Bunga Hebe, hehehe..


Semenjak Kak Yah tempekkan gambar bunga Hebe kat sudut "Bunga Hari Ini" blog ini, ramailah yang bertanya "bunga apa tu Kak Yah?". Macam mana Kak Yah nak jawab. Dah ditulis kat bawah gambar tu "Bunga Hebe", diorang tanya lagi bunga apa... hai pening-pening dibuatnya. Korang yang tersengih-sengih tu tau ke jawapannya? Tentu korang akan jawab: bunga Hebelah! kan? Mula-mula Kak Yah pun nak jawab camtu gak tapi bila dipikir-pikir balik, takkanlah itu yang dimaksudkan oleh si penanya tu, kan? Hehehe...

Inilah Bunga Hebe Kak Yah - Cantik, Kan?

Maka sebagai seorang pencinta bunga yang suka tanam bunga (eh, bunga boleh tanam ke? Kalau tanam sekuntum bunga, apa pulak yang akan tumbuh nanti, ye?), bela bunga, beli bunga, tengok bunga, baca tentang bunga dan macam-macam lagilah yang berkaitan dengan bunga, kenalah Kak Yah jawab dengan seprofesional yang boleh! (Ada ke perkataan "seprofesional"? Kalau takder pun kira adalah ...  Hehehe).

Maka inilah jawapannya ...

Bunga hebe (sebutannya: hibi - macam penyakit tibi) ini banyak didapati di New Zealand, Amerika Selatan, Kepulauan Falkland dan Kepulauan Polynesia. Terdapat lebih daripada 90 spesis bunga ini yang sebahagian besarnya tumbuh di New Zealand.

Nama Hebe itu pula berasal daripada nama dewa remaja Greek. Hebe juga dikenali sebagai veronica di sesetengah tempat. Beberapa jenis bunga ini adalah seperti dalam gambar-gambar di bawah ini.

Hebe waireka (Foto Wikipedia)

Pokok bunga ini berbeza-beza ketinggiannya: dari serendah pokok renek hinggalah mencapai 7 meter (lebih kurang 22 kaki - tinggi tu!). Saiz daunnya pula mengikut kawasan di mana pokoknya ditanam. Biasanya, di kawasan pantai daunnya lebar-lebar manakala semakin jauh dan tinggi dari aras laut semakin kecil daunnya. Pokok yang tumbuh merimbun ini sangat sesuai dijadikan pokok pagar.

Hebe franciscana (Foto Wikipedia)

Pokok hebe dibiakkan melalui dua cara iaitu biji benih dan keratan batang. Ia sesuai ditanam hampir-hampir di semua jenis tanah dan memerlukan cahaya matahari yang banyak. Untuk mencantikkan rimbunannya, pokok ini mestilah dicantas dari semasa ke semasa, Selain daripada itu ia tidak memerlukan penjagaan yang rapi.

Hebe diosmifolia (Foto Wikipedia)

Kebanyakan spesis yang ditanam sekarang ini adalah dari jenis yang sudah dikacukkan. Jarang sekali kita boleh temui spesis liar atau spesis asal tumbuhan ini. Bunga ini amat disukai rama-rama.

Hebe albicans (Foto Wikipedia)

Kak Yah harap si penanya dah berpuas hati dengan jawapan Kak Yah. Kalau tak puas lagi, tanya-tanyalah pulak kat diorang-diorang yang pakar bunga.



Buat masa ni cuma spesis yang ni jer yang ada ...

Ixora - Bunga Bermacam Nama


Sebut saja Ixora mungkin ramai yang kurang mengenalinya. Tapi cuba sebut jarum-jarum atau jejarum/jenjarum pasti ramai yang tahu benar akan bunganya. Sebenarnya, selain jejarum/jenjarum, pokok bunga ini juga dikenali dengan bermacam-macam nama lain termasuk tabung jarum, pecah periuk, siantan, rangan, kheme, ponna, chann tanea, techi, pan, Jungle Flame, West Indian Jasmine dan Jungle Geranium.

Pokok bunga Ixora tergolong dalam kumpulan Rubiaceae dan merupakan tumbuhan renek yang berbunga sepanjang tahun di kawasan tropika dan subtropika seperti di Asia Tenggara dan India.

