria kini menjadi ikon pelancongan utama di Putrajaya, selain merangsang pertumbuhan industri berkaitan bunga-bungaan dan tanaman hiasan di negara ini. Malah, Floria sentiasa dinantikan peminat landskap, seni taman dan bunga tempatan, rantau Asia Tenggara dan dunia.


Samsudin yang bertanggungjawab memperkenalkan penganjurannya berkata, beliau tidak mahu Floria dibandingkan dengan festival dan pameran bunga lain dunia kerana ia sangat berbeza dan mempunyai keunikan tersendiri yang tidak terdapat pada acara lain.


“Ramai menunjukkan minat dan menyatakan kesediaan mahu menyertai pameran untuk tahun mendatang. Floria memberi impak ekonomi kepada kontraktor landskap, pereka laman, penjual barang perkebunan dan seni taman malah industri hiliran serta pelancongan.


“Ia juga menyumbang pengalaman kepada kakitangan PPj untuk menganjurkan acara bertaraf antarabangsa selain meningkatkan semangat kerjasama dan ‘teamwork’ serta semangat kerja berpasukan,” katanya.


Ditanya pengalaman pahit manis sepanjang menerajui Floria, Samsudin sambil tersenyum berkata, semuanya manis dan jika ada yang pahit semuanya dijadikan panduan untuk memperbaiki diri dan pasukan bagi menjadi lebih baik untuk penganjuran akan datang.


“Floria adalah ruang untuk rakyat terbabit dalam industri seni taman, landskap dan hortikultur menjadi lebih kreativiti dan inovasi,” katanya.


Mengenai membahagikan masa menjalankan aktiviti berkebun dengan jadual ketat sebagai Presiden PPj, katanya, beliau menanam pokok yang tidak memerlukan penjagaan rapi serta mudah diselenggara.


“Aktiviti berkebun dijalankan waktu lapang selepas pulang bekerja atau hujung minggu. Lagipun, pokok yang ditanam bukannya memerlukan perhatian sangat, bukannya ‘bunga manja’ yang perlu disiram selalu. Isteri juga turut membantu menjadikan aktiviti berkebun satu yang menarik untuk kami sekeluarga,” katanya.


INFO Floria 2012


  • Di adakan selama sembilan hari dari 30 Jun hingga 8 Julai 2012 di Putrajaya. 
  • Perarakan Flora Pelancongan 2012 akan berlangsung setiap hari di Pesisiran Tasik Putrajaya, Presint 2, bermula 8.30 malam. 
  • Bertemakan Magic of the Night, Sebanyak 15 bot menyertai perarakan bercahaya sejauh tiga kilometer selain persembahan bunga api.

    Jumlah Pengunjung
  • 2007: 300,000 pengunjung
  • 2009: 500,000 pengunjung
  • 2010: 800,000 pengunjung
  • 2011: 1 juta
  • 2012: jangkaan 1.2 juta

    Pendapatan dan Jualan Floria
  • 2010: RM900,000. 
  • 2011: RM2.4 juta.

    FAKTA Boungavillea
  • Berasal dari Amerika Selatan terutama Brazil, Peru dan Argentina.
  • Mula dikenali dunia selepas ditemui Komander Laut Perancis pada 1768. Malah, ia dinamakan bougainvillea, sempena nama komander itu Louis Antoine de Bougainville.
  • Tergolong dalam famili Nyctaginaceae yang mengandungi 28 genus dan 250 spesies.
  • Terdapat tiga spesies utama bougainvilla di Malaysia, iaitu B. glabra, B. spectabilis, dan B. Mrs. Butt.
  • Banyak kacukan dilakukan daripada tiga spesies asal ini untuk menghasilkan pokok bunga kertas yang mempunyai pelbagai warna kelopak, baik selapis mahupun banyak lapis.
  • Mempunyai bunga berwarna-warni, mekar sepanjang tahun menjadi pilihan tanaman hiasan tropika yang sangat popular. Sering ditanam di taman, kawasan perumahan dan kawasan hiasan laman.
  • Tanaman hiasan popular di Indonesia, Ethiopia, Filipina, Thailand, Pakistan, India, Sri Lanka, China, Taiwan, Vietnam, Australia, Greece, Sepanyol, Turki, Cyprus, Singapura, dan kawasan Mediterranean dan Kepulauan Caribbean, Afrika Selatan, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan bahagian selatan Amerika Syarikat dan Hawaii.
  • Sesuai sebagai tanaman pagaran, malah dijadikan bonsai dan tanaman dalam pasu dan bakul gantung selain sering dipilih menghias pergola dan trellis
  • Menjadi bunga rasmi beberapa negara dan kota seperti Guam; bandar Lienchiang dan Pingtung di Taiwan; Bandaraya Ipoh; bandar Tagbilaran, Filipina; pekan Camarillo, Laguna Niguel, dan San Clemente, di California dan bandar Shenzhen, Huizhou, Zhuhai, dan Jiangmen di Guangdong, China dan kota Naha, Okinawa, Jepun.                                                                                          
  • Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...