Perkataan "ixora" itu pula berasal daripada nama dewa Hindu. Maka tidak hairanlah jika bunga ini banyak digunakan di dalam upacara keagamaan penganut Hindu.

Spesisnya amat banyak sehingga mencecah 500 jenis. Antaranya ialah seperti dalam gambar di bawah ni ...

Ixora Pavetta (Foto: Wikipedia)

Ixora Brachiata (Foto: Wikipedia)

Ixora Chinensis (Foto: Wikipedia)

Ixora Maui Sunset (Foto: Wikipedia)

Ixora Coccinea (Foto: Wikipedia)


Spesis yang popular di Malaysia ialah Ixora coccinea yang berasal dari negara India dan Sri Lanka.

Panduan Menanam & Menjaga Ixora

1. Ixora dibiakkan melalui anak pokok. Tanam anak pokok itu di kawasan yang mendapat banyak cahaya matahari. Jika kekurangan cahaya, bunga yang terhasil akan jadi kurang cantik warnanya dan tidak tahan lama.

2. Ixora sukakan tanah yang berasid. Jika tidak, daun yang tumbuh akan bewarna kuning. Untuk mengatasi perkara ini, bubuh baja organic yang boleh menambah kandungan asid pada tanah tersebut.

3. Siram pokoknya sekali seminggu. Semasa musim hujan kurangkan menyiramnya.

4. Tutup kawasan pangkal pokoknya dengan bahan-bahan organik seperti daun dan ranting-ranting kering, habuk papan dan sebagainya pada peringkat awal pertumbuhannya supaya ia berbunga lebih lama lagi.

5. Selalulah mencantas atau memangkas daun-daun di sebelah atas supaya cahaya matahari dapat sampai ke dahan-dahan di sebelah bawah. Ini akan menjadikan pokok ini tumbuh lebih subur dan mengeluarkan bunga-bunga yang cantik dan tahan lama.


Jenjarum Merah

Jenjarum Pink

Jenjarum Puti


Bunga Kak Yah di Harian Metro

Pag-pagi lagi handphone Kak Yah dah berbunyi.

"Dah dengar berita?" Suara yang memang Kak Yah kenali masuk ke telinga Kak Yah.

"Belum. Kenapa, R?" Cemas jugak Kak Yah masa tu. Manalah tahu kot kot ada berita tak baik untuk Kak Yah. R adalah kawan baik Kak Yah yang menetap di KL.

"Kalau belum, cepat pergi beli Harian Metro!" R masih dalam nada cemas.

"Ada apa R? Cakaplah..."

"Bawak bertenang... Puan Asiah kita ni dah jadi selebriti! Dah keluar kat Metro! Hebat tu..."

Barulah perasaan cemas tadi bertukar jadi suspens campur gembira. Barulah juga teringat akan peristiwa Kak Yah diinterbiu dek wartawan Harian Metro pada hari Rabu minggu lepas.

"Cepatnya keluar," bisik hati Kak Yah. "Kata K hari tu, lambat lagi - kena beratur!"

Dipendekkan cerita, di bawah ni Kak Yah petik artikel tentang Kak Yah dan bunga-bunga Kak Yah yang tersiar dalam Harian Metro hari ini. Silalah baca .....


                            

'Berkawan Dengan Pokok'


Di dalam blog­nya jomtanambunga.blogspot.com, wanita ini membahasakan dirinya Kak Yah. Rasa tidak sabar bertemu dengannya kerana melalui tulisannya terasa begitu mesra sekali. Ini mungkin kerana apa yang dipapar di situ bukan mengenai cerita masakan atau hal peribadi lain tetapi kecintaan wanita ini pada alam bunga-bungaan. Sejuk rasa hati.

Kami tiba di rumah comelnya menjelang tengah hari. Dia sudah sedia menunggu di tepi rumahnya yang terletak di tepi jalan dan dipagari pokok bunga di bahagian kiri dan kanan rumah itu. Menurutnya, di belakang rumahnya terdapat anak sungai dan ini antara punca tanah di sekitar rumahnya sangat subur.

Nama sebenarnya Asiah Othman, 54, yang bersedia dengan pakaian ‘kerjanya’, bertopi dan mengenakan blaus ringkas, ternyata seperti blognya, sangat ramah, mesra dan mudah didekati. Alam dan matahari adalah dunianya kini.

Ibu dua anak itu kembali ke rumah peninggalan arwah ibunya di Ulu Langat setelah suaminya pencen sekitar 15 tahun lalu. Daripada tinggal di Kuala Lumpur, dia kembali menghayati dunia bersuasanakan kampung.

Seorang yang sangat mencintai bunga-bungaan sejak kecil, Asiah bermula secara aktif menanam bunga agak lambat iaitu sekitar Januari 2011 kerana masanya diisi dengan kesibukan mengajar anak-anak orang kampung kelas tambahan di samping kerjaya rasminya sebagai suri rumah tangga.

“Saya suka melihat rumah orang lain yang mempunyai banyak pokok bunga dan dari situ mula merasa mahu memulakan tanaman di rumah sendiri. Pokok pertama yang saya tanam ialah puding kerana itu yang pernah diajar arwah emak. Ia pokok yang mudah ditanam dan mudah hidup. Ia ada pelbagai warna yang indah seperti kuning, hijau, merah jambu dan jenis kerinting,” katanya.

Minat yang kecil akhirnya membesar dan dari situ suaminya memberi cadangan supaya dia berkongsi minatnya dengan orang lain melalui dunia maya.

Lalu suaminya membantu membina laman blog dan mengajar cara menggunakannya. Di situlah Asiah boleh berkongsi cerita mengenai nama pokok, cara menanam, petua dan perkara lain melalui pengalaman yang ditimbanya sepanjang hari.

“Itulah kisah bermulanya saya berkecimpung di laman sosial dan apa yang terjadi sekarang ini, saya tidak menang tangan membalas mesej di telefon serta berinteraksi di laman sosial dari serata Malaysia yang mahu membeli anak bunga atau benih daripada saya.

“Mereka terdiri daripada pembaca di laman sosial, kawan-kawan, jiran dan hebahan dari mulut ke mulut. Antara yang paling disukai ialah bunga-bunga klasik seperti bunga butang dan bunga yang sukar diperoleh,” katanya yang turut mendapat benih sesama kawan-kawannya.

Asiah, anak jati kelahiran Ulu Langat, menjual benih bunganya dengan harga RM10 dan di dalamnya ada lebih 50 biji benih, diberi lebih kerana niatnya mahu bersedekah. Penghantaran benih dan anak pokok dibuat melalui pos laju.

Buku-buku berkaitan turut menjadi rujukan demi menambah ilmu sedia ada. Antara bunga yang ada di lamannya termasuk ixora, petunia, giant Mexican, cosmos, marigold, balsam, keembung, ati-ati, balung ayam dan keladi.

Memang segar mata memandang melihat warna-warni daripada bunga-bungaan yang ditanam. Dapat dibayangkan betapa kepuasan yang lebih hebat di pihak wanita ini yang menanamnya sendiri.

“Manfaat berkawan dengan pokok ini terlalu banyak. Selain berbakti pada tanah dan alam kehijauan, ia juga sejenis senaman mengeluarkan peluh. Kita juga tidak membuang masa bergosip dan ia terapi yang menenangkan hati dan membuatkan kita awet muda.

“Sekarang, saya juga dapat menjalin silaturahim dengan rakan baru malah sehingga ke Brunei. Dapat juga berkongsi ilmu dan bersedekah serba sedikit,” katanya.

Dia juga mengenali pelbagai jenis tumbuhan daripada spesis yang sama seperti spesis keladi, keembong, balsam, jenjuang, lili, kemboja, calathea dan ati-ati.

“Contohnya keladi, ada keladi zebra, gajah, hijau putih, tompok merah dan berbatik yang sudah saya kumpulkan,” akuinya.

Asiah masih membantu mengajar kelas tambahan kepada anak-anak kampung tetapi minat utama ini nampaknya mengisi kebanyakan masa lapangnya kerana ia semakin sebati di hati. Seketika bersamanya hari itu dapat dirasakan betapa gembiranya hati dikelilingi dunia flora yang indah belaka.


Artikel ini disiarkan di Harian Metro pada : 2013/04/02


Untuk membaca artikel sepenuhnya, sila ke http://www.hmetro.com.my/articles/2013040209072920130402090729/Article atau kalau nak tengok gambar-gambar lain, sila dapatkan akhbar Harian Metro keluaran hari ini (2 April 2013 Selasa).


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...